Saturday, April 14, 2012

Pedoman Malam

Abu Bakar Dan Azan Baik Tutup Mulut

Pemimpin Pas dan PKR Terengganu sepatutnya menjaga mulut masing-masing dari mengeluarkan kenyataan yang boleh mengusutkan keadaan. Waktu ini semua pihak perlu sedar, sesiapa yang tersalah cakap menyebabkan kedua-dua pihak akan menghadapi masalah. Pihak UBN akan mengambil kesempatan atas kesilapan itu dan akan memberi gambaran Pas dan PKR Terengganu bermasalah.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Lujnah Kebajikan Pas, Abu Bakar Chik PKR hanya diberikan tujuh kerusi saja, (lima Dun dan dua Parlimen) tidak sepatutnya keluar dari mulut beliau. Abu Bakar tidak berhak membuat kenyataan sebegitu. Orang yang mempunyai autoriti bercakap ialah Pesuruhjaya Pas Terengganu Abdul Wahid Endut.

Abu Bakar dilaporkan sebagai berkata alasan itu kerana Pas jauh lebih kuat berbanding dengan PKR. Memang semua orang tahu yang Pas jauh lebih kuat dan bekerlayakan untuk memimpin Terengganu berbanding dengan PKR. Tahun 1999 Pas telah pun berjaya menubuh kerajaan di negeri Penyu Menangis itu. Itu menunjukkan Pas kuat.

Tetapi Pas perlu ingat bahawa kemenangan Pas itu bukan kemenangan mutlak, bersendirian. Kalau tidak banyak, sedikit pun kemenangan itu dibantu oleh PKR. Isu yang menimpa Anwar waktu itu menyebabkan rakyat mabuk dan menyokong Pas dan Pakatan Rakyat. Sumbangan secara tidak langsung Anwar dan PKR untuk kemenangan itu tidak boleh dinafikan. Kalau Pas bersendirian mungkin Pas belum merasai membentuk kerajaan negeri.

Menghairankan kenapa soal kerusi menjadi rebutan di antara kedua-dua parti yang duduk dalam satu bakul itu. Sepatutnya mereka berfikir untuk menang bukannya mempertikaikan soal kerusi yang boleh membawa kepada carit kemudian bekah. PKR sendiri juga wajar menerima apa yang Pas berikan untuk mereka. Jangan terlalu gopah membuat kenyataan. Berkira dan berunding dulu kemudian bergaduh. Paling afdal ialah biar Pakatan Rakyat menguasai Terengganu dulu barulah bergaduh.

Tindakan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail memberi reaksi kepada kenyataan Abu Bakar Chik itu tidak wajar. Azan tidak patut enimbulkan soal parti itu pengemis di Terengganu. Perkataan digunakan itu menghinakan diri sendiri. Tidak terdengar yang pihak Pas beranggapan begitu. Jadi tidak perlu Azan mengulas lebih jauh dan prejudis kepada Pas.

Kedua-dua pihak perlu sedar pembahagian kerusi di Terengganu saya yakin belum muktamad. Jadi kalau sesuatu yang belum muktamd untuk apa bercakap mengenainya. Cakap-cakap kedai kopi atau dari pemimpin kecil yang tidak berautoriti sepatutnya tidak dilayan. Semua pihak perlu menjadi cerdik dan orang tua dalam politik.

Dalam hal ini kedua pemimpin baik Abu Bakar dan Azan Ismail saya tenguk tidak cerdik dan akal politik mereka hanya sepanjang akal penyu sahaja. Mereka seharusnya tidak menggunakan media untuk mencakar di antara satu sama lain. Kalau hendak bergaduh pergilah ke pantai dan bergasaklah di sana.

Saya menaruh kepercayaan kepada pucuk pimpinan Pas Terenggau khasnya Presiden Abdul Hadi Awang untuk menyelesaikan soal pembahagian kerusi ini seadil dan semampan boleh. Dalam masa terdekat ini mungkin beliau akan berjumpa atau berunding dengan Anwar mengenai kerusi. Apa-apa yang mereka putuskan nanti perlulah dihormati semua pihak.

Baik Abdul Hadi dan Anwar keduanya lebih rasional dan profresional dalam menyelesaikan perkara ini. Tunggulah keputusan dan pengumuman dari mereka. Jadi pemimpin otak sepanjang ekor penyu usahlah bercakap kerana cakap-cakap anda tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya boleh memborakkan lagi keadaan. Apakah anda mahu Pakatan kalah di Terengganu? [wm.kl.8:35 pm 14/04/12]
Post a Comment