Retorik Bersih 2.0 Akan Berulang
Lewat tengah hari ini Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN) Hishamuddin Hussin memberi gambaran himpunan Bersih 3.0 "duduk dan bantah" boleh diadakan. Katanya kerajaan tiada halangan untuk membenarkan dengan syarat tidak menganggu ketenteraman awam." Begitulah kira-kira kata-katanya dipetik.
Mendengar jaminan menteri itu ramai yang merasa lega. Saya sendiri yang dari semalam mencari-cari kasut Bersih 2.0- kasut yang dibeli khas untuk ke himpunan Bersih 2.0 lalu, petang membelek semula tong kasut dan membersihnya sebagai persiapan untuk hadir ke himpunan Duduk dan Bantah 28 April ini.
Kata-kata Hishamuddin itu memberi semangat. Saya percaya orang lain juga.
Dalam pada itu saya optimis jaminan Hishamuddin itu hanya omong kosong saja. Di awal-awal lagi Nazri Aziz sudah pun melepaskan bom tangan dengan mengatakan Dataran Merdeka bukan premis yang dihalalkan untuk diadakan himpunan.
Saya yakin jaminan Hishamuddin itu hanya retorika saja. Hendak tunjukkan KDN gentleman dan sedia memberi kebebasan. Semasa Bersih 2.0 dulu begitu juga Najib bukan main lagi kononnya bersikap jantan dengan sedia membenarkan stadium. Apa jadi selepas itu bukan saja pintu stadium dikunci dengan rantai sebesar betis gajah, para himpunan juga ditembak dengan asap dan dibelantan dengan belantan ada yang sampai pecah muka dan patah gigi.
Kata-kata Hishmuddin itu tidak memberi apa-apa kesan dan ia juga tidak boleh dipercayai.
Hishamuddin adalah adik beradik sepupu Najib. Kedua-duanya tidak ada wibawa dalam berkata-kata. Orang tidak gerun dan percaya apa yang diucapkan kerana ia longgar dan sering mungkir kepada kata-katanya sendiri.
Justeru begitu juga dengan larangan dari menghadiri himpunan itu tidak perlu digeruni. Saya percaya para peserta himpunan Bersih - Duduk dan Bantah telah pun bersiap sedia untuk datang beramai-ramai. Mereka juga sudah sedia menghadapi kemungkinan akan disekat dan dihalang polis.
Percaya dan yakinlah esok lusa Polis akan mula berkokok membuat andaian itu dan ini serta memberi berbagai alasan untuk mengagalkan himpunan berkenaan. Mungkin usaha Polis akan lebih fokus dan serius lagi berpandukan kepada kegagalan mereka membendung himpunan Bersih 2.0 lalu.
Kepada peserta himpunan sedia menanti dan sedialah berfikir mencari helah bagaimana untuk mengatasi segala itu. Andaian Polis menuruti kata-kata Hishamuddin hari ini, himpunan itu dibenarkan sama-sama kita menyaksikan lautan manusia di Kuala Lumpur pada 28 April nanti. [wm.kl.9:20 pm 10/04/12]
No comments:
Post a Comment