Daripada Rawat Kelantan Baik Rawat "Orang Tiga Botak"!
MSO
SEMALAM Najib Razak ke Kelantan. Dalam kunjungan itu beliau berjumpa dengan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri di laman Hospital Zainab II, Kota Bharu. (Mungkin minta para doktor dan jururawat kerja lebih masa untuk merawat orang politik yang banyak sakit kepala masa ini).
Turut hadir sama geng orang Tigak Botak - Annuar Musa, Mustapa Mohamad dan Awang Adek Hussin. Nama Alwi Che Amat dan Ramzi Abdul Rahman tidak disebut oleh surat khabar kroni yang melaporkan kedatangan Najib itu. Mungkin kedua mereka tidak mahu sekongkol dengan kumpulan orang Tiga Botak itu. Kerana masing-masing menjaga tingkah laku maklumlah mereka sedang dinilai untuk dilantik menjadi MB!
Najib telah mengistyharkan tahun 2008 sebagai tahun Merawat Kelantan. Ia sebagai respon kepada pengistyharan tahun 2008 oleh Kerajaan Negeri sebagai tahun Melawat Kelantan. Satu merawat satu melawat! Jangan meliwat sudah!
Kedua slogan itu sedap bunyinya. Najib mengaitkan tahun merawat Kelantan itu dengan pilihan raya yang akan diadakan 8 Mac ini. Katanya BN akan merawat Kelantan yang tidak membangun - sakit, sejak 18 tahun lalu sekiranya parti itu menang di Kelantan.
Aduhai... sedap bunyinya. Semacam doktor pakar pula Najib hendak merawat Kelantan.
Apakah benar Kelantan berada dalam keadaan sakit kini? Sakit apa. Sakit gigi ke sakit kepala? (Saya sakit gaout).
Kata Najib kerajaan Nik Aziz mundur dalam semua aspek fizikal, kemanusiaan dan modal insan.
Berkata memang sedap. Lidah tidak bertulang buka mulut polek lidah maka akan keluarlah kata-kita atau janji atau penafian.
Apakah alasan dan hujah Najib mengatakan demikian? Apakah ia semata berpandukan kepada pembentangan bajet Negeri Kelantan yang lalu atau bajet sebelum ini yang senantiasa defesit?
Atau pun apakah atas alasan kadar jenayah tinggi?
Najib tidak boleh berkata sesedap rasa tanpa membuat kajian dan membentangkan fakta yang jitu. Rakyat Kelantan bukan orang 'Dungun' dan menerima apa saja yang keluar dari mulut merah Najib.
Kadar jenayah
Cuba Najib ukur dan nilai mengenai kadar jenayah di Kelantan. Cari indeks yang betul-betul dan bukan dibuat atas sentimen politik. Cuba cari nisbah perbezaan kadar jenayah Kelantan dengan beberapa negeri yang BN rintah.
Begitu juga pembangunan fizikal dan sosial untuk rakyat Kelantan. Kita menerima pembangunan (material) Kelantan tidak sehabat Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau Terengganu yang memilik masjid kristal dan macam-macam. Tengok apa yang tidak ada di Kota Bharu? Semuanya ada. Apa yang ada di Kuala Lumpur juga ada di Kota Bharu, tetapi kapasitinya tentulah kecil. Pokoknya ia ada.
Dicadangkan Najib naik teksi (roda tiga) dan pusing Kota Bharu. Tambang lebih kurang RM25 untuk seluruh bandar Kota Bharu. Jangan melihat negeri Kelantan atas kertas dan mendengar apa yang keluar dari mulut orang Tiga Botak itu saja. Biar realistik sikit.
Soal pembangunan insan - pembangunan manusia Kelantan mendahului negeri-negeri lain. Ini yang orang tidak tahu sebab tidak mengerti apa dia pembangunan insan atau modal insan. Sebelum Nik Aziz jadi MB lagi Kelantan sudah ada program pembangunan insan. Nik Aziz cuma sambung dan memperhebatkannya saja.
Sekolah pondok, pengajian di masjid, semangat gotong royong, majlis kenduri kendara dan sebagainya adalah terjemahan kepada program modal insan - pembangunan manusia. Mengapa orang Kelantan dianggap sebagai suka berpuak ia adalah hasil daripada pembangunan insan berlandaskan Quran di mana Tuhan suruh berukhwah. Tuhan suruh berpakat dan hidup berkerjasama.
Satu hal paling kecil dalam urusan jual beli yang tidak ada di negeri lain tetapi ada di Kelantan, ialah masih ada penjual yang memberi lebih sebagai sedekah kepada pembelinya. Ini berlaku bila kita membeli etak, kancang dan buah-buahan. Tok peraih atau si penjual akan jeput sejemput dan masukkan ke dalam kelosong sebagai sedekah katanya. Mana ada di negeri lain hal-hal seperti ini. Apakah Najib tahu mengenai sahsiah ini?
Tradisi dan budaya ini ialah terbentuk kerana prgoram modal insan - pembangunan manusia yang sudah lama ditanam di dalam jiwa orang Kelantan.
Jadi kalau Najib bercerita nak bangunkan modal insan, ia menghabiskan air liur sahaja. Buat bueh di bibir mulut saja kalau bercakap apa yang kita tidak tahu dan kita tidak faham.
Modal insan dalam pengertian Najib ialah membangunkan manusia yang bobrok. Anak muda yang rosak akhlak dan moral. Yang rosak nurani dan jiwa.
Cukuplah dngan apa yang ada di Kuala Lumpur. Ragam dan aksi anak-anak muda yang malu kita melihatkanya. Minum arak sambil berdiri penuh kemegahan. Gendung betina atau jantan round seluruh bandar. Apakah itu manusia bermodalkan modal insan?
Najib dan orang Tiga Botak hendaklah celik mata sikit. Mereka boleh lihat dan banding sendiri. Pergi ke pasar raya dan lihat ragam anak-anak muda Kelantan. Mereka geletah, miang dan ruggerd tetapi masih terkawal. Pusat mereka masih belum terjelar dan terjelu di luar seperti mana di Kuala Lumpur.
Mereka masih peka kepada azan dan tahu menghormati masjid. Anak-anak muda yang telah ditanam dengan pembangunan insan seperti inilah yang hendak kita jaga, kawal dan benteng mereka daripada terjelapak dalam telaga modal insan sekular seperti fahaman Najib itu. [wm.kl 1: 20 pm 16/02/08]
No comments:
Post a Comment