Tulisan ringkas Wan Nik Wan Yusuf yang mendedahkan taktik jahat Umno Kelantan untuk menjatuhkan Pas mengutir cuping hati saya untuk memberi sedikit respons. Apa didedahkan Wan Nik itu memang benar berlaku di Kelantan hari ini. Saya bersetuju tektik itu menyanggahi kemurnian demokrasi yang dijanji dan diharapkan.
Tiga perkara penting dilakukan UBN Kelantan. Pertama, ialah menggunakan Teknologi Maklumat (IT) sebagai senjata ampuhnya bagi menyerang Pas. Senjata ini adalah amalan pada hari ini. Menerusi senjata ini UBN menggerakkan seluruh ruang dalam IT untuk menghentam Pas.
Pemilikian lebih sembilan saluran tv dan ratusan media cetak seperti tidak mencukupi. UBN sedar kebebasan dan penggunaan IT oleh pembangkang dalam pilihan raya ke-12 lalu memberi kesan baik buat oposisi.
Langsung dari itu Umno telah menubuhkan pasukan penyangak cyber troopernya sendiri. Pertemuan Mustapa Mohmed dengan cyber toopers UBN itu menunjukkan kesungguhan BN manfaatkan dunia IT yang berleluasa hari ini dan juga keseriusan untuk menumbangkan kerajaan Pas Kelantan.
Anih sedikit oposisi yang menjadi pelopor dan perintis dalam menggunakan kemudahan ini nampaknya sikit ke terbelakang mutakhir ini.
Kedua, ialah Umno menganjurkan ceramah, menggunaakan para ustaz jelmaan dan upahan yang janggut sejemput dan serban renyuk untuk mencaci Tok Guru Nik Aziz serta menuduh dengan tuduhan jelek. Mereka cuba merendahkan martabat Nik Aziz dan mendedahkan perkara-perkara buruk mengenainya termasuk mempersoalkan mazhab dan akidah Nik Aziz. Walhal apa yang perlu dipersoalkan pegangan mereka sebelum ini.
Tidak cukup itu diupahkan ustaz untuk memburukkan watak dan batang tubuh para pemimpin Pas. Walaupun mereka tidak ada kredibiliti sebab orang Kelantan kenal mereka, tahu sekuat mana hancingnya kencing mereka tetapi kehadirannya bagaikan biawak gila yang membelit di kaki yang kena dihadapi jua.
Ketiga, menurut Wan Nik UBN menggunakan buku dan vcd yang diedar kepada umum. Menerusi instrumen ini ia cuba memburukan watak (charater assassination) pemimpin Pas. Buku ini sudah lama beredar ia diedarkan bersama pemberian wang rakyat (RM500) kepada rakyat baru-baru ini. Di dalam majlis-majlis pertemuan yang berselindung di sebalik program akademik buku ini diberikan kepada guru-guru.
Buku ini bukan dihasilkan oleh penulis nyata tetapi satu penal yang menggunakan pelbagai nama Arab dan ada nilai komersial dalam konteks Melayu. Jangan tanya apa yang mereka dapat keuntungan dan upahan dari kerja-kerja ini. Ia memberi pendapat lumayan kepada mereka dalam setiap empat atau lima tahun sekali.
Keempat, menggunakan Ngo upahan Umno untuk ikut sama menghentam Pas dan menimbulkan kekacauan. Ada pun kekecauan dimainkan Ngo ini tidak seberapa kerana mereka adalah jelmaan dari roh jahat seorang manusia saja.
Pendedahan Wan Nik itu baik. Tetapi apa yang kena faham setiap apa dilakukan Umno itu bukan kesalahan dalam politik sekular yang penuh dengan fitnah, adu domba, memutar belitkan fakta dan berdasarkan politik Michiavellism.
Perbuatan itu termasuk dalam rukun-rukun politik yang juga diterima Pas. Kenapa saya kata Pas juga menerima politik sebegitu kerana Pas bersedia untuk berpilihan raya atas maslahat darurat. Walhal lebih 70 peratus rukun-rukun atau elemen yang ada dalam politik demokrasi itu adalah bathil dan tidak menempati ajaran Islam.
Kalau begitu dan itu realiti yang diakui Pas, maka Wan Nik dan Pas tidak perlu bersedih atas apa yang berlaku. Wan Nik dan Pas bukan saja perlu setakat mendedah, tetapi Pas juga harus bertindak melawan dengan senjata yang sama. Ketiga-tiga senjata digunakan Umno itu harus diguna sama oleh Pas.
Misalnya sejauh mana Pas Kelantan menggunakan ruang media sosial hari ini? Umno katanya sudah lama mewujudkan unit Sosial Media (Mediso) mereka sendiri. Para cyber trooper mereka katanya terdiri dari pelbagai lapisan orang dan termasuknya juga mahasiswa yang dilatih khas dengan mendapat elaun untuk empat poket seluar. Apakah Pas juga mempunyai unit yang sama. Kalau ada sudahkah digerakkan seoptimunya untuk berlawan dengan Umno.
Secara ikhlas saya katakan peranan cyber trooper Pas seperti tidak fokus. Seperti tidak ada pengarah dan strategis. Isu-isu yang berlaku di sekitar para pemimpin Umno tidak diolah dan disorot secara lebih berkesan dan mengugah UBN. Tidak ada kesenimbungan. Ini menyebabkan tektik menyerang batang tubuh pemimpin Umno kurang menjadi.
Justeru lebih baik kalau Wan Nik bersama Jabatan Pilihan Raya Pas Kelantan (JPN), Pusat Kajian Strategi (PKS) dan Badan Perhubungan Pas, memikirkan bagaimana untuk mengerakkan segala jentera Pas secara 'semakan' bagi mengatasi UBN. Tidak ada guna setakat mendedah kerja-kerja ataun pun gerak saraf busuk UBN kalau Pas tidak bertindak dengan mewujudkan pasukan yang sama bagi melawan atau membendungnya. Sia-sia saja pendedahan itu.
Sebaliknya cara Wan Nik mendedahkan itu, menceritakan kekuatan musuh dan tipu muslihat musuh boleh menyebabkan pihak Pas merasa lemah kerana mereka tidak ada skuad atau unit-unit seperti itu.Tidak perlu kepada pendedahan seperti itu kalau tidak disertai dengan tindak balas melawannya dengan senjata yang sama.
Perjuangan tidak dapat diatasi dengan bercerita atau mengeluh kesah. Pejuangan akan menang kalau kita smart melatih tentara kita supaya berketrampilan untuk berhadapan dengan musuh. Kekuatan dan peranan dimainkan oleh cyber trooper Pas dalam dua pilihan raya - 1999 dan 2008 cukup kuat. Rasanya elok kalau Pas mengembalikan kekuatan itu bagi digunakan pada pilihan raya kali ini. [wm.kl.10:50 am 14/04/12]
* Kepada mana-mana blog atau web protal ingin memanfaatkan tulisan ini seeloknya dibuat dengan secara link bukan cut page kerana dengan cut page apa lagi tulisan belum diedit akan banyak kecacatan terutamaanya dari segi ejaan. Pembetulan dibuat kemudian tidak akan membaiki kesalahan dalam tulisan yang di cut page. Harap Maklum - MSO.
No comments:
Post a Comment