Senarai Calon Umno Kelantan Dipindah Tiga Kali
MSO
UMNO Kelantan juga kalut dalam menentukan calon-calon yang akan diturunkan dalam pilihan raya 8 Mac kelak. Khabarnya separuh daripada 22 wakil rakyatnya yang menang dalam pilihan raya lalu digugurkan. Manakala 70 peratus calon yang diseneraikan adalah muka baru termasuk beberapa orang Ketua Pemuda Bahagian. Salah seorangnya Ketua Umno Kota Bharu, Rosmadi.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Annuar Musa dikatakan menggunakan formula tersendiri untuk menyenaraikan calon BN kali ini. Mana-mana calon yang pernah tewas dalam pilihan raya lalu tidak disenaraikan lagi.
Selain itu Annuar juga mengambil keputusan unpopular menggugurkan lima ketua bahagian termasuk yang menang dalam pilihan raya lalu.
Yang digugur
Mereka ialah Hashim Shafin (Tanah Merah), Zaid Ibrahim (Kota Bharu), Dr Nik Zain Nik Omar (Pengkalan Chepa) dan Abdul Rahim Abdul Rahman (Pasir Mas). Hashim dan Zaid menang dalam pilihan raya lalu.
Formula yang dipakai Annuar ini katanya menimbulkan bantahan dan tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu terutamanya mereka yang menang seperti Hashim Shafin dan Zaid serta beberapa wakil rakyat yang berjaya menunjukkan prestasi cemerlang. Juga ada dakwaan mengatakan penguguran itu tidak adil kerana mereka menang dalam pilihan raya lalu. Sekaligus pengguguran ini juga melanggar formula yang Annuar sendiri gunakan itu dan secara automatik menafikan kebolehan mereka.
Para penyokong Zaid Ibrahim dikatakan sudah bersiap sedia untuk melakukan protes. Adalah dipercayai perisitwa yang berlaku menjelang hari penamaan calon pilihan raya empat tahun lalu akan berulang kembali di mana ribuan penyokong Zaid mengamuk apabila nama Zaid tidak disenaraikan. Gara-gara protes itu akhirnya nama Zaid disenaraikan semula.
Manakala pengguguran Zaid di parlimen Kota Bharu membolehkan Pemangku Ketua Bahagian Kota Bharu, Fatmi Che Salleh di senaraikan untuk mempertahankan kerusi parlimen Kota Bharu.
Tanah Merah juga bergolak
Begitu juga khabar yang diterima dari Tanah Merah. Penyokong Hahim Shafin yang tidak berpuas dengan desas desus itu sudah mula bertindak. Bagaimana pun kemungkinan Hashim Shafin dikekalkan agak cerah berbanding Zaid sekiranya protes itu berleluasa dan diambil kira.
Dalam pada itu Umno dikatakan sudah tiga kali menyerahkan senerai kepada Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi. Hebat! Senarai pertama diserahakan kira-kira sebulan lalu sewaktu Abdullah mengunjungi Kelantan.
Senarai kedua pula ditunjukkan kepada Najib ketika Timbalan Presiden Umno itu ke Kelantan dua minggu lepas. Manakala senarai ketiga yang dikira muktamad untuk diputuskan oleh Abdullah diserahkan lewat petang ini atau selewatnya pagi esok.
Apa yang menariknya dalam ketiga-tiga senarai itu kedudukan orang yang bakal memainkan peranan utamanya (bakal MB) sering kali berubah-berubah. Dalam senarai pertama Annuar dikatakan telah cuba meletakkan tokoh lain untuk dilantik menjadi Menteri Besar sekiranya Umno menang.
Nama beliau 'digugurkan' dan beliau akan beralih ke kerusi Parlimen. Dalam senarai kedua pula beliau dikatakan meletakkan semula namanya di DUN Kok Lanas untuk membolehkan beliau menjadi MB.
Bagaimana pun kedudukan itu kekal beberapa hari saja kemudian berubah dan sekaligus tokoh yang bakal dilantik menjadi MB juga berubah dalam senarai ketiga. Awang Adek Hussin dikatakan akan diturunkan ke DUN dalam pilihan raya akan datang dan diura-urakan untuk dilantik menjadi MB.
Kedudukan Annuar dalam senarai terakhir ini masih belum pasti apakah beliau langsung tidak bertanding atau akan bertukar kerusi dengan kawan sepamainannya Alwi Che Amat, di mana Alwi akan diturunkan ke DUN Kok Lanas dan Annuar ke kerusi Parlimen Ketereh.
Terdengar juga desas desus Alwi bakal dilantik menjadi Timbalan Menteri Besar (TMB) sekiranya Umno menang.
Timbalan Menteri Kewangan, Awang Adek Hussin dijaja bakal menjadi MB kerana beliau mempunyai hubungan baik dengan istana manakala Annuar ternafi untuk menjadi MB apabila hubungan beliau dengan istana yang meletus sejak 10 tahun lalu dikatakan masih belum pulih.
Menyimpul berhubung perkembangan di dalam Umno itu, parti itu juga kekok dalam mencaturkan calon-calonnya untuk menentang Pas pada 8 Mac hadapan. [wm.kl. 7:25 pm 19/02/08]
No comments:
Post a Comment