Wednesday, February 27, 2008

Catatan Perjalanan 3

Apandi Pikul Tugas Berat di Jeli

DARI Machang perjalanan di teruskan ke Jeli. Di Jeli perlawanan merebut kerusi parlimen itu berlaku satu lawan satu antara Menteri Pengajian Tinggi, Mustapa Mohamed dengan Yang Dipertua Pas Kawasan Jeli, Apandi Mohamad (foto bawah).

Perlawanan mereka berdua dikira menarik kerana keduanya pernah menang dan pernah kalah. Apandi pernah menang tahun 1999 mengalahkan Mustapa dan dianggap sebagai giant killer kerana berjaya menewaskan Mustapa yang ketika itu adalah Menteri Pembanguan Usahawan.
Bagaimana pun dalam pilihan raya 2004 Mustapa berjaya merampas balik kerusi itu. Kejayaan Mustapa itu bagaimana pun tidak megejutkan dan sudah dijangka kerana menjelang pilihan raya 2004 telah berlaku pemindahaan sempadan kawasan pilihan raya yang rata-rata memihak kepada Umno. Mustapa juga pada masa itu mengeksploitasikan segala kemudahan dan agensi Kerajaan.

Berbakti

Siapa yang tidak membantu Mustapa pada masa itu. Semua korporat dan ahli perniagaan, pegawai Kerajaan dan sebagainya membantu dan berbakti kepadanya.

Mulanya saya tidak menyangka Apandi akan diturunkan Pas untuk berhadapan dengan Mustapa pada 8 Mac ini. Maklumlah kesnya belum selesai. Saya secara peribadi lebih suka kalau Apandi tidak bertanding di mana-mana kerusi. Umno yang terdesak sudah pasti akan menjadi kesnya sebagai isu. Kesnya pula sengaja tidak diselesaikan kerana untuk dijadikan modal dalam pilihan raya.

Kenapa saya mengatakan begitu kerana bekas wakil rakyat yang menghadapi kes sama seperti Apandi sudah lama dilepas dan dibebaskan. Penyelesaian kes Apandi itu adalah semata-mata untuk dijadikan modal dan benteng mempertahankan Mustapa saja.
Ketika dihubungi petang kelmarin Apandi berada di Kuala Balah. Beliau juga sibuk macam Saifuddin dan Alwi Che Amat menemui dan melayan pengundi dari segenap jerung dan rantau kampung.

"Anta tunggu ana, ana nak jumpa juga anta walaupun sekejap," begitulah mintanya bersungguh.

Seakan ada perkara mustahak yang beliau hendak sampaikan menyebabkan saya tidak tergamak untuk meneruskan perjalanan.

Sambil menantinya kami ambil kesempatan meninjau di sekitar Jeli. Kawan saya beriya untuk melihat pembangunan yang dibawa oleh Mustapa Mohamed ke Jeli yang dikatakan sungguh mengkagumkan itu. Gah pembangunan di Jeli sampai ke Kuala Lumpur.. Setengah menyifatkan Mustapa sebagai Paramesewara yang membuka Melaka tahun 1404.

Jasa dan pembangunan



"Ini salah satu jasa dan pembangunan yang dibawa oleh Mustapa," kata saya sambil menunjuk ke arah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang terletak dipingir jalan.

"Jasa apa, Ti... ini bukan duit dia, duit Kerajaan. Kalau Pas jadi Kerajaan dan memerintah Malaysia, Pas juga akan buat kerana ia tanggungjawab Kerajaan," kata kawan saya sedikit marah dan memperbetulkan persepsi silap itu.

"Mana boleh kita hendak katakan ia jasa Mustapa, ini jasa Kerajaan," balas pula kawan seorang lagi menyokong pendapat kawan yang satu itu. Saya hanya mendiamkan diri.

Tiba-tiba kawan itu memberhentikan kereta dengan mengejut. "Tu... tu... itu pembangunan yang dibuat oleh Mustapa, you tangkap gambar masuk dalam blog..." Kawan itu teruja melihat sebuah rumah kayu usang yang terletak dipinggir jalan. Keadaanya macamlah pondok nelayan yang baru dibedal tsunami. Sambil menggeleng kepala katanya inikah rumah rakyat di kawasan menteri?

"Rumah ke... atau kandang kambing...?" tanya yang seorang lagi. Saya tersenyum dalam hati... sambil menjawab bukan kandang kambing, tapi rumah. Sebab saya cukup kenal rupa kandang kambing... ianya ternyata lebih canggih dan mahal harganya dari rumah rakyat Jeli itu.

Kami berjumpa dan bersembang dengan Apandi di sebuah warung di Lakota. Beliau sampai dengan sebuah pajero tua. Dalam tilikan saya Apandi juga seorang yang simple tidak suka glamor. Cara hidupnya cara orang kampung. Disebabkan karektornya itulah maka rakyat Jeli khasnya orang Pas mengharapkan beliau bertanding.

Orang luar



Setengah rakyat Jeli lebih suka Apandi jadi wakil mereka daripada Mustapa, walaupun Mustapa juga asalnya orang kampung nun jauh di Bachok. Banyak orang tidak sedar yang Mustapa bukan berasal dari Jeli. Mustapa juga orang luar. Beliau tidak boleh bertapak di Bachok kerana tidak diterima oleh Umno di situ.

Begitu melihat wajah Apandi hati saya terus menjadi sebak. Beliau sepatutnya tidak bertanding. Tetapi kerana arahan parti beliau terpaksa meluapai risiko yang bakal menimpa ke atasnya. Di sinilah menyerlahkan Apandi seorang yang ikhlas dan akur kepada kehendak partinya. Beliau mengadaikan dirinya semata-mata memenuhi kehendak parti. Beliau tidak akan melarikan diri dalam saat-saat parti memerlukannya. Inilah pemimpin bertanggungjawab!

"Macam mana keadaan (peluang) haji di sini?" tinjau kawan saya.
"InsyaAllah ada peluang, tetapi kena kerja kuat sikit, maklumlah lawan menteri," balas Apandi ringkas dan merendah diri. "Nampaknya Mustapa telah menggunakan siswa untuk berkempen di sini," sambung Apandi.

"Berkempen tak pa, tetapi jangan jadi pengundi," balas kawan yang seoraang lagi. Mungkin beliau bermaksud dan bimbang kedatangan siswa ke Jeli itu adalah sebahagian pengundi hantu.

Sementara menurut maklumat lain Mustapa kini dalam keadaan terdesak dan sangat bimbang. Katanya ada usaha dalaman Umno sendiri mahu memastikan Mustapa tersingkir. Mungkin perkembangan dan maklumat inilah sedikit sebanyak membantu dan memberi semangat kepada Apandi untuk berhadapan dengan Mustapa.

Apakah Apandi berjaya mengulang kejayaan tahun 1999?
Anak bekas Tok Imam Jeli berkelulusan Juruukur Tanah (Surveyor) itu tidak segera menjawab tetapi menjelaskan senario pilihan raya kali ini tidak sama dengan tahun 2004. "Sama-samalah kita tengok nanti, ana tidak nak cakap apa-aapa. Segalanya terserahkan kepada Tuhan," ujarnya penuh keinsafan dan tawaduk! BERSAMBUNG [ipoh 5:00 pm 26/02/08]

No comments: