Rumah Terbuka Dan Cerita-Cerita Politik
Topik Paling Popular, Hasan Ali dan ISA
HARI ini ada beberapa jemputan rumah terbuka hari raya. Saya hanya memilih untuk hadir di tiga rumah terbuka saja. Pertama rumah bekas pegawai tinggi kerajaan yang kini berjinak dengan politik dan kerap menghadiri majlis politik bersama saya. Lokasinya di Lembah Keramat, Hulu Klang, jaraknya tidak sampai 2 km dari rumah saya.
Kedua ialah di Putrajaya di rumah baru bekas timbalan menteri Sumber Manusia, Rahman Bakar. Khabarnya selain dari rumah itu Rahman ada beberapa buah rumah lagi. Beliau juga dikatakan masih berminat untuk berhadapan dengan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang sekali lagi Parlimen Marang.
Dan ketiga ialah di rumah Pegawai Khas Tengku Razaleigh Hamzah di Bukit Jalil. Ada beberapa lagi jemputan tetapi tidak sempat memenuhinya, masa terhad, maaflah dan terima kasih atas jemputan baik langsung atau tidak.
Ceritanya bukan soal juadah yang dihidang oleh rumah-rumah terbuka berkenaan, tetapi cerita politik. Cerita politik nampaknya lebih sedap dan meralikan dari kuzi kambing dan roti jala di rumah kawan di Lembah Keramat itu.
Di rumah terbuka pertama saya jumpa dengan Zunar kartunis reformasi negara yang mana akan ke Sepanyol selama tiga bulan kerana menghadiri satu program di sana. Setiap kali saya hadir ke majlis kenduri kawan ini akan bersua dengan Zunar. Baru saya tahu bahawa isteri Zunar ada hubungan kekeluargaan dengan isteri kawan saya yang bekas pegawai tinggi kerajaan itu yang kini sudah berani mengkritik kerajaan selepas pencen.
Cerita yang mula tersembur dari mulut Zunar ialah soal Dr Hasan Ali. "Kau baik dengan Hasan Ali, macam mana dengan Hasan Ali ini betulkah dia nak masuk Umno?" begitulah Zunar memulakan cerita dan bersangka saya baik dengan Hasan Ali. Saya sedikit terperagah dengan pertanyaan itu. Dari sudut mana pula saya akrab dengan Hasan Ali?
"Dari mana kau dapat cerita ini?" tanya saya kepada Zunar. Sememang saya tidak tahu terhadap apa yang tersebar di sekitar diri Exco Selangor beberapa hari ini.
"Hishamuddin ada tulis dalam blognya, Tukar Tiub... betulkah Hasan Ali jumpa dengan Hishamuddin Hussein?" tanya dan soal dia lagi serius siap dengan mimik mukanya sekali menunjukkan penuh minat. Saya sedikit terkeliru Hishamuddin mana dimaksudkan Zunar, apakah Hishmuddin Tukar Tiub atau Hismauddin mana.
"Bila dia jumpa Hishamuddin?" tanya saya bersangka Hishmuddin Tukar Tiub yang jumpa Hasan Ali. Tetapi bila saya fikir tidak mungkin, saya ulangi lagi, di mana dia jumpa dan bila? Tanya saya.
"Hishmauddin (Rais) tulis dia dapat maklumat dari seseorang. Yang jumpa Hishamuddin hanya Hasan Ali seorang, seorang lagi Nasharudin Mat Isa tak jumpa.." jelasnya. Saya mulai faham apa yang dimaksudkan Zunar itu Hishamuddin yang dijumpai Hasan Ali ialah Hishamuddin Hussein, Menteri Dalam Negeri.
"Aku tidak tahu dan belum siasat lagi," balas saya.
"Kau tolong siasat.." katanya sambil menyambung, Hasan dah nafikan yang dia tidak masuk Umno dan akan kekal dalam Pas. Beritanya ada dalam Malaysiakini.
"Kalau Hasan sudah nafi terima sajalah penafiannya itu," kata saya tidak mahu perpanjangkan soal Hasan Ali. Dalam keadaan begini rasanya tidak elok kalau menyimpan prejudis kepada Hasan Ali. Masa akan berjalan hari akan berganti kalau desas desus itu betul ia akan diketahui juga.
Penafian yang dibuat Hasan Ali tidak boleh ditelan begitu saja. Sudah sifat orang politik dia tidak mudah mengaku apa lagi sesuatu yang menjadi negatif kepadanya. Tetapi orang politik tidak menyembunyikan body language, kerana dari gerak geri body language orang akan dapat menebak apa yang akan berlaku.
Jadi saya tidak akan menyiasat mengenai kedudukan dan pendirian Hasan Ali. Kita serahkan saja kepada keadaan. Tetapi bagi Pas kena hormat penafian yang dikeluarkan oleh Hasan Ali.
Di rumah Rahman Bakar lain pula ceritanya. Sewaktu saya sampai bekas timbalan Menteri Penerangan, Khalid Yunus yang dimesrai dengan Abang Aji sedang berkaraoke menyampaikan lagi A Ramlee kalau tidak salah Kenangan Mengusik Jiwa. Dalam majlis itu sempat dia menyanyikan empat buah lagu.
Ketika hendak berlalu pulang saya menemui dan bersalam dengannya. Dia agak terkejut dengan kehadiran saya. "Aik... lama mana mu hilang?" itulah pertanyaannya. Abang Aji ini memang becok dan kasar orangnya, tetapi hati baik.
"Kau tidak dengan Ibrahim lagi ke?" Tanyanya, maksdunya Inchek Ibrahim Ali.
"Malas Datuk, jenis manusia macam itu susah kita nak ikut...?" balas saya.
"Kenapa pulak..?" soalnya dengan wajah hampa.
"Ibrahim ni lebih pentingkan peribadi dia dari perjuangan, Perkasa dia jadikan alat untuk politiknya..." kata saya.
"Kepentingan macam mana pula..." Khalid semacam tidak senang dengan jawaban itu tetapi dia juga tidak mahu panjang bila terkesan telinga saya sudah menyirat dengan darah, marahkan Ibrahim.
Sebelum kami menaiki ke kereta masing-masing Khalid berharap akan dapat berjumpa dengannya dan meminta agar datanglah untuk minum kopi petang di rumahnya di Taman Tun Razak, Ampang.
Dari Putrajaya saya bergerak ke rumah Lokman di Bukit Jalil. Semasa saya sampai Tengku Razaleigh Hamzah sudah sedia ada di meja khas. Kelihatan sama Aspan Alias yang juga sudah lama dan kemudian meminta mohon diri untuk balik dan meninggalkan Tengku Razaleigh kepada saya, Dr Wan Suhaimi dan adiknya. Kami bertiga menemani Tengku Razaleigh. Inilah kelebihan Tengku Razaleigh walaupun dia sudah hendak bingkas pulang beliau tetap memberi ruang dan menghormati kami menemani kami minum sambil berbual.
Dalam kesempatan yang sedikit itu saya bertanya beliau mengenai pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh Najib. Tengku Razaleigh memberi pendapatnya tindakan itu tidak ikhlas dan buat kerana politik. "Pada ambo Najib bukan ikhlas sangat, pemansuhan itu lebih kepada politik.." ujarnya.
Pada Tengku Razaleigh akta itu bukan hari ini dimansuhkan tetapi sepatutnya sejak lama dulu. Akta itu sudah tidak relevan lagi begitu dengan akta darurat, buang daerah, akta mesin cetak yang dibuat pada zaman Mahathir. Semuanya patut dihapuskan.." katanya.
Sebaik Tengku Razaleigh melangkah keluar masuk pula bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Kamaruddin Ali bersama isterinya. Kamaruddin mengambil tempat di kerusi sebelah saya. Dalam kesempatan itu saya melontarkan beberapa persoalan dan ingin mengetahui pandangannya mengenai akta ISA yang dimansuhkan itu.
Bila saya mengatakan pemansuhan itu tidak berapa elok untuk keselamatan negara Kamaruddin seakan menyokong pendapat saya dengan mengatakan, "kita kena ingat bila ISA dihapuskan dua akta baru akan digubal. Silap-silap hari bulan akta yang akan digubalkan itu lebih kejam dari akta yang sedia ada."
Beliau berpandangan mungkin akta yang akan digubal untuk menggantikan akta ISA itu akan diambil atau berpandukan kepada akta anti keganasan yang dibubar oleh Amerika Syarikat selepas berlakunya peristiwa 11 September.
Kalaulah pandangan Kamaruddin itu benar maka betullah analogi yang dibuat oleh Lim Guan Eng, pemansuhan ISA itu yang akan diganti dengan dua akta baru tidak ubah seperti menuang arak ke dalam botol baru saja. Malahan apa yang lebih mengejutkan nanti mungkin arak di dalam botol baru itu lebih core lagi.
Perjalanan berakhir di kedai mamak di Taman Permata. Seorang kawan bersama anaknya sudah menunggu saya. Semasa minum di kedai berkenaan tiba-tiba masuk seorang lelaki bersongkok dan berjanggut. "Sheikh apa khabar, selamat hari raya.." dia bersalaman dengan saya dan menyambung... "semalam ana ke rumah Hasan Ali, dia buat rumah terbuka, enta tak pergi?"
"Tak... " jawab saya ringkas.
"Malam tadi saya tenguk Zulkefli Nordin dan Roslan Kasim juga ada. Dia masuk ikut tepi ana tenguk dia dia tak perasaan ana... duduk sekejap ana keluar meluat tenguk muka Zulkefli Nordin.." katanya. Saya hanya dengar dan diam, diam dan dengar.
"Nasib baik ana tak pergi rumah Hasan Ali, kalau terserempak dengan ana, ana akan lempang..." balas saya. Kawan yang sedang makan biji labu di sebelah terkejut ... dan memaling muka ke muka saya.
"Iya, kalau jumpa ana akan lempang, wakil rakyat pembohong itu..."
Kawan itu tergesa-gesa meninggal saya dan rakan dalam kedai. Sebelum melangkah keluar dia meninggalkan wang RM5 untuk bayaran kopi radik yang diminumnya. Kawan saya itu menolak kerana dia akan membayarnya, tetapi dia cepat-cepat keluar bimbang wang itu dimasukkan semula ke dalam poketnya.
"Tengok orang Pas, bukan macam orang Umno. Orang Umno kalau nampak kita dalam kedai mereka akan berderu masuk, jangankan hendak bayar, lepas kita bayar duit kita disenjah lagi.." keluh kawan saya itu yang dulu pemimpin nombor dua dalam Umno bahagian dan hari ini sudah berjihad dengan Pas. [wm.kl.8:56 pm 18/09/11]
No comments:
Post a Comment