Sunday, February 17, 2008

Bingkisan Rasa 3

Pindah Takiyuddin Kurang Bijak
(Kemelut Kota Bharu)

MULANYA saya menafikan dakwaan seorang pemanggil yang mengatakan Pas juga bermasalah di Kota Bharu. Saya hanya tersenyun apabila pemanggil itu memberi tahu demikian walaupun nadanya bersungguh. Saya ingat ia gimik pemanggil itu saja setelah beliau membaca blog saya.

Apa masalah Kota Bharu? Setahu saya mulanya Yang Dipertua Pas Kota Bharu, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (Cikgu Rahim) berhajat untuk bertanding di kerusi Kota Bharu tetapi bila Pengerusi PKR Kelantan, Nik Mahmood Nik Hassan berkeras nak bertanding tidak jadilah Cikgu Rahim nak mencuba nasib di situ.

Masalah Cikgu Rahim itu dikira selesai apabila Abdul Fatah Haron (rakan seTiga Abdulnya) bermurah hati 'membeli' Cikgu Rahim agar bertanding di Parlimen Rantau Panjang. Cara Abdul Fatah menawar kerusi Rantau Panjang kepada Cikgu Rahim itu macamlah kerusi Rantau Panjang hak keluarganya. Beliau tidak berunding dengan sesiapa yang patut di peringkat kawasan dan membuat keputusan sendiri sehinggakan ada yang terasa hati dengannya.

Apa masalahnya di Kota Bharu? Menurut pemangil itu, masalah timbul apabila Takiyuddin Hassan dipindahkan bertanding dari kerusi DUN Bunut Payung ke Parlimen Kota Bharu. Saya tidak percaya perpindahan itu kerana Nik Mahmood mulanya beriya benar nak bertanding di Kota Bharu.

Dipindah

Selepas merisik dan menghubungi beberapa orang di Kota Bharu, dakwaan itu benar - Takiyuddin dipindah ke Parlimen. Kenapa? Mengapa Exco Kanan dan Setiausaha Badan Perhubungan Pas itu dipindah ke parlimen. Apakah penyakitnya? Pening saja memikirkannya.

Jika melihat kepada 'sejarah' lama mungkin saya tahu serba sedikit apakah sebab dan keperluannya maka Takiyuddin harus dipindahkan ke Parlimen. Ini sejarah lama dan pelan politik lama! Tetapi pelan lama itu sepatutnya tidak berlaku lagi hari ini, disaat-saat Pas terdesak untuk menang ia harus dilupakan. Hari ini bukan masanya untuk sesiapa di dalam Pas meluaskan jurang perbezaan atau pertelingkahan apa lagi mementingkan agenda peribadi.

Seharusnya yang sudah itu sudah... enough is enough dan kalau pun hendak berganduh sampai hendak bertetak biarlah selepas menang kelak.

Pada saya sepatutnya Kota Bharu tidak perlu bergolak. Kota Bharu kawasan bandar di mana ahli dan pengikut Pas tidak sempit dan 'segenius' seperti ahli Pas di kawasan pedalaman. Politik Kota Bharu tidak seperti politik Sungai Petai, Pasir Puteh ataupun Bukit Tandak di Rantau Panjang ataupun Manik Urai di Kuala Krai.

Kalau Kota Bharu yang ahli dan penyokongnya lebih terbuka dan cerdik itu pun bergolak apa lagilah kalau di Pasir Puteh, Kuala Krai, Rantau Panjang dan lain-lain.

Sama sekali pada saya perpindahan Takyuddin tidak bijak. Maka Pas perlu memikirkannya semula. Beliau bukan ketua cawangan tetapi Setiausaha Badan Perhubungan, Timbalan Pas Kota Bharu dan salah seorang Exco kanan. Maruah dan dirinya juga patut dihormati.

Tentulah bagi Takiyuddin perpindahan yang dibuat atas motif itu sedikit sebanyak melukakan hatinya. Dalam hal ini Takiyuddin pasti akan banyak mendiamkan diri daripada bercakap membela dirinya. Dia sedar dan tersudut apabila soal anak negeri diungkitkan. Dia merasakan dirinya sebatang kara di Kelantan.

Ini pun satu perkara lagi, soal tempat asal dan tempat lahir tidak wajar dibangkitkan. Pas sebagai parti universal (Islam) tidak pantas mempertikai dan menjadi itu sebagai isu. Sebab itu secara peribadi saya kesal dengan apa yang berlaku di DUN Kijang, penghalauan Adun di situ atas alasan beliau bukan orang kawasan itu sesuatu kejadian yang tidak patut sangat.

Demi politik

Kalau ini diambil kira dengan adil, kenapa Pas bersedia menerima empat orang calon dari luar bertanding di Kelantan kali ini? Kalau Ibrahim Ali Pas boleh berikan laluan demi politik kenapa untuk sesama darah daging sendiri Pas rela mengabaikannya.

Mengapa tergamak dilakukan begitu kepada Takiyuddin. Apakah kerana beliau berperawakan seperti Umno? Atau kerana dia rapat dan baik dengan Nik Abdul anak Nik Aziz. Atau kerana dia kahwin lebih daripada satu.

Sekali lagi kalau ini isu dan alasannya tidak relevan kerana ada orang lain lebih bersifat Umno berbanding Takiyuddin, manakala bab soal kahwin lebih daripada satu bukan saja Takiyuddin tetapi orang lain juga berbuat demikian. Bahkan ada yang orang yang kahwin namun tidak istyharkan perkahwinannya.

Persoalanya bagaimana sikap Tok Guru Nik Aziz dalam hal ini? Apakah dalam hal ini Tok Guru hanya tersenyum dan tersegen sahaja tanpa memahami dan cuba membaca kilau dalam kilat di sebalik perpindahan Takyuddin itu. Apakah Nik Aziz terus menerimanya tanpa mempersoalkannya? Mempercaya kepada orang yang bertanggungjawab membuat cadangan ini sertaus peratus?

Kurang elok dan kurang adil kalau Tok Guru hanya menerima pandangan secara sulit pihak tertentu kemudian menerima keputusan yang beliau sendiri tidak tahu apakah hujung jatuhnya.
Tok Guru patut bertanya orang lain dan tidak terbatas kepada orang yang sering berlutut kepadanya saja.

Apa yang Pas lakukan terhadap Takiyuddin - sekiranya beliau tetap dipindah ke Parlimen, samalah seperti habis manis sepah dibuang. Jika hendak dikira bukan sedikit jasa Takiyuddin pada Kerajaan Kelantan. Bahkan sebelum orang lain jadi Exco, beliaulah Exco yang berkerja rapat dan kuat memberi semangat kepada Tokguru.

Mungkin ramai yang tidak sedar. Beliau adalah Penasihat Undang-Undang Pas Kelantan. Jasa dan budinya bukan sedikit. Banyak kes-keas yang melibatkan individu Pas dan organisasi itu beliau yang tangani.

Saya masih ingat bagaimana cemas dan sibuknya Takiyuddin di malam pengumuman keputusan pilihan raya umum ke-11 2004 lalu di Pejabat Pas Kota Bharu. Beliaulah yang menasihati Tok Guru dan dipanggil Tok Guru untuk berbicnang perkembangan yang genting ketika itu. Saat itu tidak ada seorang pun pemimpin kanan Pas bersama Tok Guru melainkan beliau dan Wan Ismail Wan Jusoh bekas Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan.

Orang seperti ini sepatutnya tidak dianiaya dan dipermainkan. Beliau sepatutnya diajak berunding dan berpakat untuk membina Kelantan dan bukan dengan cara membunuhnya dalam senyap tetapi dalam suasana terang benderang.

Hendaknya masalah di Kota Bharu ini diselesaikan dengan baik tanpa menjejaskan mana-mana pihak. Perkara paling penting diinsafi, Pas memerlukan komitmen semua pihak dan individu untuk menang. Umpama pasukan boleh sepak kekuatan di sesuatu bahagian saja, ia tidak menjamin pasukan itu akan menang.

Masa masih ada. Penamaan calon tinggal enam hari lagi. Fikir dan bertindaklah sebelum terlambat! BERSAMBUNG Esok Pergolakan di Pasir Puteh. [wm.kl 7: 05 17/02/08]

No comments: