Dari Jeli Ke Jerlun
SELEPAS selesai menyaksikan proses penamaan calon di Kelantan serta meninjau beberapa kawasan pilihan raya saya bersama dua orang teman berangkat untuk pulang ke Kuala Lumpur bagi menyiapkan kerja rutin di sana sebelum kembali lagi ke Kelantan hujung minggu kelak. Kami memilih untuk pulang melalui Lebuh Raya Timur Barat.
Tanpa menghiraukan penat dan lelah, kami sengaja memilih jalan itu bagi melihat apa yang berlaku di negeri-negeri utara. Khabar mengatakan ada perkembangan baik di Kedah dan Penang sedikit sebanyak menarik perhatian kami. Walaupun saya sendiri kurang yakin dengan khabar yang lebih bersifat gimik itu, namun kerana cerita-cerita dan bersungguh sangat salah seorang rakan itubercerita, jadi akhirnya saya mengalah dan ikut pulang bersamanya.
Menurut firasat kawan ini ada sesuatu yang berlaku di Kedah dan Penang. Katanya kedua negeri itu akan jatuh ke tangan pembangkang!
Ada perubahan besar tekannya, yang akan mengejutkan senario politik tanah air. Beliau mengambil kira (peredaran bumi) di mana bumi ini akan berubah dalam tempoh 10 tahun sekali. Tahun 2008 ini katanya kurang setahun untuk mengenapkan 10 tahun setelah tsunami politik menggegerkan negara tahun 1999 lampau.
Beliau yakin pilihan raya ke-12 ini merupakan
tsunami kepada BN dan akan meninggalkan kesan yang hebat!
Minum kopi
Sebaik berlepas dari hotel penginapan saya menghubungi calon Umno di DUN Ketereh, Alwi Che Amat, yang diangan-angankan bakal menjadi Timbalan Menteri Besar (TMB) Kelantan. Ingat mahu singgah dan minum kopi bersamanya dan mendapat sedikit sebanyak pandangan dari pihak Umno. Beliau juga adalah Ketua Penerangan Umno Kelantan tentu tahu senario sebenar Umno ketika ini.
Sayang kebetulan ketika itu beliau dalam perjalanan ke Kota Bharu untuk menghadiri mesyuarat perhubungan Umno. Katanya Awang Adek Hussin yang diangkat menjadi Pengarah Pilihan Raya Umno Kelantan panggil mesyuarat. Jadi tidak sempatlah untuk bertukar pandangan dan bergelak ketawa dengan Alwi.
Niat untuk memerhati dan meninjau perkembangan di Ketereh dan Kok Lanas terlepas. Apa yang boleh dilakukan hanya meninjau secara rambang saja. Dalam perhatian di sepanjang jalan ke Kok Lanas kedudukan kedua parti di situ boleh dikatakan seimbang - sama gagah. Bagaimana pun poster, banting dan sepanduk di sekitar dataran KADA berpihak kepada Umno /BN lebih tepat lagi kepada Annuar Musa.
Di mana-mana di sekitar dataran berkenana dipenuhi dengan gambar besar Pengerusi Kada Annuar Musa. Cara gambar digantung dan imej yang dipaparkan seolah beliau akan menjadi MB Kelantan. Memang itupun cadangan awalnya, namun apabila Umno sendiri merasakan Annuar menjadi penyakit kepada Umno, cadangan itu digugurkan.
Sepatutnya apabila Annuar tidak jadi nak jadi MB Kelantan poster utama yang memaparkan gambar Annuar bersama Abdullah Ahmada Badawi yang bertemakan "Satu Undi Untuk Kelantan" perlu digugurkan dan ganti dengan gambar Awang Adek Hussin. Tidak manis sangat melihat gambar berkenaan sedangkan orang lain yang dimimpikan untuk menjadi MB gambar orang lain yang dijual kepada rakyat.
Menunggu di Labok
Sebaik meninggalkan kawasan Ketereh dan memasuki Machang saya menghubungi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Machang, Saifuddin Nasution Ismail. Beliau yang dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu selepas menemui seseorang meminta saya menunggu di hadapan sekolah Sains Labok.
Lebih sejam kami bersembang di warung berkenaan. Menurut Saifuddin penerimaan orang Machang terhadapnya baik dan sungguh memuaskan. Bukan saja orang Pas mesra dan memberi kerja sama tetapi orang Umno juga turut sama membantu. Apa yang membanggakan katanya, orang Umno yang kini tidak habis-habis menghubungi dan memintanya datang ke rumah. "Saya tak dan tangan, Ti... jemputan dan pemintaan nak jumpa banyak sangat. Bukan gi saja, tetap siap dijamu dengan laksa dan macam-macam, kadang-kadang malu saya..."ceritanya.
Menurut beberapa orang yang sempat ditanya, masalah yang timbul di Machang kini ialah sikap bekas ahli Parlimen Sazmi Miah yang dikatakan sombong dan tidak berapa menghormati orang tua. Beliau masih mengekalkan gaya kebaratannya walaupun berada di Pangkal Cuit, ataupun Pengkal Melerek. Mungkin kerana beliau masih muda dan kurang berkawan dengan orang kampung.
Hakikat itu diakui sendiri oleh penjual warung tempat kami minum itu. Katanya sejak jadi wakil rakyat hanya sekali Sazmi memasuki kedainya, iaitu kira-kira empat tahun lalu. "Kalau dia masuk sekali lagi mungkin saya tidak mengenali wajahnya lagi," kata penjual berusia 50an itu.
"Dia kaya... kenapa Pakcik macam tidak suka," saya cuma provok salah seorang pelanggan yang warung itu yang nampak meminat Saifuddin. "Memang kaya... tetapi kaya dia seorang.! balasnya. Maksudnya kekayaan yang dimiliki Sazmi Miah tidak turun kepada rakyat.
Kedatangan Saifuddin ke Machang memang melemaskan Sazmi. Kerana itu dimainkan isu Saifuddin sebagai bukan anak tempatan. Gambar dan poster Saifuddin dicetak dan ditampar hampir di semua ceruk yang tertulis Saifuddin sebagai anak luar. Itu sajalah isu yang dikira relevan oleh Umno.
Apakah isu orang luar ini akan memberi kesan kepada rakyat Machang? Bagi mereka yang tidak merasai denyut nadi politik Machang selama empat tahun lalu mungkin menerimanya. Tetapi bagi mereka menghayatinya, isu itu tidak akan membawa apa-apa erti.
Yang penting perkhidmatan yang diberikan dan diterima rakyat. Tidak ada gunakan kalau wakil rakyat dari anak tempatan tetapi tidak pernah turun dan berjumpa rakyat hanya sekali tempoh empat tahun. Berlainan dengan Saifuddin yang sudah tiga tahun menentap di Machang beliau kini sudah dikenali sebagai Pegawai kebajikan Masyarakat Machang.
Dengan kedudukan dan tugas yang diberikan oleh Tok Guru untuk mengenalikan dana kebajikan rakyat, menerusi Tabung Pendidikan, Kifalah dan sebagainya, beliau kini tidak asing lagi bukan saja di Machang bahkan di seluruh Kelantan.
Bukan itu saja mereka yang ingin mengenali siapa Saifuddin, Saifuddin sebenarnya tidak asing bagi rakyat Machanag. Saifuddin adalah menantu cikgu Musa bekas Bendahari Pas Kawasan Machang. Rumah isterinya ialah di Alor Hijau Machang. Rasanya orang Machang lebih kerap bersalaman dan lebih mengenali hati budi Saifuddin berbanding dengan Sazmi Miah.
Walaupun Sazmi Miah anak Machang, tetapi rumahnya di Putrajaya, Selangor. Nun jauh di Kuala Lumpur. Jarak rumah Sazmi Miah dengan Machang kira-kira 600 kilo meter atau kira0kira 7 jam perjalan darat dan dua jam perjalanan menerusi udara.
Menurut cerita beliau hanya pulang ke Machanag sekali sebulan atau ketika ada kunjungan menteri atau timbalan menteri ke Machang atau ke Kelantan. Kepulangan itupun sekejap sahaja tidak sempat untuk rakyat bertemu mata dan bermanja dengannya. Ada setengah berhajat benar terpaksa menanti di lapangan terbang Sultan Ismail Petra untuk berjumpa dengannya samada semasa sampai atau ketika hendak berangkat pulang.
Isu anak tempatan anak luar tidak timbul di Machang dan ia bukan isu yang rangup bagi Sazmi Miah untuk meratah Saifuddin seorang cendekiwan politik yang ramah dan hidup secara ringkas. BERSAMBUNG.... [alor star 9:30 am 26/02/09]
No comments:
Post a Comment