Monday, April 16, 2012

Tinjauan Khas

Pas Terengganu Jangan Perkecilkan PKR

Semalam saya memaksa diri untuk ke Dungun Terengganu untuk melihat suasana ceramah Anwar Ibrahim di sana dan meninjau perkembangan politik terbaru di negeri itu. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Dungun mengambil masa enam jam, cukup meletihkan bagi insan seusia saya. Apa lagi sebaik selesai ceramah terus balik.

Mengenang 'kelaaihan' diri menyebabkan saya terfikir macam mana orang politik seperti Anwar Ibrahim boleh mengawal kesihatan dan stabil dalam perjuangan. Betapa tidak orang seperti dia hampir setiap malam menjelajah ke seluruh negara berjuang untuk rakyat. Paling merujakan bagaimana beliau dapat menjaga kesihatan dalam keadaan tanpa rihat yang cukup. Selalunya kalau berceramah di Semenanjung, sebaik ceramah beliau akan pulang.

Agak lama saya tidak ke Terengganu kira-kira tiga bulan. Negeri ini adalah negeri paling akhir saya jelajahi untuk meninjau suasana politik. Kesemua negeri di Semenanjung sudah habis dijajah. Minggu depan kalau tidak ada aral melintang saya akan ken Sabah unhtuk melihat perkembangan mutakhir di sana yang dikatakan cukup menarik.

Walaupun keletihan tetapi saya paksa juga diri untuk ke Terengganu melihat sendiri perkembangan terakhir politik di negeri Penyu Menangis itu. Kandati ada laporan dari kawan-kawan rasanya tidak sah kalau saya tidak menjejak kaki sendiri. Tidak cukup...

Iyalah kalau kita turun sendiri kita dapat menyaksikan dengan mata kepala sendiri. Saya suka lihat sendiri daripada menerima maklumat. Kalau kita pergi sendiri kita boleh membaca daripada suasana majlis, angka yang hadir dan juga selera orang ramai dalam majlis berkenaan. Perbualan dengan orang ramai akan memberi input yang tidak mungkin kita dapat dari laporan orang lain.

Saya ada penilaian sendiri untuk membuat sesuatu simpulan ke atas sesuatu majlis.

Fokus utama saya ke Terengganu ialah bagi melihat sambutan rakayat Terengganu kepada kunjungan Anwar Ibrahim. Semalam Anwar mengadakan beberapa siri lawatan ke Terengganu dalam rangka merasmikan gerak kerja pilihan raya. Sebelum ini terdengar khabar bahawa rakyat Terengganu kurang memberi sambutan kepada Anwar khasnya dan PKR amnya.

Justeru itu maka Pas rakan PKR yang lebih menonjol di sana tidak begitu 'berselera' dengan PKR. Natijahnya Pas dikatakan enggan bekerjasama dan pembahagian kerusi kepada PKR pun dikurangkan. Katanya Pas bersedia memberi tujuh kerusi sahaja kepada PKR lima Dun dan dua parlimen.

Dari segi anga sudah mencukupi, bagi PKR. PKR tidak perlu mengejar lebih dari itu. PKR berangan-angan untuk mendapatkan 11 kerusi; lapan Dun tiga parlimen. Sebenarnya soal pembahagian kerusi tidak penting dan tidak patut dijadikan subjek perbicaraan terbuka. Pas dan PKR boleh berunding secara aman. Perkara paling penting ialah Pas dan PKR perlu pastikan Terengganu jatuh dulu kemudian kalau hendak bergasak, bergasaklah kemudian.

Sikap mempertikaikan kerusi ini satu tindakan tidak bijak bagi kedua-duanya. Apa diamalkan di Kelantan sepatutnya menjadi contoh kedua-dua parti itu. Di Kelantan tidak timbul masalah perebutan kerusi. Baik Pas dan PKR tampaknya dapat menerima hakikat yang ada. Tidak perlu geger-geger.

Dalam siri lawatan ke Terengganu semalam Anwar telah mengunjungi beberapa tempat. Antaranya ialah Kuala Nerus, Losong Kuala Terengganu dan Dungun. Kesemua tempat dikunjungi itu mendapat sambutan hangat. Melihat kepada sambutan itu seolah-olah tidak ada apa-apa masalah kepada rakyat mengenai hubungan PKR dan Pas.

Rakyat nampaknya bersemangat untuk melihat kerajaan UBN Terengganu jatuh 'berdebak'. Mereka tidak fikir atau berkira siapa yang akan bertanding. Seharusnya semangat dan persefahaman rakyat itu diambil untuk dijadikan azimat persepakatan Pas dan PKR terutamanya dalam pembahagian kerusi.

Misalnya majlis ceramah di Dungun memberi gambaran akan kehebatan PKR di situ. Sebelum ini katanya PKR susah untuk mengadakan program disebabkan kurang mendapat kerjasama dari pimpinan Pas kawasan Dungun. Pas pula kalau mengadakan program tidak menjemput wakil PKR? Tetapi dengan kehadirian lebih 6,000 pada ceramah malam itu membuktikan rakyat bersungguh untuk melihat UBN tumbang dan mereka tidak mempedulikan kepada titik bengit politik Pas dan PKR.

Jelas sekali majlis malam itu tidak mendapat kerjasama Pas Dungun. Di kawasan ceramah tidak seprerti biasa, tidak ada sehelai bendera bulan pun dikibar sebagai memberi semangat dan menunjukkan sikap kerjasama. Kerana tanpa kerjasama parti yang sudah berpengalaman itu juga maka pentas ceramah salin tak tumpah macam panggung wayang kulit sahaja. Tidak sepatutnya pentas ceramah seolah-olah berada dalam kubang kerbau.

Saya yaking kalau majlis di Dungun malam tadi mendapat kerjasama Pas jumlah yang hadir mungkin lebih besar dari itu. Mungkin mencecah sampai 10 atau 15 ribu. Seharusnya kesan daripada tidak ada kerjasama dan bertelingkah sesama sendiri diambil iktibar oleh kedua-dua pihak. Kalau ia dibiarkan kemungkinan Pakatan Rakyat boleh kalah bukan kerana kekutana UBN tetapi disebabkan kelemahan dan kecelaruan Pakatan Rakyat sendiri.

Pas kawasan Dungun sepatutnya mengambil sikap terbuka dan understanding seperti diamalkan oleh Setiausaha Agung Pas, Mustapa Ali yang turut sama hadir dan menyampaikan ceramah. Kerjasama dan perpaduan perlu ditunjukkan kepada umum untuk menyakinkan rakyat. Kalau tidak silap pimpinan Pas kawasan yang hadir malam itu ialah bendahari Roslan Ibrahim.

Dalam keadaan apa sekalipun Pas tidak boleh memperkecilkan PKR di Dungun. Mungkin jumlahnya keahliannya jauh lebih kecil dari Pas dan begitu juga jentera pilihan rayanya tidak tersusun, tetapi kalau penyokong dan ahlinya yang kecil tidak memberi undi kepada calon Pas, menyebabkan Pas boleh kalah.

Hakikat ini perlu diingat sebaik mungkin. Dalam politik demokrasi undi walaupun satu ia penting kerana undi yang satu itulah yang memberi kemenangan. Sekali lagi ditegaskan perkara utama yang perlu diletakkan dihadapan ialah untuk menjatuhkan UBN Terengganu bukannya mendapat kerusi untuk diri sendiri.

Soal calon nanti tungguhlah di hari akhir dan sesiapa yang akan dicalonkan baik Pas atau PKR semua pihak harus sepakat menerimanya. [wm.kl.10:25 pm 17/04/12]
Post a Comment