Sekiranya Pas dan PKR Kelantan kekal dengan status quo dalam pembahagian kerusi pada pilihan raya akan datang, ini bermakna Pas akan memperolehi 41 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 11 daripada 14 kerusi parlimen. Selebih dari kerusi itu adalah diperuntukan kepada PKR.
Dalam catatan ini saya tidak mahu mengulas mengenai kedudukan kerusi Dun, tetapi akan cuba memberi fokus kepada kerusi parlimen terlebih dahulu. Status quo hari ini adalah berdasarkan pencapaian pada pilihan raya umum ke-12 lalu.
Dr Hatta: Kekal di Kuala Krai? |
Dalam pilihan raya lalu dari 11 kerusi parlimen ditandingi Pas, sembilan kerusi menang. Kerusi-kerusi yang dimenangi Pas ialah, Tumpat, Rantau Panjang, Pasir Mas, Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Bachok, Pasir Puteh, Kubang Kerian dan Kuala Krai.
PKR diperuntukan tiga kerusi parlimen menang disemua kerusi. Kerusi-kerusi itu ialah Ketereh, Machang dan Tanah Merah. Menerusi catatan atau analisa kecil ini saya tidak akan mengheret sama PKR kerana saya mengira PKR sudah pun membuat keputusan dan keputusan itu tepat untuk menyelamatkan kerusi-kerusi tersebut? Tampaknya PKR konfident benar parti itu akan menang dengan majoriti besar dalam pilihan raya akan datang.
Untuk rekod ketiga-tiga kerusi parlimen dimenangi PKR itu dengan majoriti di bawah 2,000 undi. Kerusi Tanah Merah menang dengan 1,548 undi, Machang 1,450 dan Ketereh dengan majoriti 400 undi, majoriti paling kecil.
Dua kerusi lagi iaitu Gua Musang dan Jeli adalah milik Umno di mana kedudukan dan pencapaian kedua-dua wakil rakyat itu menjadikan kedua kerusi itu sebagai benih buat UBN di Kelantan.
Jeli diwakili "hougun siou" Mustapa Mohamed manakala Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah. Saya juga yakin mereka akan dikekalkan di kerusi berkenaan pada pilhan raya akan datang, dengan tambahan kerusi state untuk Mustapa sekiranya disaat-saat akhir Umno Kelantan membuat perhitungan mereka akan mampu menumbangkan kerajaan Pas, Mustapa akan diminta bertanding di state di samping kerusi parlimen Jeli.
Perletakkan Mustapa di state pastinya di kerusi Air Lanas membolehkan Mustapa dilantik menjadi Menteri Besar bagi mengganti Tokguru Nik Aziz. Mustapa pernah menang dikerusi itu tahun 2004. Mengenai Mustapa dan Umno kita tinggal dulu, akan diulas dalam siri akan datang.
Berbalik kepada mauduk asal tadi iaitu, mencari siapakan calon-calon sesuai untuk diletakkan di kerusi parlimen di pihak Pas, saya ingin mengatakan kepada Pas, kali ini parti itu perlu berhati-hati dan bijak memilih calonnya. Bagi saya calon kali ini bukan saja seseorang yang boleh membawa kemenangan demi memastikan Pakatan Rakyat cukup korum untuk memerintah Malaysia, tetapi yang boleh diharap atau dilantik menjadi pemimpin nasional. Ertinya yang mempunyai kualiti 'boleh menang' dan 'boleh menjadi pemimpin'.
Calon parlimen kali ini mestilah berkualiti, bukan saja fizikal tetapi dari segi minda. Seorang yang beketrampilan dan profesional. Seorang yang mempunyai syakisah dan latar belakang pendidikan yang mampan. Calon yang hendak diletakkan nanti bukan lagi bertaraf cikgu pencen, askar pencen, atau pegawai kerajaan pencen secara opsyen, atau pun ustaz berserban bersar dan berjanggut lebat, tetapi yang berciri-ciri yang disebutkan di atas tadi.
Justeru kali ini Pas tidak boleh hanya mengira atau mengambil ciri-ciri calon atau watak yang boleh menang saja seperti diamalkan sebelum ini, tetapi biarlah yang ada wawasan dan kaliber. Ciri-ciri dan watak calon parlimen hendaklah berbeza dengan calon di peringkat Adun kecuali yang dikenal pasti untuk menjadi anggota mesyuarat kerajaan (Exco), mereka sewajarnya mempunyai kualiti setanding dengan calon parlimen.
Mereka yang berperwatakan kampung, berperangai macam pegawai kerajaan pencen, berfikiran jumud, tidak memiliki sebarang ketrampilan (kelulusan iktisad) dan hanya tahu membaca Qur'an dan Hadith saja, atau tukang-tukang lawak dengan kisah Abu Nawas dan hikayat 1,001 malam, yang tidak tahu bagaimana menterjemah falsafah dan ajarannya dieksploit didalam kehidupan juga tidak penting.
Keutamaan yang perlu ditekankan kepada latar belakang pendidikan, profesinolisme, konteks dan hubungannya serta jalinan (net working) kepimpinannya luas. Saya menerima pandangan bekas MP Rantau Panjang Abdul Fatah Haron yang pernah mencadangkan agar calon parlimen dipilih dari mereka yang ada ijazah. Apa dimaksudkan Abdul Fatah itu ialah seseorang yang luas pengetahuan dan memiliki beberapa kebolehan profesional, penuh dengan ilmu untuk berdebat dan berhujah di parlimen.
Beliau pernah menjadi anggota Parlimen mungkin beliau tahu susah senang ataupun kekoknya menjadi ahli parlimen yang tidak mempunyai kelulusan apabala sesekali ingin mengambil bahagian atau disuruh oleh whip parti untuk membentang apa-apa usul di parlimen. Fatah adalah antara wakil rakyat yang tidak memiliki ijazah.
Saya ingin perluas dan memantapkan lagi apa yang disarankan Fatah, bukan saja setakat ada ijazah pertama, tetapi kalau boleh biarlah calon-calon yang hendak dikemukakan memiliki ijazah di peringkat master dan Phd. Sejajar itu ada track record dalam pengurusan kewangan, pentadbiran dan oraganisasi massa peringkat nasional. Atau sekurang-kurangnya calon perlu seorang yang rajin dan faham dunia politik dan tanggungjawabnya. Di samping itu yang memiliki ilmu agama yang mantap.
Khabarnya ada beberapa kerusi yang bakal menerima calon baru. Jadi eloklah kalau calon-calon baru itu diambil berdasarkan kriteria yang disebut di atas tadi. Kerusi-kerusi yang akan mengalami pertukaran ialah Pengkalan Chepa, Bachok, Pasir Puteh, Kubang Kerian, Kota Bharu dan Pasir Mas. Seakan sudah pasti kerusi-kerusi ini tidak lagi diwakilkan oleh wakil yang ada sekarang.
Abdul Halim Abdul Rahman yang mewakili Pengkalan Chepa tidak lagi akan dikekalkan dan muka baru akan diletakkan di situ. Begitu juga dengan Bachok yang diwakili Nasharudin Mat Isa akan diganti dengan calon baru.
Kerusi Pasir Puteh yang diwakili Muhamamd Hussein juga akan turut sama diganti dengan muka baru. Kubang Kerian yang ditinggalkan Sallahuddin Ayub yang tugas untuk menggempur Johor bagi mengubah lanskap politik negeri itu akan diganti dengan muka baru.
Begitu juga dengan kerusi Kota Bharu, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah tidak lagi akan diturunkan semula. Sebenarnya alasan atau sebab untuk Wan Rahim digugurkan tidak berapa tepat. Alasan beliau sendiri yang beliau sudah tua tidak merupakan alasan konkrit. Sebab dalam dunia politik tidak ada istilah tua bahkan dalam politik tradisional makin tua makin berminyak. Manakala kerusi Pasir Mas yang sebelum ini Pas pinjamkan kepada seorang manusia jalang juga akan mendapat calon baru.
Manakala kedudukan atau perkembangan di kerusi-kerusi Tumpat diwakil Kamaruddin Jaaffar, Kuala Krai di wakil Dr Mohd Hatta Ramli dan kerusi Rantau Panjang diwakil Siti Zailah Yusuf tidak ada kedengaran ianya akan mengalami perubahan. Kecuali kerusi Rantau Panjang ada perhitungan dan perkiraan untuk mengubah Zailah ke kerusi Dun Gual Periok. Kalau ini berlaku pertukaran itu maka kekosongan ditinggalkan Zailah perlu difikirkan, bererti Rantau Panjang juga akan mempunyai bakal wakil rakyat baru.
Untuk kerusi Jeli dan Gua Musang sehingga ini Pas tidak belum memutuskan sama ada calon lama, Mohd Apandi Mohmad (Jeli) dan Dr Zulkefli Mohamed (Gua Musang) dikekalkan atau tidak. Atau pun ada plan kontingensi di kedua-dua kerusi berkenaan? [wm.kl.11:08 am 20/10/12] Bersambung di bahagian ke dua.
1 comment:
Saya sedang menanti, siapakah yang akan menggantikan YB Saifudin Nasution di kawasan saya yakni Machang. Jika dilihat kepada Cabang PKR Machang, rasanya mereka tidak punya tokoh yang menonjol untuk diketengahkan.Orang Machang perlukan bukan sahaja seorang yang berkaliber tetapi juga lebih banyak berada di kawasan supaya rakyat dapat 'bermanja' dengan wakil rakyat mereka :)
Post a Comment