Monday, February 18, 2008

Bingkisan Rasa 4

Ada Hantu Tukang Cocok di Pasir Puteh
(Kemelut Pasir Puteh)

SEPANJANG pengamatan saya terhadap politik Kelantan, saya merumuskan Rantau Panjang adalah the real politic Umno manakala Pasir Puteh pula adalah the real politic Pas. Kedua kawasan ini memiliki sejarah politik dan wajah serta karektor sebenar politik babarian dan menggerunkan.

Kebetulan saya pernah tinggal di Pasir Puteh dan menjadi pemerhati yang hampir dengan Pas kawasan ini. Saya melihat bagaimana adu domba, perbalahan atau 'balah kekah' sesama sendiri menjadi budaya lasak sejak sejak lebih 25 tahun lalu. Ia berlaku di hadapan mata saya sendiri.

Dari zaman Wan Sulaiman Wan Ismail, cikgu Musa Salleh, Mahmood Hussein, Mohammad Hussein (adik beradik) (semua sudah arwah) hingga ke zaman ustaz profesional Muhammad Hussein, Othman Wahab, Alwi Jusoh dan hinggalah ke zaman terkini.


Politik di sini keras dan adakalanya sangat rendah mutu dan akal budinya. Barang kali analogi Orang Utan yang digunakanpakai oleh Tok Guru Nik Aziz terhadap orang Umno itu juga boleh dipakai untuk politik Pas di kawasan-kawasan seperti Pasir Puteh ini.

Kalau di Rantau Panjang Umno hendak memilih Ketua Bahagian sampai tembak menembak, tidak kurang juga dengan Pasir Puteh. Pernah berlaku seorang pemimpin Pas kawasan ini dipukul dengan kapak. (Bukan Kapak Jangak!)

Pemimpin tertinggi
Jika diteliti kenapa belaku insiden demikian ialah kerana penglibatan pemimpin tertinggi Pas peringkat negeri. Ada cambpur tangan ataupun orang yang menjadi hantu mencocok dan memberi semangat sehingga berlaku haru biru begitu. Mereka berbuat begitu kerana hendak membina kroni tanpa mempedulikan implikasi buruk kepada parti.

Di zaman cikgu Musa Salleh, terang-terang ada campur tangan dan (kebencian) oleh pemimpin tertinggi Pas Kelantan? Gara-gara itu kedudukan cikgu Musa sebagai Yang Dipertuan Kawasan dinafi sama sekali. Jasa dan pengorbanan cikgu Musa dikala Pas Kelantan dalam nazak tahun 1978 langsung tidak dikenang. Bahkan untuk melantik cikgu Musa menjadi ahli Majlis Daerah pun dinafikan secara hidup-hidup.

Budaya dan amalan itu terus berlaku dan terbawa ke hari ini. Setiap kali menjelang pilihan raya umum kawasan ini bergolak dan akan berlaku perebutan menjadi calon. Tahun ini tidak terkecuali. Pasir Puteh juga ada masalah tersendiri. Mungkin bagi mereka yang baru menjejak kaki ke situ akan pening dan tidak sanggup berhadapan dengan politing yang semrawik itu.

Khabarnya masalah perebutan calon di kawasan ini masih belum tuntas. Calon bertukar setiap lima jam sekali! Ini sungguh menghairankan. Kenapa berlaku demikian. Bukankah nama-nama calon diangkat oleh Pas Kawasan yang mendapat petunjuk dari cawangan. Kenapa harus menjadi rumit.

Misalnya calon Parlimen Pasir Puteh, mulanya nama Bendahari Agong Pas, Dr Mohd Hatta Ramli disebut-sebut akan bertanding di sini. Dr Mohd Hatta katanya sudah pun turun ke Pasir Puteh untuk membuat persiapan. Beliau sudah pun mengira-ngira berapa wang yang harus di belanjakan. Rumus mengenainya akan bertanding di Pasir Puteh juga sudah tersebar ke seluruh dunia.

Alih-alih kini nama Dr Mohd Hatta hilang dalam senarai diganti dengan nama lain. Siapakah angkara menyebabkan Pasir Puteh menjadi caca merba begitu?

Berkorban

Malu... malu apa yang berlaku. Kalau pun Pas tidak malu kepada Umno kerana mereka 'Orang Utan', tetapi malulah kepada Dr Mohd Hatta Ramli. Beliau orang luar yang berpolitik secara profesional dan ikhlas. Beliau bukan menangih untuk ke Pasir Puteh tetapi dibawa. Orang macam mana lagi yang Pas inginkan untuk jadikan jurubicara rakyat kalau pejuang rakyat segigih Dr Mohd Hatta pun dipermainkan. Seharusnya orang yang membawanya bertanggungjawab dan berkorban kerusi dan berikan kepada beliau.

Katanya masalah di Pasir Puteh bermula apabila salah seorang bekas pemimpin Pas kawasan itu tergila-gila untuk bertanding. Beliau tidak mendapat sokongan peringkat cawangan. Namun kerana beliau dikatakan ada hubungan dengan pemimpin tertinggi Pas Kelantan dan mempunyai kepakaran membuat heboh, maka namanya disenaraikan. Beliaul inilah polong yang meracau di Pasir Puteh.

Penyenaraikan nama orang itu yang mendapat restu salah seorang pemimpin Pas Kelantan itu menimbulkan kemarahan dan bantahan. Kehadirannya yang pernah dikapakkan itu dianggap sebagai pengacau. Di sinilah bermulanya kemelut perebutan calon Pasir Puteh.

Mulanya beliau berminat untuk bertanding di Gaal kerusi yang diduduki Exco Pertanian Dr Nik Mazian Mohamad. Apabila beliau memasuki Gaal inilah keadaan menjadi kelam kabut. Untuk tujuan itu ada pelan untuk menghantar Nik Mazian ke Selising. Tujuan bawa Nik Mazian (foto) ke Selising tidak lain dan tidak bukan untuk mengkarunggunikan Exco itu di situ.

Berlakulah bantahan sehingga penghantaran memorandum ke Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut. Kenapa harus berlaku sampai begitu sekali? Di era tahun 70an dan 80an dulu kalau pun ada bantahan setakat rumah Pesuruhjaya di Kota Bharu saja, tidak sampai ke Kuala Lumpur. Namun akhir-akhir ini bantahan dan bangkangan terbawa begitu jauh sekali. Apakah ini menandakan akan kehebatan Pas di era profesionalisme dan menggambarkan kelemahan era kepimpinan ulama di bawah Tok Guru Nik Aziz?

Apakah akan berlaku kepada Pas di masa akan datang? Diharap mereka yang terlibat secara langsung menjadi hantu, menyocok dan mengaturkan agenda peribadi insaf dan sedar. Bahawa perbuatan anda itu tercela dan busuk. Lebih busuk daripada tahi kambing jamnapari yang kering!

TERBARU : Katanya soal pembahagian kerusi di pasir Puteh telah selesai lewat petang tadi. Nik Mazian dikembalikan semula ke Gaal, manakala tempat Dr Mohd Hatta diganti oleh orang yang begitu ghairah untuk bertanding salah sebuah DUN dengan harapan dilantik menjadi Exco. Dr Mohd Hatta disebut pula akan dihantar ke Jeli untuk berhadapan dengan Mustapa Mohamad.

Soalnya apakah penyelesaian itu membawa kemenangan kepada Pas? [wm.kl 9:45 pm 18/02/08]

1 comment:

kotabharudaily said...

Sebagai anak jati Pasir Puteh saya terpanggil untuk mengambil bahagian dalam perbincangan berkaitan kemelut di kawasan ini. Terima kasih atas keperihatinan saudara. Bagaimanapun dalam menghadapi situasi seperti ini tidak perlu kita utamakan emosi. Memang benar politik Pasir Puteh amat kompleks. Saya yakin pimpinan parti amat serius membuat pertimbangan sebelum keputusan diambil. Tugas ahli parti sekarang ialah memastikan keputusan yang telah dibuat dilaksanakan dengan baik dan bukannya menuduh sani menuduh sini kononnya ada hantu ada polong berkeliaran. Insya Allah dengan niat untuk memenangkan Islam, Allah akan bersama kita semua yang sedang menuju keridhaanNya.