Monday, September 19, 2011

Meneropong Kelantan

Betulkah Pas Tidak Beri Kerjasama
Kepada PKR Kelantan?


SERING saya mendengar keluhan hiba orang-orang PKR Kelantan kononnya Pas tidak memberi kerjasama kepada mereka. Kewujudan mereka di Kelantan relatif kecil itu seakan tidak dipandang oleh sesetengah ahli Pas. Malahan ada yang mencadangkan supaya meminggirkan langsung PKR? Betulkah?

Hak orang-orang PKR untuk menduduki atau memenuhi agensi kerajaan atau pun pembahagian kuota ahli Majlis Daerah juga tidak sepadan atau tidak dilakukan dengan adil dan mengikuti prioriti yang ada. Betulkah?

Saya tidak fikir pandangan itu akan menjadi konsensus Pas Kelantan. Harap pemimpin Pas Kelantan yang berkuasa membuat dasar dan polisi Pakatan Rakyat tidak mudah teruja dengan cadangan itu dan terikut dengan cadangan-cadangan bebas dari bawah yang kurang bijaksana dalam berpolitik.

Memang PKR Kelantan kecil dan tidak banyak membantu. Kewujudannya tidak ubah seperti melukut di hujung gantang saja. Saya tidak fikir pun ahli PKR Kelantan mencecah angka 10,000.

Tetapi harus diingat nama PKR itu sendiri adalah antara parti terbesar di negara ini. Bahkan kalau di pusat PKR dengan kehebatan pemimpinnya Anwar Ibrahim bakal dinobatkan sebagai parti tulang belakang PKR.

Justeru bukan bermakna Pas Kelantan boleh tidak untuk tidak layan PKR. Sebagai rakan sekutu di peringkat nasional Pas Kelantan kena mengambil pedulikan akan kewujudan parti itu. Jangan perkecilkan PKR. Pas Kelantan kena melihat dalam konteks lebih luas, konteks nasional.

Kerjasama yang diberikan kepada PKR Kelantan oleh Pas Kelantan akan dapat menjadi pemangkin kepada kerjasama diperingkat nasional. Misalnya kalau Pas Kelantan memantapkan hubungan, bertolak ansur dengan PKR, hal sama akan menjadi modal untuk hubungan di peringkat nasional. Ia akan dilihat Pas mempunyai understanding tinggi dengan PKR. Kebaikan kepada Pas, Pas di peringkat nasional khasnya di Pantai Barat juga akan dihormati.

Sebaliknya kalau Pas Kelantan meremehkan PKR, bimbang hal yang sama menimpa Pas dalam kawasan kuat PKR di peringkat nasional. Mungkin akan berlaku tindakan balas dendam. Jadi Pas jangan merasakan kekuatan yang ada kepadanya, berjaya memerintah Kelantan selama 20 tahun untuk tidak merasakan PKR yang kecil sebagai penting.

Saya menimbulkan ini bukan hendak membakar semangat, tetapi memberi peringatan kerana ada pemimpin Pas termasuk peringkat Exco liat untuk memberi kerjasama kepada pimpinan PKR peringkat cabang. Dalam satu kejadian, Exco berkenaan enggan memberi kerja sama dengan pemimpin PKR malahan cuba menghalang pemimpin lain memberi kerjasama. Ini perangai tidak baik.

Kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Exco berkenaan sepatutnya tahu dan pandai menilai penglibatan PKR dalam membantu pilihan raya. Walaupun jumlah undi dari PKR sedikit tetapi ia patut dihargai. Bukankah dengan berkibarnya bendera PKR dalam kawasan pilihan rayanya ia menunjukkan Pas tidak berjuang bersendirian tetapi mendapat kerjasama PKR.

Sikap Exco ini berbeza dengan tingkah laku dan perangai Tok Guru Nik Aziz. Nik Aziz tidak begitu lokek dalam membantu PKR. Sebutlah bila nak jumpa Nik Aziz sedia berjumpa dan berbincang. Inilah sikap pemimpin sejati. Cuma apabila Nik Aziz bagi masa dan ruang untuk berbincang pemimpin PKR yang hadir pula jadi kaku dan 'kenalin' tidak tentu pasal sehingga maksud asal yang dibawah terburai tengah jalan.

Misalnya baru-baru ini Nik Aziz walaupun sibuk tetap menghadirkan diri ke rumah terbuka rumah Ahli Parlimen PKR Tanah Merah, sdr Amran Abdul Ghani. Itulah bisa dan hemahnya Tok Guru. Walaupun sibuk dia akan cuba menyempatkan diri. Tidak kisah lama atau sekejap dia tetap akan hadir.

Kalau hendak dikira siapalah Amran tokoh muda yang kecil yang baru menang sepenggal dan masih ramai orang Kelantan tidak mengenalinya. Tetapi bila diundang dan diajak beliau (Tok Guru) sudi menyinggahi walaupun sekejap. Alhamdullilah katanya majlis rumah terbuka itu meriah juga walaupun diadakan secara kecil-kecilan di rumah Amran. Hampir 200 orang India turut hadir. Beberapa orang pemimpin PKR termasuk Pengerusi Perhubungan Abdul Aziz Kadir ikut sama hadir.

Sebanyak 1,200 batang aiskrim disediakan habis sebelum menjelang petang.

Sekali lagi disebut inilah teladan dan syaksiyah yang ada kepada Tok Guru Nik Aziz. Kalau semua pemimpin Pas bersikap seperti Tok Guru rasanya tidak timbul ada yang berkecil hati dan terkeduh rasa dengan Pas. Pemimpin PKR juga tidak ada yang sampai merungut dan merintih bab hal-hal pemimpin Pas yang tidak sporting dan suka menunjuk agah.

Makin dekatnya pilihan raya umum ini Pas hendaklah makin akrab dengan PKR. dalam pada itu PKR pula perlu memahami akan kedudukan dan insaf akan diri mereka. Kedudukan PKR hanya melukut di hujung gantang pada pandangan mata Pas hendaklah diinsafi. Kalau hendak menuntut itu biarlah berpadan patut, jangan yang bukan-bukan. Bak kata orang bila kita hendak pikul sesuatu ambilkan beban yang sepadan dengan 'ren' kita.

Menjelang pilihan raya umum ini formula terbaik di Kelantan dalam hubungan PKR dan Pas ialah kekalkan status quo yang ada. Maksudnya mana-mana kerusi yang PKR bertanding dulu berikan kepada PKR. Kecuali ada kerusi yang dirasakan perlu pertukaran untuk mencatat kemenangan, lakukan. Sepatah amanat Husam Musa, semua pihak harus memikirkan kemenangan bersama dan bukan kemenangan diri sendiri.

Apa juga yang terbaik untuk melihat Pas akrab dengan PKR, atau Pas ikhlas dengan PKR kali ini dalam pembentukan kerajaan pastikan ada wakil PKR sebagai Exco. Bagilah satu dari sembilan kerusi Exco...tidak rugi. Untuk itu Pas dan PKR kena pelan cari kerusi-kerusi Dun yang selamat untuk ditandingi oleh PKR. Jangan pula diserahkan kerusi-kerusi hulu yang sukar dimenangi atau kata orang kalah sebelum hari penamaan calon. Untuk melaksanakan ini formula bertukar kerusi atau kawasan demi mencapai kemenangan boleh diguna pakai.

Saya yakin PKR di bawah pimpinan Abdul Aziz Kadir yang sentimental ianya tidak banyak menyusahkan Pas. Aziz seorang bertolak ansur dan sedia menerima apa saja keputusan kerana dia juga ada sedikit sebanyak perangai Tok Guru mempercayai atas apa-apa yang dirasakan baik. Bayangkan macam mana kalau PKR dipegang oleh orang-orang macam Zaid Ibrahim atau Inchek Ibrahim, tentu jadi haru biru. Jadi Pas Kelantan sangat bernasib baik kerana ketuanya Aziz Kadir yang tidak langsung membebankan Pas.

Yang perlu dielakkan ialah jangan sampai berlaku pertelingkahan di saat-saat akhir nanti. Paling menakutkan ialah tercetus perbalahan kerana merebut kerusi. Jadi berpakatlah sebaik mungkin. Apa-apa keputusan dan tindakan biar adil dan jangan sampai ada yang sakit hati dan terkeduh rasa apa lagi sampai yang memendam hati. [wm.kl.11:56 am 19/09/11]

1 comment:

Ustaz Haji Fikri Awang Al-Kelantani said...

Salam...
[1] Setuju:...asalkan JANGAN menyusahkan Pas...susahnya Pas, PKR tak mampu tolong... UBN yang menang.
[2] Setuju:...realiti, JANGAN menyusahkan PKR sendiri...susahnya PKR, Pas tak mampu tolong...UBN yang menang.
[3] Setuju:...masing-masing faham bahawa tugas utama ialah menamatkan riwayat UBN di Kelantan khususnya dan di Malaysia khususnya....JANGAN sekali-kali melakukan kerja yang menyebabkan UBN subur dan gagah kembali.