Saturday, October 6, 2012

Al Haram Al Sharif: Taman Syurga Yang Terpenjara

CATATAN MUSAFIR UMRAH (5)

Alhamdulilah hari ini dapatlah saya menyambungkan untuk mencatat pemusafiran ziarah umrah saya ke tiga buah masjid; masjid Al Aqsa, masjid Haram dan masjid Nabawi. Penangguhan ini kerana saya menguruskan penerbitan buku baru saya, jadi masa sedikit tergelecah. Banyak masa dihabiskan untuk menguruskan buku berkenaan setelah agak lama tidak menerbit buku. Walaupun sudah ada pengalaman tetapi, 'kerenyahan' tetap juga masih ada dalam urusan penerbitan sesebuah buku ini. Jadi catatan pemusafiran umrah ke ketiga buah masjid ini khas masjid Al Aqsa di Baitulmaqdis tertangguh.

Salah satu jalan untuk masuk ke kawasan Al Haram.
Dicatatan akhir di siri 4 lalu saya cuba menjelaskan mengenai Qubah as Sahkarah dan kekeliruannya dengan masjid Al Aqsa yang berada dalam satu kawasan al Haram as Sharif. Ramai menyangka qubah atau kubah berwarna kuning keemasan itu yang popular dikenali Dome of the rock adalah masjid al Aqsa yang menjadi tempat di mana kiblat pertama umat Islam.

Dalam catatan ini saya akan bercerita mengenai kawasan al Haram as Sharif di mana kawasan yang menakungi dua tempat bersejarah utama, al Sahkarah dan masjid al Aqsa serta yang dikeliling ratusan monumen bersejarah lain.

Fungsi atau martabat kawasan ini samalah dengan al Haram di Makkah. Kawasan seluas 1,500 hektar ini berpegar (tembok batu) seolah-olah macam kubu dengan ketinggian kira-kira 15 meter atau lebih dan lebaranya 3 atau 5 meter. Mempunyai 12 pintu utama dengan berbagai nama. Saya sudah sebut nama-nama pintu ini dan signifikennya dalam catatan lalu. (Kepada yang baru menemui catatan ini sila rujuk.)

Sesuai dengan kedududukan itu, al Haram al Shariff ini bagaikan sebuah taman yang diimiginasikan sebagai salah satu dari taman di syurga. Di dalamnya dipenuhi dengan pokok-pokok renek dan pokok yang berusia ratusan tahun yang menjadi penghiasan dan perteduhan. Dari jalan besar menuju masuk ke Kubah as Sharah sepanjang jalan dibarisi dengan pokok renek berdaun jarang sebagai penghiasan. Pokok-pokok di kawasan itu dirawat indah bagaikan sebuah ladang. Menjadi tanda tanya kepada saya pokok-pokok itu dicat dengan warna putih di separuh bahagian batangnya.

Mikhrab yang dibina meningahkan kawasan al Haram.
Sebelah petang menjelang Asar, kawasan ini menjadi taman peraduan, tempat bersantai dan berihat. Ramai yang datang bersama anak-anak dan keluarga. Warga emas juga turut sama mengambil kesempatan untuk berihat-rihat di atas bangku yang disediakan di beberapa penjuru di laman berkenaan. Pemandangan sayu dapat dirasakan apabila melihat warga emas membaring diri di bawah pohon besar, kelenaan mereka tidur sambil ditiup angin sambil bermimpi kebebasan Palestin yang masa kini ditakluki Yahudi Zionis.
Warga tua bebas untuk baring di dalam al Haram.

Tatakala melewati di sebuah bayangan pokok saya melihat seorang warga emas tidur dengan lena sekali. Lama saya memerhati dan cuba membayangkan yang beliau sedang dibuai mimpi kemerdekaan dari sebuah intifadah.

Tidak dapat dibayangkan apakah fungsi laman al Haram al Shariff ini sudah berubah. Bahawa dulunya ia dijadikan laman tempat belajar ilmu, bermuzakarah membicara soal kemanusiaan, ketuhanan dan juga kehebatan lembah itu sendiri sebagai bumi penuh berkat dan suci dengan tiga agama hidup saling hormat dan membantu?

Terdapat kata-kata nukilan berupa pujian dan sanjungan oleh pengkagum laman berkenaan kononnya ribuan malaikat senantiasa bertasbeh di taman berkenaan memuji Allah. Sesiapa yang memasuki ke al Haram as Shariff mereka akan dipayungi sayap malaikat. Perasaan halus saya dapat merasai kebenaran ini tatkala kaki menjejak ke laman ini. Seluruh bulu roma saya berdiri tegak dan semaca ada semangat ganjil menyelinak ke dalam pembuluh darah. Mungkin kerana begitu teruja dengan kecantikan dan kemegahan Dome of the rock.

Beberapa buah mihrab kecil kedapatan di sekitar masjid dibina dan pemandangannya menambahkan lagi keunikkan laman berkenaan. Dulu, di situlah tempat (makam) imam-imam besar atau ulama tersohor dari seluruh tanah Arab datang mengajar di situ memberi didikan dan tarbiyah agama. Antara imam besar yang dikatakan hadir ialah Rijatul Islam Imam al Ghazali. Hari ini mihrab itu terbiar begitu saja seakan ia dibiarkan hanya untuk dijadikan monumen membuttikan kehebatan laman berkenaan.

Jalan utama dalam kawasan al Haram as Sharif.
Dari segi kedudukan dan muka alam al Shariff al Haram menjadi pusat Juruselam. Ia berada di tengah-tengah menjadi inti kepada bandar itu. Ini menunjukkan bahawa pembangunan terawal di Juruselam ialah di kawasan itu. Malahan juruselam itu sendiri menjadi penting apabila terletaknya tiga tempat suci agama Islam, Kristian dan Yahudi. Kedudukannya ini menjadi penting dan ada kalanya menjadi rebutan di antara satu sama lain oleh kalangan fanatik dan ekstreamise agama.

Sehingga kini fanatik Yahudi sedang berusaha untuk memiliki kawasan ini. Mereka mahu mendirikan Haikal Sulaiman iaini tample Nabi Sulaiman yang diruntuhkan dipercayai berlokasi di situ. Ketegangan sering berlaku diantara fanatik agama mengenai hal ini. Penggalian di kawasan itu dilakukan atas alasan untuk mencari kesan sejarah, walhal helahnya untuk meruntuh masjid Al Aqsa dan Kubah Shakarah untuk dibangunkan Haikal Sulaiman.

Salah satu terowong untuk ke al Haram.
Di lihat dari luar kawasan al Haram as Sharif ini ia dikelilingi bangunan lama merupakan rumah kedai, bangunan usang dan rumah tardisi orang-orang Palestin. Kerana kepadatanya sukar untuk memasuki ke kawasan berkenaan. Untuk menjenguknya kita harus melalui jalan kecil selebar enam kaki yang menuruni bukit bertangga. Di sesetengah tempat kita terpaksa 'menyurup' rumah penginapan yang didirikan ditepi-tepi jalan.

Salah satu pasar menjual buah di jalan masuk.
Jalan masuk ini sebenarnya kedapatan di beberapa bahagian kawasan berkenaan. Jalur jalannya ialah menuruti pintu masuk ke laman berkenaan yang mempunyai 12 buah pintu. Di celah-celah jalan menuju ke laman ini juga terletaknya pasar, stesen kereta sewa, sekolah dan sebagainya. Kawasan itu merupakan satu kompleks yang boleh dianggap multi kompleks - kompleks serba ada. Sebahagian jalan menuju ke al Haram as Sharif harus melalui terowong sejauh 60 hingga 100 meter.

Bagi anak-anak Palestin diruang pegap dan kecil inilah juga medan rempat mereka bermain dan melepaskan naluri keanak-anakkan mereka. Sukan paling digemar mereka ialah bola sepak, ragbi dan juga bola tampar.

Meskipun pun ditekan dan identitas mereka cuba dihapuskan penduduk Islam Palestin masih kuat mengamalkan budaya dan tradisi menghormati ketibaan bulan Ramdhan. Setiap kali Ramadhan tiba mereka akan sambut dengan penuh meriah. Salah satu cara ialah mereka akan pasang lampu neon di hadapan rumah masing-masing. Lorong dan jalan yang ada dalam kompleks penempatan itu akan dihiasi dengan neon berbunga. Mereka akan sepakat menghiasnya dengan ala kadar dan apa termampu.

Apabila tiba Ramadhan lampu itu akan dipasang sepanjang malam ini menyebabkan seluruh lorong dan jalan dalam kompleks serba ada itu akan terang benderang dengan cahaya neon. Boleh saya bayangkan tardisi dan kebudayaan itu adalah satu cara dan peluang untuk kanak-kanak bergembira di mana tidak ada tempat dan ruang untuk mereka menghalami keadaan seperti itu.

Kebanyakan yang tinggal dalam kompleks itu adalah oraang Islam. Mereka kelihatan masih bebas untuk melakukan kegiatan seharian termasuk ibadat. Tetapi hakikatnya tidak begitu. Seluruh kawasan itu dikawal oleh tentera Zionis. Segenap pintu masuk ke kawasan itu sehingga di pintu masuk ke al Haram as Sharif dikawal 24 jam oleh tentera Zionis yang lengkap bersenjata. Walaupun tujuan mereka untuk memastikan keselamatan agar orang bukan Islam tidak menyusup masuk, namun dari segi politiknya mereka mempamirkan yang mereka telah menguasai al Haram as Sharif itu.

Kawasan al Haram as Sharif itu memang dibuka untuk kunjungan pelancong dan juga untuk orang Islam mendirikan solat dan melihat kesan-kesan sejarah yang ada. Namun dengan kawalan ketat dikenakan ia seolah-olah hanya sebagai sandiwara kebebasan semata-mata. Realitinya seluruh kawasan itu sudah dikepung dan fizikalnya menjadi milik Yahudi. Sebenarnya sejak Israel mengistharkan Juruselam sebagai ibu negaranya, hak dan kebebasan orang Islam Palestin sudah tidak ada lagi.

Apa yang berlaku kini orang Islam Palestin hanya dapat merasakan Juruselam atau Baitulmaqdis sebagai haknya hanya pada nama saja. Sebalik dari segi kuasa sudah tidak ada lagi. Mereka yang tinggal dan mendiami di Juruselam itu sebenarnya merupakan tahanan Yahudi Zionis yang tidak mungkin akan terlepas dan bebas lagi melainkan atas kemahuan Allah s.w.t. sendiri. [wm.kl.11:47 pm 06/10/12]
Bersambung...

No comments: