Monday, May 21, 2012

Singgungan Malam

Jangan Melampau Sokong Bola Sepak

Mungkin fikiran saya ini dianggap gelap atau kontras dengan pandangan orang lain mengenai bola sepak atau pun 'mania' bola sepak yang melanda rakyat negara ini. Iya, sukan itu baik tetapi sejauh mana kebaikannya perlu dikaji dan dinilai sepanjang masa dari berbagai-bagai sisi untuk memastikan dalam keseronokan itu ada manfaat dan keberkatannya.

Mengenai perkembangan bola sepak hari ini terutamanya yang dicapai oleh pasukan bola sepak Kelantan (Gedebe Merah) serta bagaimana rakyat Kelantan fanatik terhadapnya, pada saya tidak banyak membantu Kelantan seluruhnya sebagai sebuah negeri disenandungkan sebagai Serambi Makkah.

Pasukan Gedebe Merah sedang menerima medal dari Tengku Mahkota Kelantan.
Bola sepak hanya sebahagian hiburan dan riadah jiwa saja. Kemajuan bola sepak dicapai Kelantan - telah memenangi beberapa kejohanan yang tidak dicapai sebelum ini lebih kepada kejayaan peribadi seseorang saja bukan membawa erti kepada seluruh rakyat apa lagi kepada kerajaan Kelantan. Kerana bola sepak bukan projek mega kerajaan Kelantan.

Sokongan yang diberikan oleh kerajaan Kelantan baik berupa doa, material dan kemudahan-kemudahan lain termasuk menghapuskan hutang Kafa demi menunjukkan kerajaan Kelantan hari ini mesra rakyat dan mesra anak-anak muda sudah lumaya. Kerajaan Kelantan beriya menyokong bukan kerana dasar atau agenda utama kerajaan itu, tetapi untuk mengambil hati dan menjaga agar undi tidak akan lari dari parti itu.

Jadi apakah ertinya?

Nampaknya kerajaan Kelantan seperti juga presiden Kafa menjadikan bola sepak untuk modal lambung politiknya. Annuar terjun ke dunia bola sepak dengan memimpin Kafa untuk memulihkan imejnya yang tercalar dalam kerjaya sebagai orang politik. Dalam kata lain Annuar Musa menjadikan bola sepak sebagai suaka politik setelah dia terpenjara dalam beberapa kekalahan. Kalau beliau masih menjadi menteri, belum tentu dia membantu perkembangan bola sepak Kelantan. Apakah sebelum ini ada terlatas di telinga akan sumbangannya kepada bola sepak?

Penyertaan dan penglibatan Annuar bukan sia-sia. Dia seorang yang bijak dan tahu menggunakan kesempatan dari celah mana sahaja. Dalam industri bola sepak ini Annuar menyelam sambil minum air. Di samping dia mengharap mampu  menggilapkan atau meletakkan cahaya kepada dirinya. Dalam diam-diam dia juga mengaut untung di sebalik sukan itu. Tidak Annuar kalau apa-apa yang dilaksanakannya tanpa ada wang yang mengalirkan ke dalam poketnya.

Berkebetulan pula sentuhannya menjadi. Dalam tempoh tidak sampai 10 tahun perkembangan bola sepak Kelantan merangsangkan. Apakah kita mempersoalkan perkembangan itu sesuatu yang dibanggakan dan ada dalam agenda kerajaan? Kalau penglibatan dan komitmen kerajaan negeri dalam memberi sokongan kerana terpaksa bagi mengelakkan undi lari ia bukan ikhlas dan sesuatu yang mutlak. Mungkin sumbangan atau penglibatan Pas perlu difikirkan semula.

Apa yang perlu dikaji kerajaan Kelantan apakah manfaat yang kerajaan perolehi dari bola sepak. Baik dari sudut pembangunan fizikal dan juga pembangunan ummah. Maaf cakap, saya nampak budaya bola sepak lebih kurang budaya 'hendonisme' sahaja. Ia sudah bercampur antara riadah jiwa dengan riadah mata. Cuba perhatikan pakaian para penonton yang menjelekkan mata. Ada penyokong perempuan pakai baju tidak senonoh sampai nampak pusat pauh jangi. Apakah fenomena ini tidak memberi kesan negatif dan menyebabkan Pas tersangkut (bersubahat) sama dengan maksiat itu?

Kerajaan Kelantan nampaknya terleka dalam soal ini kerana dikejar bayang politik. Seruan dakwah, mendidik para penyokong tidak nyata di muka umum. Tidak ada kempen khas yang dilakukan oleh mana-mana sayap atau pun individu untuk membentuk masyarakat bola sepak yang murni dan menempati kehendak Islam. Wajar kalau mana-mana Ngo atau institusi kerajaan sendiri menyeru dan mengajak agar penyokong bersopan santun dan mengenakan pakaian yang menutup aurat semasa menonton bola sepak dan berusaha menghindarkan pergaulan lelaki dengan perempuan.

Di kesempatan ini saya hendak beri sedikit pandangan dan teguran berhubung cadangan Exco Abdul Fatah Mahmod yang akan berbincang dengan Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk memberi habuah kepada pasukan Gedebe Merah yang berjaya membawa pulang piala FA dalam tempoh 25 tahun.

Apakah beberapa habuan dan kemudahan disediakan sebelum ini tidak mencukupi? Saya rasa kerajaan Kelantan tidak wajar bermurah hati berlebih-lebihan dengan bolasepak. Masih banyak lagi pihak-pihak atau pun Ngo yang memerlukan bantuan dari kerajaan Kelantan. Tidak payah habuan untuk bola sampai 'berbeloh dan berbalik". Cukuplah sekali dua sahaja. Apakah kerajaan Kelantan perlu menyediakan habuah setiap kali gedebe merah menang.

Lagi pun dalam soal ini saya nampak seperti kerajaan Kelantan seakan menginding sahja, menjadikan hidung tak mancung pipi pula tersorong-sorong. Mengada-ngada. Kita saja yang suka-suka dan bermurah hati hendak memberi hadiah sedang orang berkenaan tidak pun berterima kasih. Apa salahnya kalau Annuar Musa bersama pemain menemui Nik Aziz dan membawa piala itu ke Kota Darul Naim barang seketika untuk digosok-gosok oleh Tok Guru? Hormatilah beliau sebagai Menteri Besar bukan sebagai Mursyidul Am Pas?  

Begitu juga kalau pun untuk tarik undi dan memberi kegembiraan kepada anak-anak muda yang meminati bola sepak, tidak perlu sampai memberi habuah untuk galakan demikian rupa. Fatah atau kerajaan Kelantan kena faham bola sepak betapa pun maju ia tidak memberi tempias hasil kejayaan kepada pihak lain.

Lagipun gedebe merah bukan sebuah pasukan negeri tetapi tidak lebih dari sebuah kelab. Sebab itu bagi saya mereka yang melonjak-lonjak kegembiraan kerana kemenangan gedebe merah sebenarnya mereka tertipu kerana pasukan itu adalah hak semua peminat dan bukan bersifat hak milik kerajaan dan rakyat Kelantan.

Kesimpulannya habuan untuk para perminan cukuplah seperti mana dijanjikan Annuar Musa yang akan menyerahkan RM500,000 untuk para pemain dan selebihnya untuk mereka pergi bercuti. Ingat buat baik berpada-padah buat jahat jangan sekali. Perhatikan masih banyak institusi lain ataupun pondok-pondok tradisi yang masih memerlukan bantuan kewangan. Hendaknya jangan Tok Guru begitu mudah meluluskan peruntukkan untuk gedebe merah, lainlah kalau peruntukan itu dari potfolio Fatah. [wm.kl.7:59 pm 21/05/12]
Post a Comment