Sunday, April 22, 2012

Peristiwa

Giliran Pengkalan Chepa Berjumpa Mata


Berseleta sekali Tok Guru makan sambil ditemani Mohd Amar.
Mungkin sudah penghujung atau pun kerana semua kerusi Pengkalan Chepa berada dalam keadaan selesa, menyebabkan majlis pertemuan atau Jumpa Mata dengan anak-anak Pengkalan Chepa yang berlangsung di Puchong Indah petang tadi kurang mendapat sambutan jika dibandingkan dengan majlis-majlis seumpamanya yang diadakan sebelum ini.

Tuan Sabariah dan Wan Ubaidah memberi pose istimewa.
Majlis pertemuan itu adalah kesenimbungan siri-siri majlis pertemuan mengikut kawasan pilihan raya yang sudah dianjurkan sebelum ini. Hampir semua kawasan parlimen di Kelantan sudah mengadakan majlis suai kenal atau intraksi dengan pengundi luar dan perantau masing-masing. Pengkalan Chepa adalah yang ketiga terakhir mengadakannya.

Dua kawasan sahaja yang masih 'berdegil' belum mengadakan majlis sama, iaitu Pasir Mas dan Rantau Panjang. Pas Mas dibawah pimpinan Hanifa Ahmad katanya sudah ada perancangan untuk mengadakannya, tetapi Rantau Panjang tidak kedengaran apa-apa lagi?

Yang Dipertua Pas Kawasan Rantau Panjang Abdul Fatah Haron kalau pun sudah cemuh dengan politik boleh swastakan saja majlis itu kepada mana-mana puak untuk mengadakannya.

Saya bersama Hamzah, Takiyuddin & Dr Izani.
Mengenai majlis di Puchong siang tadi, mungkin majlis itu kurang mendapat sambutan disebabkan lokasinya agak terlalu jauh dari pusat bandar atau pun kawasan kediaman anak-anak Kelantan. Sebelum ini beberapa majlis diadakan di sekitar Gombak atau Hulu Kelang mendapat sambutan hangat, misalnya pertemuan majlis anak-anak Pasir Puteh dan Kuala Krai dihadiri lebih 3,000.

Puchong agak jauh dan sukar untuk mereka yang tidak biasa ke kawasan itu. Mungkin untuk dimasa-masa akan datang pihak koordinator pertemuan iaitu Persatuan Anak-Anak Kelantan Diperantauan (Perakan) boleh memikirkan tempat yang lebih sesuai dan kondusif.

Kelihatan Rushdan juga hadir.
Kalau bukan faktor itu sudah tentu anak-anak Pengkalan Chepa dan perantauan akan berebut-rebut untuk hadir selain untuk menjamu selera gulai kawah, tetapi tentunya bagi berjumpa mata dan berjabat mesra dengan Tok Guru bersama isterinya, Tuan Sabariah Tuan Ishak dan pimpinan kawasan lain termasuk Adun Kijang, Wan Ubaidah Wan Omar, Adun Panchor, Mohd Amar Nik Abdullah serta lain-lain pimpinan kawasan, Dr Izani Daud, Cikgu Azmi dan lain-lain.

Hampir semua pemimpin Pas kawasan Pengkalan Chepa hadir kecuali Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Abdul Halim Abdul Rahman kerana keuzuran dan Nik Mohamad Abduh yang berada di Sabah kerana menghadiri program parti. Turut sama hadir Presiden Perakan Hamzah, bekas presiden Ariffin Mahmod. Turut sama hadir ialah Penolong Setiausaha Agung Pas yang juga Exco Kelantan Takiyuddin Hassan.

Sebahagian dari hadirin.
Pun begitu majlis itu tetap meriah. Para hadirin dihidang dengan makan tengah hari gulai kawah sambil dihiburkan dengan dendangan dikir barat. Acara cabutan bertuah juga diadakan. Mereka bernasib baik menerima hamper yang disampaikan oleh Yang Dipertua Pas Pengkalan Chepa, Mohd Amar Nik Abdullah.

Maaf satu lagi kawasan yang belum mengadakan majlis sama ialah Kubang Kerian. Atau pun kawasan ini sudah pun mengadakan majlis tersebut tetapi tidak dalam pengetahuan saya, atau saya tidak dimaklum dan dijemput. [wm.kl.9:53 pm 22/04/12]

No comments: