Tuesday, February 5, 2008

Susupan Dinihari

Kehadiran Anwar Harap Dapat Selesai Masalah

MSO

KURANG enam jam lagi Anwar Ibrahim akan berangkat ke Kota Bharu. Kehadiran Penasihat Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memberi makna tersendiri dan mempunyai signifiken berhubung pilihan raya. Anwar dijangka menghadiri dua majlis, pertama di Bunuhan Tumpat dan kedua berceramah dengan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan lain-lain pemimpin Pas di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Kota Bharu.

Pastilah tujuan atau maksud utama kehadiran Anwar ke Kelantan Darulnaim itu sebagai persediaan atau ada kena mengena langsung dengan proses menghadapi pilihan raya yang bakal tiba Mac depan.

Kenapa beliau hadir ke Tumpat, tidak lain dan tidak bukan kerana Tumpat merupakan bahagian atau daerah yang mempunyai banyak cawangan PKR dan juga merupakan nadi PKR di negeri berkenaan.

Selain menghadiri dua majlis itu beliau juga dikatakan akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi Pas Kelantan. Sekali lagi tujuan dan maksudnya ialah berhubung proses persiapan menghadapi pilihan raya. Pertemuan dan perbincangan dengan Pas ini akan memuktamadkan beberapa perkara yang belum tuntas dan adalah mauduk kehadiran beliau itu.

Ada beberapa perkara yang dikatakan belum beres dan memerlukan Anwar sendiri mencampurinya. Antara masalah itu ialah mengenai pembahagian kerusi atau mengenal mana-mana kerusi yang bakal ditandingi oleh PKR.

Walaupun proses pembahagian kerusi ini telah dibuat sejak lebih enam bulan lalu, namun ia masih belum selesai kesemuanya. Perkembangan terakhir menjadikan proses pembahagian itu belum tamat dan menimbulkan sedikit masalah.

Dari maklumat luar, PKR dikatakan telah diperuntukan sebanyak tujuh kerusi termasuk kerusi yang diperuntukan sebelum ini. PKR mendapat pertambahan dua lagi kerusi. Kerusi-kerusi yang ditambah itu samada dua kerusi DUN ataupun satu DUN dan satu parlimen.

Kerusi-kerusi yang diperuntukan kepada PKR sebelum ini ialah Kota Bharu, Ketereh dan Tanah Merah (Parlimen), manakala Nenggiri dan Paloh (DUN) di Gua Musang.

Ekoran desakan dan tuntutan PKR baru-baru ini Pas dikatakan bersedia bertolak ansur untuk menambahkan dua kerusi lagi kepada PKR. Kerusi-kerusi yang ditawarkan itu ialah samada Parlimen Kuala Krai atau DUN Guchil dalam kawasan Kuala Krai, serta Pengkalan Kubur atau Wakaf Baru dalam parlimen Tumpat.

Kerusi Machang juga telah diperuntukan kepada PKR manakala kerusi Tanah Merah yang sebelum ini diserahkan kepada PKR dikembalikan kepada Pas. Pertukaran parlimen Kota Bharu dengan Machang dibatalkan ekoran pihak PKR berkeras untuk meletakkan calonnya di situ.

Bagaimana pun peruntukan dan tawaran dua kerusi itu masih belum muktamad lagi. Inilah agenda penting yang akan dibincangkan esok. Anwar dipercayai akan mendapat pandangan kedua pihak sebelum beliau memutuskan atas sifatnya sebagai Penasihat Umum.

Hendaknya apa-apa yang diputuskan oleh Anwar esok perlulah diterima dengan tenang dan terbuka oleh PKR Kelantan. Tidak ada gunananya Anwar turun ke Kelantan sekiranya pandangan dan nasihat yang beliau berikan tidak dihiraukan.

Penyelesaian secara baik, adil dan ikhlas berhubung pembahagian dan penawaran kerusi itu sangatlah penting bagi menjaga keharmonian hubungan Pas dan PKR. PKR sendiri seharusnya tidak banyak membuat onar dan kerenah dengan tawaran Pas itu. Tujuh kerusi - tiga Parlimen dan empat DUN atau empat parlimen tiga DUN adalah besar bagi PKR Kelantan yang keadaanya itu boleh dianggap seperti kanak-kanak down sindrom itu. Maaf! [wm.kl 2:20 am 05/02/08]

No comments: