Friday, May 9, 2008

Sebelum Tidur

Undang-Undang Syariah Malaysia Tidak Menjaga Umat Islam?

KEPUTUSAN Mahkamah Syariah Pulau Pinang yang membenarkan permohonan Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Ean Huang (foto) untuk kembali ke agama asalnya satu keputusan yang amat pahit bagi umat Islam. Keputusan itu satu tragedi dan kekalahan kepada Islam yang perlu dipertanggungjawabkan kepada semua umat Islam.

Dengan kembalinya Siti Fatimah kepada agama asalnya, (Buddha) mungkin ia perkara biasa bagi mereka yang mengamalkan kebebasan berfikir dan beragama, namun bagi kita yang yakin Islam sebagai dinul hayat sungguh mengecewakan.

Meskipun begitu itulah keputusan telah dibuat oleh Ketua Hakim Mahkamah Syariah Perlis Othman Ibrahim yang mendengar kes murtad melibatkan Siti Fatimah itu.

Othman membuat keputusan itu berdasarkan peruntukan dan ruang undang-undang yang digubalkan. Beliau tidak ada pilihan lain selain daripada berbuat demikian dengan keadaan dan hujah-hujah yang disampaikan kepadanya. Bahawa itulah keputusan terbaik? Mungkin Hakim berkenaan sudah memikir dari berbagai sudut sebelum membuat keputusan itu termasuk (mungkin) berbincang dan mengambil pendapat orang tertentu alim dan pakar dalam perundangan Islam.

Beliau juga tentu mengira implikasi dan juga kesan kepada umat Islam di negara ini ekoran keputusan itu. Baik buruknya juga sudah difikir semasak-masaknya. Hakim itu juga pasti menggeletar untuk memutuskan demikian, kerana sebagai hakim beliau bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

Di sini ada perbezaannya antara hakim sebagai manusia dan hakim itu sebagai penganut agama Islam dan pelaksana keadilan!

Betapa kita sedih atas apa yang berlaku namun ia sudah berlaku.

Hujah atau alasan Hakim yang membuat keputuan menerima permohonan Siti Fatimah itu nampaknya mudah, iaitu Siti Fatimah sudah tidak lagi mengamalkan agama Islam sejak dikatakan memeluk Islam sebaliknya mengamalkan pegangan agama asalnya, Buddha. Kita percaya hakim berhadapn dengan konflit dalam memutuskan ini.

Adapun kenapa Siti Fatimah jadi demikian kerana kegagalan suaminya warga Iran bernama Ferdoun Ashanian mendidik dan membimbing Siti Fatimah. Kesalahan dan tangungjawab juga diletakkan atas bahu Majlis Agama Islam Pulau Pinang, kerana gagal menjaga amanah dan menjalankan tanggungjawabnya.

Justeru kita ingin tanya apakah ada peruntukan dalam undang-undang syariah untuk menghukumkan si suami dan juga institusi Islam seperti Majlis Agama Islam Pulau Pinang itu?

Persoalan sekarang ini apakah semudah itu untuk membuat keputusan yang tentunya rumit dan menimbul berbagai-bagai implikasi itu. Apakah Hakim tidak ada budibicara ataupun kuasanya selaku Hakim (Islam) untuk mempertahankan Siti Fatimah itu daripada meninggalkan Islam. Apakah dengan melihat atau bukti bahawa beliau telah mengamalkan agama asalnya maka beliau dibenarkan pulang ke agama asalnya? Begitukah?

Barang kali tidak wajar di sini kalau kita bertanya apakah peranan dan tanggujawab hakim dan mahkamah dalam menjaga penganut Islam. Apakah hakim dan mahkamah tidak mempunyai peranan langsung bagi menjamin penganut agama Islam selamat dan terbela selain daripada melaksanakan proses keadilan!

Keputusan yang dibuat itu tentulah berdasarkan undang-undang dan peraturan. Maka atas dasar kepentingan Islam ia jelas ianya nampak longgar. Undang-undang syariah seolah tidak mempertahankan penganutnya daripada murtad.

Walhal kita tahu undang-undang Islam berhubung dengan murtad amat tegas dan jelas sekali. Mengikut Mazhab Syafie seseorang murtad hukumnya bunuh. Justeru undang-undang atau lompongan yang memberi ruang itu perlulah diperbetulkan bagi menjamin kesucian Islam dan maruah umatnya.

Kita tidak menyuruh Islam membunuh mana-mana penganutnya yang murtad. Tetapi natijah dan ketegasan daripada undang-undang itu seharusnya dihormati dan digalangganti dengan ketegasan, keberanian dan kebijaksanaan hakim dalam menjaga seseorang yang telah memeluk Islam itu agar kekal di dalam agama Islam selama-lamanya.

Kita bimbang dengan adanya kes contoh begitu ia akan menjadi ikutan. Selepas ini mahkamah syariah yang mendengar kes yang sama akan mengikut atau menjadikan keputusan Mahkamah Syariah Pulau Pinang sebagai panduannya. Kalau ini berlaku betapalah kedudukan Islam, kedudukan umatnya tidak terkawal dan terjamin lagi.

Kalau kesilapan dan kenaifan ini tidak diperbetulkan saya yakin selepas ini akan ramai lagi 'Siti Fatimah' berbuat demikian. Keluar dan masuk Islam akan jadi seperti keluar dan masuk tandas sahaja! [wm.kl 1:10 am 09/05/08].

3 comments:

Berita dari gunung said...

Masyarakat Melayu dan Islam tidak lagi seperti dulu. Dulu masyarakat berakar umbi.

Bila rumah murah, rumah teres, flat dan kini kondominium diduduki, akar umbi masyarakat sudah longgar.

Masyarakat berakar umbi seperti dulu ada check and balance. Ada built-in monitoring. Masyarakat ada struktur dan tersusun. Agama berkembang dan subur dalam setting seperti ini.

Dalam keadaan masyarakat yang berbeza kini, kesuburan agama mengambil langkah yang sedikit berbeza.

Jika kita masih ingat, dalam senarai panjang kesalahan Salleh Abbas suatu masa dulu, tercatat kesalahan melengah-lengah kes minor dan Islam.

Isu ini sememangnya rumit. Mereka sudah semak habis-habisan sebelum buat penghakiman. Dibahu mereka adalah tanggungjawab. Mereka laksanakan dengan hati yang pedih dan sedih.

Salam Ukhuwah... said...

Huhu.. Sedih teramat.. Apa lagi nak dikata..

Kenapa tergamak hakim mengeluarkan keputusan demikian? Impaknya sangat besar utk kita dan generasi akan datang!

Kalau ya pun hukum Islam yang sebenar tidak mampu dilaksanakan, carilah alternatif lain utk mempertahankan prinsip Islam ini. Mana kuasa yg diberikan? Tak terfikirkah yang Siti Fatimah itu perlu dipulihkan? Lama mana MAIPP mengurungnya utk diberikan terapi agama? Lama mana? Tau2 dah dibenarkan murtad! Huh, tak masuk akal!

Mudah2an para pejuang Islam bangkit mempertahankan agama Islam yg kian dipermainkan. Ya Allah, selamatkanlah!

Anonymous said...

Saudara Sayuti,

Kita tidak tahu apakah hujah yang diguna pakai oleh hakim bagi membenarkan Siti Fatimah keluar dari Islam.

Tetapi suka saya menyorot satu peristiwa penting dalam Islam iaitu Perjanjian Hudibyah.

Salah satu dari isi perjanjian tersebut ialah...

"mana-mana orang Islam yang telah berhijrah ke Madinah dan kembali ke Mekah, ianya tidak perlu dikembalikan ke Madinah, tetapi mana-mana orang Mekah yang pergi ke Madinah (selepas perjanjian)maka ianya hendaklah dikembalikan ke Mekah.

Nabi bersetuju dengan syarat tersebut, walaupun dibantah kalangan sahabat.

Tetapi jelas kebaikannya kepada Islam....

Sekiranya orang yang kembali semula ke Mekah itu ragu-ragu dengan Islam yang dianutinya, ianya dapat diasingkan dari masyarakat Islam dan sekiranya kuat Islamnya, ianya akan jadi penyumbang kepada perkembangan Islam di Mekah....

Begitu juga dengan kes Lina Joy....

Untuk apa kita pertahankan orang-orang yang jelas tidak mahu lagi pada Islam. Memanglah ianya menggurus hati tapi demi kebaikan Islam itu sendiri, satu tindakan yang bijak harus dipakai.

abd rahim kassim