Monday, February 25, 2008

Berita Semasa

Bekas Orang Kuat Pemuda Umno Bantu Pas

KEMUNCULAN bekas orang kuat Pergerakan Pemuda Umno tahun 80-an, Datuk Kamal Amir Kamal Hijaz di pentas ceramah Pas di Kampung Galok, Chetok malam tadi mengejutkan kira-kira lebih 2,000 yang hadir.
Ceramah itu merupakan ceramah pertama dalam kempen pilihan raya bagi calon Pas DUN Chetok, Abdul Halim Abdul Rahman dan calon Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali.

Kehadiran Kamal Amir secara mengejut itu memberi peluang kepada pendengar untuk mengetahui isu-isu semasa dan juga pergolakan dalam parti Umno dewasa ini.

Kamal Amir yang kini aktif menggerakan NGO - Masyarakat Prihatian Malaysia (Perima) juga merupakan seorang wartawan terkemuka Utusan Melayu era tahun 80-an dan kini merupakan seorang bloger tanah air yang popular.

Dalam ceramah ringkasnya tadi Kamal Amir menyeru dan memberi peringatan kepada orang Kelantan supaya tidak mudah terpedaya dengan janji-janji Umno untuk menyalamatkan Melayu dan Islam.

"Saya harap adik kakak jangan mudah percaya dengan janji Umno di bawah pemerintah Abdullah Badawi kerana perjuangan Melayu di tangan Umno (Abdullah) hari ini sudah musnah dan hancur," ujarnya.

Menurut Kamal berbagai kepincangan berlaku di dalam Umno dewasa ini di mana ia memberi tanda-tanda Melayu sudah hancur dan Umno gagal menjadi parti yang memperjuangkan bangsa dan Islam seperti mula-mula ia ditubuhkan.

Kamal Amir yang juga merupakan kawan baik Ibrahim mengakui inilah kali pertama beliau menaiki pentas ceramah Pas kerana sudah tidak tahan dengan apa yang berlaku dalam Umno dewasa ini. "Saya sudah geli denga Umno ini adik kakak," katanya disambut tepukan gemuruh dan laungan takbir.

Kamal Amir yang bercakap kira-kira 20 juga mengingatkan orang Melayu Kelantan agar mempertahankan Kerajaan Kelantan dibawah pimpinan Tok Guru Nik Aziz kerana Kelantanlah satu-satu negeri yang menjadi benteng kepada agama dan bangsa Melayu.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Pas Kawasan Pasir Mas, Ustaz Ismail Nuh, Ibrahim Ali, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman serta kepimpinan semua dewan-dewan Ulama, Pemuda dan Muslimah Pas Kawasan Pasir Mas.

Turut memberi ceramah ialah Exco Dewan Pemuda Pas Pusat, Ridhuan Mohd Nor.

Sementara itu pada majlis itu juga Ismail Nuh merayu semua pengundi agar memberi sokongan kepada Ibrahim Ali yang bertanding atas tikit Pas.

Beliau menjelaskan pengudurannya daripada mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas telah dibuat sejak dua tahun lagi. "Saya telah jelaskan kepada pimpinan Pas kawasan mengenai hasrat saya ini bahawa pada pilihan raya ini saya tidak akan bertanding di mana-mana kerusi," jelasnya.

"Saya ingin jelaskan di sini saya ikhlas mengenai pengunduran ini dan berharap supaya para pengundi memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Paduka Ibrahim Ali," ujarnya disambut takbir.

Ismail juga berjanji akan memberi kerjasama sepenuhnya dan orang ramai menolak apa-apa dakyah mengenai tindakan Pas memberi laluan kepada Ibrahim bertanding di kerusi Pasir Mas. [alor star 8:00 pm 25/02/08]

No comments: