SENGGANG MASA
Tengahari hari minggu kelmarin telah berlangsung satu perbincangan santai berhubung isu perpaduan Melayu. Perbincangan itu berlangsung sambil makan tengah hari di samping mengejatkan persaudaran sebangsa. Ia berlangsung di rumah tokoh politik veteran di ibu kota Kuala Lumpur. Saya percaya ia dianjurkan atas inisiatif tuan rumah itu.
Yang hadir adalah sekitar 35 orang yang terdiri dari cendekiawan dari berbagai disiplin ilmu. Ada pensyarah universiti, ahli politik, perniaga, akademik, perundangan, bekas editor akhbar dan sebagainya. Dua orang bekas Ketua Polis Negara juga turut sama hadir.
Satu kertas kerja mengenai perpaduan Melayu dibentangkan oleh seorang pensyarah kanan sebuah universiti. Tidak tahu pula apakah bahan dan isian kertas kerja berkenaan. Salinan pun tidak diedarkan. Ia dibentangkan secara santai sebagai bahan mengisi majlis perbincangan itu. Mungkin ia hanya sebagai intipati kepada perjumpaan itu atau sebagai bahan renungan bersama di kalangan yang hadir.
Menurut teman yang hadir, tidak ada apa-apa resolusi atau rumusan mengenai kertas kerja itu. Selepas pembentang mengemukakan pandangan mungkin hipotesis mengenai perpaduan Melayu, mereka yang hadir bertanya balas apa yang dibentangkan. Mungkin juga pertemuan itu mencari idea untuk mengadakan pertemuan lebih besar untuk membincang permasalahan perpaduan Melayu yang mereka merasakan makin terdesak.
Apapun terima kasih kita lafazkan atas usaha itu. Setidak-tidaknya masih ada lagi di kalangan bangsa Melayu yang cerdik - di luar batas politik memikirkan nasib dan masa depan bangsa.
Menurut teman saya, seorang ahli politik yang hadir tidak begitu ghairah dengan perjumpaan itu. Beliau mengaggap perbincangan mengenai perpaduan Melayu satu yang idealistik dan tidak mudah dizahirkan. Satu perbincangan yang tidak menjejak ke akar umbi sebenar mengenai permaslaahn itu. Beliau tidak yakin soal perpaduan Melayu dari konteks politik dapat diselesaikan.
Saya agak bersetuju dengan pandangan ahli politik berkenaan. Saya sudah lama merasakan perbincangan mengenai perpaduan Melayu tidak lebih satu latihan mental (mental exercise) saja yang tidak mungkin mencapai matlamatnya. Jauh dari itu ia sebagai momokkan untuk menakut atau memeranjatkan orang Melayu (bawahan dan tidak faham politik) agar kembali kepada asal. Itu yang saya nampak.
Kalau benar begitu, masalah perpaduan Melayu ia dijadikan modal politik semata-mata dan usaha untuk mengtasinya ia tidak membawa apa-apa kesan. Malahan pihak yang sudah faham dan mengerti isu itu dijadikan modal politik dan juga yang menerima asas agama adalah tunggak perpaduan sejati akan mengalpakan begitu saja.
Saya juga mengira selagi ada dua buah parti politik bernama Umno dan Pas perpaduan Melayu bukan senang untuk diwujudkan. Kedua-duanya berangkaian dengan bukan Melayu di mana rangkaian ini menjadi penghalang untuk mereka mengemenkan diri di satu tiang. Di celah-celah ini juga menyebabkan saya merasakan kepayahan untuk bangsa Melayu bersatu ialah kerana ia sengaja dipisahkan oleh pihak-pihak tertentu.
Pihak tertentu dimasudkan rakan-rakan bangsa bukan Melayu dalam kelompok mereka ada kemungkinan memain jarum menyucuk agar bangsa Melayu senantiasa tegang kerana dengan cara itu mereka dapat terus membina kedudukan mereka agar terus kukuh.
Justeru jalan penyelesaian atau usaha untuk mencapai perpaduan ini saya yakin kedua parti ini perlu ditiadakan? Atau pun tegasnya orang-orang politik partian jangan berada dalam mana-mana wadah yang berusaha ke arah untuk memadukan perpaduan Melayu itu. Kerana kalau mereka ada mereka tetap akan mengutamakan agenda parti politik masing-masing daripada keutamaan-keutmaan lain termasuk soal perpaduan bangsa itu. Bila ini dominan maka hasrat itu akan memberai di pertengahan jalan.
Kedua, perpaduan Melayu boleh sahaja wujud apabila sudah ada kesedaran mendalam di kalangan orang Melayu yang rata-rata beragama Islam. Mereka harus kena diberi faham bahawa perpaduan hakiki ialah atas dasar agama bukan bangsa. Selagi soal agama, kulit kepada kehidupan itu diambil kira, maka selama itulah perpaduan tidak akan wujud. Dalam erti kata lain, kita kena berusaha membuang warna hijau dan biru dan cari satu formula bagaimana memutihkan antara dua warna yang senantiasa kontras itu.
Menutup catatan ini buat saya isu atau mauduk perpaduan Melayu tidak lebih dari dijadikan modal politik semata-mata bukan ia benar-benar untuk membina kekuatan Melayu. Perpaduan Melayu akan kuat dengan sendirinya apabila bangsa Melayu sudah ditimpa khiamat dunia. Tidak ada guna kesedaran mengenai Melayu ini wujud dikalangan beberapa kerat sahaja sedangkan yang lain sedikitpun tidak merasa apa-apa bahanan akan bahaya.
Justeru bangsa Melayu harus ditimpa dengan musibah, kedahsyatan hidup ataupun diancam keaniayaan baru mereka (kita) akan teringat untuk bersatu dan saat itulah kita semua bangkit. Soalnya apakah kita masih mampu untuk bangun membela dan memperkuatkan diri sedangkan anggota kita sudah lemah? Pertanyaan ini akan terjawab selepas kita semua ditimpa musibah di atas kedegilan kita. [wm.kl.6:11 pm 23/10/12]
No comments:
Post a Comment