Friday, December 2, 2011

Keinsafan Di Sebuah Perlayaran

Tatkala Perasaan Dideburi Ombak Selat Melaka

RABU lalu ketika para perwakilan Umno berbuak-buak memasuki PWTC untuk mendafarkan diri sebagai perwakilan bagi menghadiri perhimpunan agung ke 62, saya berada di atas feri Manggar Alpha sedang menuju ke Pulau Batam Indonesia. Dalam perjalanan bermula di pengkalan Stulang Laut Johor Bharu itu saya sengaja tidak duduk di kerusi dan berdiri atas bumbung feri berkapasiti kira-kira 120 orang itu.

Dari atas deck saya melepaskan pemandangan sejauh mungkin ke sekeliling memerhati apa yang ada di tebing Temasik dan tebing Johor Bharu, khasnya di sekitar Pasir Gudang.

Perjalanan dari Stulang ke Batam ini adalah pertama kali. Saya kawan bersama seperjalanan Rushdan Mustapa yang membuat program on the spot sengaja memilih jaluran Stulang ke Batam bukan dari Singapura yang masa perjalananya hanya setengah jam berbanding menerusi Stulang selama 1 jam setengah.

Saya memilih perjalanan berjarak jauh untuk membolehkan melihat panorama kiri dan kanan di kedua buah negara sepuasnya di samping melepaskan penat dan stress kerana banyak menulis dan menguruskan perkahwinan anak perempuan saya dua minggu lepas.

Cuaca pukul 9:00 pagi itu baik. Matahari memacar dari Timur seakan mengucapkan selamat belayar kepada saya dan semua warga feri yang kebanyakan bangsa Indonesia. Tidak ada hujan dan langit cerah menderang. Kabus juga yang sebelum itu kelihatan bercumbu dengan muka laut sudah tipis dan berlalu perlahan-lahan mengusapi buritan feri. Laut juga tidak berombak menjadikan perlayaran tenang dan santai, persis semanjung tanah besar dengan pulau itu tiada apa sengketa.

Sebermula dari pengkalan feri Stulang Laut hati saya digugah perasaan sayu dan dukacita. Kesyauan itu tiba-tiba mencengkam hulu hati apabila melihat tambok Johor yang tergalang kejauhan bagaikan tali mengikat dua jiwa yang enggan berpisah. Tambok itu kelihatan berbalam balam apabila ada kocakan kecil di muka laut tatkala feri disembahi ombak dari feri lain yang berselisihan.

Dari kejauhan berjarak lebih 2 km itu saya nampak kenderaan berhilir mudik menjadi nadi kepada dua jiwa yang terputus. Tetapi ternyata yang mudik lebih banyak daripada yang hilir. Kebanyakan kenderaan yang nampak ialah motosikal. Saya mendapat tahu kebanyakan motosikal itu adalah pemilik warga Malaysia yang berkerja di Temasik yang jawatannya rata-rata boroh bergaji di bawah SD5,000.

Sebanyak 700 buah motosikal yang berulang alih dari Johor Bharu ke Temasuk setiap hari di tembok berkenaan. Angka itu katanya lebih banyak lagi yang mengunakan laluan kedua di Tuas. Antara pelaluan itu ada juga rakyat Temasik yang berumah dan tinggal di Johor Bharu.

Satu keadaan yang saya rasakan sudah tidak seimbang bila mana rakyat Temasuk tinggal di Johor dan berulang alik bekerja di negara mereka. Tidak ada pula rakyat Malaysia yang tinggal di Temasik dan bekerja di Johor Bharu. Kenapa?

Perbezaan ini sudah menjelaskan akan jurang yang terbentuk di antara Temasik dengan Johor Bharu atau Malaysia. Rakyat mereka tinggal di sini; berak, kencing dan beranak pinak tetapi bekerja di sana. Khabarnya sudah ramai warga Temasik yang membeli hartanah di Johor Bharu yang mulanya dibina untuk rakyat Johor tetapi kerana kosnya mahal terpaksa dijual kepada rakyat Temasik bagi mengelakkan menanggung kerugian. Satu tindakan menjual negara saya kira.

Sepanjang perlayaran membelah selat Teberau itu saya memerhati silih berganti di sebelah kiri dan sebelah kanan sambil memotret segala macam pemandangan dan objek terlintas di musung kemera.

Di sebelah kiri menyusuri tebing sempadan Temasik, manalaka di sebelah kanan ialah tebing Malaysia. Kerana perkhidmatan feri beroperasi di Malaysia, perjalanannya melalaui lautan antarabangsa yang menghimpit ke arah Pasir Gudang.

Jelas sekali pemandangan pembangunan fizikal atau kapal yang mendarat di kedua buah darmaga di Temasik dan Pasir Gudang berbeza. Banyak kapal yang berjujutan menanti ruang untuk memasuki darmaga Temasik berbanding dengan Pasir Gudang. Saiznya pula lebih besar yang menunggu untuk masuki ke darmaga Temasik berbanding yang hendak berlabuh di darmaga Pasir Gudang.

Persaingan dan siapa pemenang nampak jelas dalam pemandangan ini. Dan apa yang memberi keinsafan kepada saya ialah mengenai pengawalan sempadan oleh kedua buah negara, juga berbeza. Negeri Temasik nampak lebih berhati-hati dan berwasapada dan keselamatan negaranya diambil berat. Ini dapat dilihat kepada pagar yang dipasang di sepanjang kepulauan itu, ia bukan saja nampak kemas berdisplin tetapi dua lapis persis paagar eletrik. Kedudukan pagar itu sudah menunjukkan Temasik dalam waspada dan begitu kukuh sekuritinya.

Manakala polis merin pula rajin membuat rondaan. Setiap tiga km saya nampak ada bot bertulis perkataan Police meluncur laju di sepanjang persepadanan. Bot itu dipasanag dengan radar dan ada api signal yang berkelip-kelip mengesan sesuatu. Saya memerathi di sebelah kanan tidak ada sebuah pun bot polis dari Malaysia. Mungkin kawalan tidak perlu kerana Malaysia sihat dan selamat.

Di tengah laluan pula sesekali terserembak dengan dua tiga orang nelayan yang menjaring ikan menggunakan perahu kecil. Setiap kali peronda police Temasik meluncur membela lautan perahu nelayan yang sopek itu akan teroleng-oleng dikocak air. Keadaannya menggerunkan tetapi mereka sudah alah bisa kerana biasa, situasi itu tidak mendatangkan apa-apa kebimbangan kepada mereka. Jaring yang diangkat saya nampak carik dan rusuk dan wajahnya berrona Melayu.

Di ruang lain kelihatan beberapa tongkang yang terpasang bendera 'putih merah' mengangkut pasir mendekati sempadan Temasik. Pasir-pasir itu menurut seorang penumpang di ambil di sebelah Indoensia untuk kegunaan pembangunan di Temasik.

Sepanjang perjalanan itu puas saya merakam panorama kiri dan kanan. Manakala perasaan pula berbaur dengan seribu rasa seakan hanyut bersama deruan engin feri.

Setiba bertentangan dengan lapangan terbang Canggi, tidak cukup tangan pula untuk merakam kapal terbang yang berlepas dari lapangan terbang itu. Dalam hitung saya setiap dua minit akan meluncur pesawat membela udara sambil meninggalkan asap tebal di sebelah Pasir Gudang. Kata orang untuk mengetahui sejauh mana tahap kemajuan sesebuah negara itu lihatlah sebanyak mana kapal yang berlabuh di perlabuhan dan sebanyak mana pula kapal terbang turun naik di lapangan terbangnya.

Seperempat perjalanan tiba-tiba air jernih membunting di birai mata apabila melihat sekelompok rumah nelayan yang dhaif. Rumah itu pula terletak bertentangan dengan deratan bangunan canggih dan moden di sebelah Temasik yang merupakan apartment kediaman rakyat negara itu. Sekali lagi terasa betapa jurang pembangunan dan sosial begitu jelas sekali. Sepanjang pinggir pantai Temasik itu tidak ada pula kediaman rakyatnya melainkan sangkar ikan dan disedapi dengan bot dan kapal besar.

Entah ketika ini hati tiba-tiba jadi geram kepada almarhum Tunku Abdul Rahman. Hati saya menjadi berontak sendiri dan timbul perasaan kesal dan marah. Kesal atas apa yang berlaku dan marah kerana apa yang berlaku itu boleh dielakkan kalau ada kecerdikan dan keberanian. Kenapa tidak, pulau Temasik itu adalah hak Malaysia. Ia adalah sebahagian negara kita. Tetapi kerana untuk menyelesaikan tuntutan (permasalahan) politik ia diserahkan sepenuhnya kepada Lee Kuan Yew yang menjadi Ketua Menteri pada masa itu.

Dalam diri saya bertanya sendiri; apakah kalau Tunku Abdul Rahman tidak bertindak menyerahkan pulau itu ianya akan terus berada dalam Malaysia, menjadi sebahagian Malaysia? Saya pernah bertanya kepada Tunku mengenai penyerahan Temasuk kepada Lee Kuan Yew semasa menginterviunya pada tahun 1985. Apa kata Tunku bila saya timbulkan itu itu; tak payah sebutlah... biarlah apa yang berlaku itu.

Masih terngia nada dan kata-kata Tunku di telinga saya. Ia kendur dan menghiba. Saya mengagak Tunku juga kesal dengan apa yang diputuskan pada waktu itu kerana harapan yang diharap dari tindakan sungguh memalukan bangsa itu tidak menjadi. Tetapi apa boleh hendak dikatakan lagi. Apa yang terjadi sudah terjadi dan tidak mungkin Temasik akan menjadi sebahagian Malaysia lagi. Temasik sudah berdaulat sebagai sebuah negara dan diikhtraf oleh PBB. Melihat akan pemergian Temasik saya sifatkan ia adalah kecerdikan pemimpin pulau itu yang hanya menumpang kemerdekaan dari Malaysia saja.

Seharusnya begitulah. Cuma apa yang boleh diambil iktibar dengan apa yang berlaku, orang Melayu terutamanya penguasa politik Melayu Malaysia perlu berhati-hati dan selalunya mengingati sejarah.

Perlu bijak dan pastikan apa yang berlaku itu tidak akan berulang lagi. Malaysia tidak akan kehilangan wilayah atau sebutir pasir pun kalau pemimpinnya bijak mencaturkan masa depan bangsa dan negara.

Tetapi kerana kurang prihatin, tidak mengambil peduli dan terlalu lebih kepada politiking sesama sendiri, enggan berunding dengan anak beranak menyebabkan apa yang kita kendong hilang begitu saja. Tenguk pulau Batu Putih dulu hak kita mutlak tetapi akhirnya berpindah tangan kepada Temasik. Kenapa, kerana kita leka dan merasa compleasent.

Makanya dari atas feri saya bernasyid dan bermadah sendiri; orang Melayu harus bijak, orang Melayu kena bersatu untuk mengukuhkan ikataan rantai keselamatan negara. Orang Meayu tidak boleh berpecah dan hidup terpisah. Orang Melayu boleh berbalah tetapi tidak boleh berkerat rotan berpatah arang.

Kalau orang Melayu masih berdegil mengajar kuasa hingga sanggup memaling muka, tidak mustahil bukan saja wilayah yang sudah pergi itu tidak akan kembali, tetapi wilayah yang kini kita genggam dan kita suburkan juga akan hilang dan diambil orang. Ingatlah, sebelum terkenal, bila sudah kena semua kita akan merana. Menyesal dahulu adalah pendapatan....[wm.kl.4:00 02/11/11]

1 comment:

Admin said...

Sejarah sudah membuktikan siapa yang sebenarnya yang Menjual Melayu