Friday, May 11, 2012

Ulasan Analisa

Nizar Jamaluddin Jangan Marah-Marah

Marah sangat timbalan pesuruhjaya Pas Perak, Mohamad Nizar Jamaluddin dengan kajian dibuat Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL) Universiti Malaya yang memberi perangkaan menunjukkan Perak akan terus menjadi milik BN dalam pilihan raya ke-13 akan datang. 

Sebagai pemimpin dan bekas MB, beliau tidak sepatutnya memberi sikap negatif dan emostif terhadap kajian itu kandati ia tidak berpihak kepada Pakatan Rakyat. Nizar harus menerima dengan penuh terbuka dengan sikap diplomasi politik yang tinggi.

Carta kajian UMCEDEL menunjukkan BN kuasai Perak.
Cara beliau menerima kajian itu dengan menganggap UM tidak berpijak di bumi nyata menampakkan beliau seorang yang ego dan tidak boleh menerima hakikat kekalahan. Sikap ini nampaknya terbawa-bawa dari kekecewaan beliau untuk terus menjadi MB Perak apabila kerjaaan Pakatan Rakyat disundalkan oleh BN setelah setahun Nizar merasai empuh dan panasnya kerusi MB.

"Saya tidak hirau apa yang dibuat oleh UM, sebab kajian yang kita buat sendiri memihak kepada Pakatan Rakyat, kajian UM ini bagi saya adalah tidak berpijak di bumi yang nyata," demikian katan Nizar seperti mana dilapor Harakahdialy, merendahkan kajian ilmiah dari sebuah universiti.

Dalam kajian yang dikeluarkan beberapa hari lepas, sokongan terhadap BN dan PR di Perak muasir ini berdasarkan kaum, Umcedel memberi perangkaan orang Melayu yang menyokong BN sebanyak 36% berbanding PR sebanyak 30%, orang Cina 35% sokong BN, PR sebanyak 30%. Manakala sokongan India pula kepada BN jauh lebih tinggi berbanding sokongan Melayu dan Cina itu sebanyak 67% berbanding sokongan kepada Pakatan Rakyat hanya 5%. Dengan angka itu menunjukkan Pakatan Rakyat akan gagal merampas kerajaannya yang dicuri itu.

Seharusnya Nizar tidak cemas dengan kajian UMCEDEL itu apa lagi kajian dibuat sendiri Pakatan Rakyat, Perak akan menjadi milik Pakatan. Keputusan menunjukkan BN mengatasi Pakatan Rakyat itu adalah kajian berdasarkan persepsi rakyat (responden) seramai 2,282 orang saja dari lebih 2 juta pengundi di Perak.
Kajian itu juga membatasi beberapa perkara yang ditinjau dari pemikiran responden dan bukan semua perkara turut ditanya. Ada kemungkinan subjek-subjek lain yang jelas berpihak kepada Pakatan Rakyat secara persepsi juga tidak ditanya atas tujuan tertentu (mungkin) dan pengkajian sengaja melontar persoalan-persoalan yang kritikal mengenai Pakatan Rakyat. 
Kalau itulah kebenarannya, maka Nizar dan Pakatan Rakyat harus merasa bangga kerana perselisihan untuk BN menguasai Perak dalam kajian itu tidak banyak tidak sampai 5%. Begitu juga Nizar harus sedar bahawsa masih terdapat 34% Melayu yang belum pasti, 35% Cina yang belum pasti dan 28% India yang belum pasti.

Sekiranya yang belum pasti itu semunya berpihak kepada Pakatan Rakyat angka yang dikeluarkan oleh kajian itu mesti berubah dan ia tentu menyeronokkan Nizar?

Satu perkara boleh dipertikaikan keabsahan kajian itu ianya dibuat sebelum himpunan Bersih 28 April lalu. Jika kajian itu dibuat selepas Bersih mungkin juga persepsi responden akan berubah dan hasilnya juga berganjak.

Jika dilihat secara jujur dan profesional kajian itu boleh membantu Pakatan Rakyat kalau ianya diterima secara terbuka dan secara responsif. Misalnya kenapa kaum India mempercayai BN sampai 67% perlu difikir dan pasti ada sebab-sebab jelas. Pakatan Rakyat masih ada masa untuk memperbetulkan persepsi dikalangan responden  ini agar memihak kepadanya. 

Dengan terus menolak akan kerasionalan kajian itu dan menganggapnya sebagai tidak berpijak dibumi nyata adalah sikap dan pendirian yang salah dan agak sombong enggan menerima teguran dan pandangan  penmgkajian luar yang boleh merugikan diri sendiri. 


Dalam soal ini saya yakin kepada kredibiliti UMCEDEL dalam membuat kajian ia berlaku jujur dan tidak cuba mempengaruhi pengundi dengan hasil kajian mereka. Tentunya UMCEDEL menjaga keutuhan universiti berkenaan kerna ia diperhatin oleh umum.

Saya tidak hairan dengan sikap Nizar Jamaluddin yang pesimis dengan kajian itu. Bagi saya Nizar bukan seorang ahli politik yang matang meskipun dia seorang profesional sebagai akitek yang sudah masak dan mahir.

Sebelum ini pun ada beberapa tindakan politik dan kenyataan politiknya yang tidak memberi suasana kondusif kepada Pakatan Rakyat. Mislanya pendedahan beliau kononnya ada pakatan di kalangan pegawai tinggi tentera untuk mengambil alih kuasa sekiranya Pakatan Rakyat menang dianggap sebagai kenyataan tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan partinya dengan institusi dan indvidu tertentu dan juga Tentera Diraja Malaysia.

Sungguhpun apa yang didedahkan itu benar ia tidak seharusnya berbuat demikian kalau dilihat dari sudut beliau orang Melayu dan juga pemimpin sebuah parti politik yang sedang cuba untuk berkuasa. Natijah dari tindakan itu beliau kini disiasat oleh polis dan ada kemungkinan boleh dikenakan tindakan dibawah akta hasutan.

Semoga Nizar dapat menenangkan fikiran dan tidak begitu obses untuk kembali menjadi MB Perak sebelum beliau memperkuatkan pertahanan mental dan fizikal. [wm.kl.10:17 am 11/05/12]
Post a Comment