Thursday, May 17, 2012

Renungan Pagi

Pas Kelantan Jangan Main-Main Dengan Projek Lebuh Raya

Tampaknya hasrat dan kesungguhan kerajaan Pas Kelantan untuk membina lebuh raya sendiri sebagai mengganti lebuh raya yang sepatutnya telah dibina tetapi dibatalkan kerana perbezaan politik menjadi kenyataan. Pengumuman untuk memulakan pembinaan lebuh raya 'persendirian' itu telah dibuat dan majlis pecah tanah akan dilangsungkan pada 28 Mei berhampiran Felcra Berangan Mek Nab Machang.

Kos awal lembuh raya berkenaan sebanyak RM500 juta dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Menurut satu kenyataan dipetik, lebuh raya sepanjang 33 km itu akan dibina di seksyen III  bermula di Bukit Tiu Machang dan akan berakhir di Dusun Damai Kuala Krai.  Seperti mana diumumkan ia akan dibina dan dikendalikan oleh Menta Contruction Sdn Bhd dan Konsortium Temokin Vila Jelas JV Sdn Bhd. Ingin juga diketahui siapakah yang bertanggungjawab membawa kedua-dua syarikat berkenaan?

Tentunya rakyat Kelantan merasa bangga atas usaha kerajaan Kelantan itu. Usaha itu juga menunjukkan sekali lagi rakyat Kelantan khasnya kerajaan Pas berdikari dalam membela rakyat yang dinafikan haknya oleh kerajaan Persekutuan dalam membawa pembangunan kepada Kelantan.

Saya sebagai salah seorang rakyat Kelantan bersetuju kalau ada pihak mengatakan bahawa kejayaan membina lebuh raya itu adalah satu sejarah untuk Kelantan. Tetapi sebelum saya mengikhtirafkannya biarlah ia terlaksana terlebih dahulu seperti mana terbangunnya jambatan Sultan Yahya Petra yang merentangi Sungai Kelantan. Jangan hendaknya cita-cita membina lebuh raya itu setakat meletakkan papan tanda besar sahaja.

Rakyat Kelantan tentunya tidak akan berpuas hati setakat meletakkan papan tanda saja tetapi apa yang mereka mahukan ialah merasai kemudahan yang sudah lama dicemburui itu.

Usaha seperti itu oleh sebuah negeri yang dinafikan hak dan didiskriminasikan sepanjang zaman oleh kerajaan pusat sesuatu yang manis dan bermakna. Ia juga terus akan mengajar rakyat Kelantan berdikari dan tidak akan merasa hina atau rendah diri walaupun ditindas dan ditekan oleh kerajaan UBN. Pembinaan lebuh raya itu nanti sudah pasti menjadi mercu tanda material terbesar kerajaan Pas selama 22 tahun.

Sebenarnya keberadaan apa juga di Kelantan hari ini adalah atas kegigihan dan ketinggian semangat rakyat Kelantan seluruhnya yang tidak mudah pelahap kepada bantuan luar yang bersyarat. Pembangunan-pembangunan yang wujud hari ini seperti Bandar Baru Tunjung, Jejantas menyeberangi landasan keretapi di Pasir Mas adalah hasil kerajaan negeri yang tampak jelas di mata.

Cuma di sini apa yang hendak saya tegaskan projek pembinaan lebuh raya itu biarlah ia menjadi realiti dan bukan projek khayalan atau projek bingkas menjelang pilihan raya saja. Saya tidak meragui atas keupayaan rakyat Kelantan dan komitmen kerajaan Kelantan membinanya, tetapi mekanismenya itu agar mencabar. Beberapa projek seumpama itu - dibingkaskan menjelang pilihan raya sebelum ini kemudiannya mati tanpa kubur dan hanya meninggalkan secebis keraguan.

Kita tahu sumber kewangan Kelantan sejak akhir-akhir semakin terhad dan makin meruncing. Kenapa kerajaan Kelantan bersungguh menuntut royalti minyak 5% diberikan kepada kerajaan Kelantan ialah kerana sumber kewangan menirus. Kerajaan Kelantan hanya bergantung kepada sumber konvensional seperti cukai tanah dan balak semata-mata. Lain-lain sumber pelancongan, industri hiliran dan sebagainya tidak begitu menggalakkan malahan boleh dikatakan tiada langsung.

Mungkin ada yang bertanya dari mana sumber untuk membiyai lebuh raya berkenaan. Apabila pembinaanya melibatkan hutan lipur, apakah apa-apa hasil yang wujud di kawasan berkenaan seperti emas, besi dan balak akan dipergunakan sebagai cagaran? Apakah balak di hutan itu dijadikan sumber atau modal untuk membina lebuh raya berkenaan? Rasanya elok kalau kerajaan menjelaskan perkara ini agar tidak timbul masalah dikemudian hari.

Kerajaan perlu membuat tafsiran apa-apa hasil bumi yang terletak di dalam kawasan hutan lipur berkenaan untuk tidak timbul persepsi buruk berlaku apa-apa penyelewengan?

Manakala untuk menampung pembinaan lebuh raya itu rakyat diminta menghulurkan derma pelbagai bahan yang boleh digunakan seperti pasir, batu dan apa-apa sahaja.

Sebenarnya cadangan untuk meminta derma dari rakyat itu satu idea yang bagus untuk pembinaan sebuah lebuh raya. Kalau sebelum ini rakyat berlumba-lumba untuk menderma bagi pembinaan surau dan masjid kenapa tidak lebuh raya. Memang niat dan pahala menderma itu sama sahaja kalau pada jalan yang diredhai Allah. Membina jalan juga adalah tuntutan dan satu kebajikan. Tetapi di sini saya merasai ia tidak serancak membina masjid kerana jalan raya dianggap tidak semulia masjid?

Bagaimana pun cadangan itu masih baik dan boleh diterima. Sekali lagi rakyat dikerah untuk membantu diri mereka sendiri dengan kerajaan menjadi pengendalinya. Kalau ditakdirkan siap nanti bolehlah dinamakan lebuh raya itu Lebuh Raya Rakyat (LRR).

Sama-samalah rakyat Kelantan tidak kira Pas atau Umno dan PKR berdoa pembinaan lebuh raya berkenaan menjadi dan berkat. Paling menarik lagi sekiranya dalam masa kerajaan Kelantan membina lebuh raya itu, kerajaan Pusat juga turut membina lebuh raya dari Kota Bharu - Kuala Krai yang sudah diumumkan itu tetapi ditarik balik. Mungkin Mustapa Mohamed boleh mengemukakan cadangan ini kepada bosnya.

Kalau ini berlaku rakyat akan nampak perlumbaan positif di antara dua kerajaan atau dua parti politik Pas dan Umno untuk membangun Kelantan. Perlumbaan itu bolehlah dijadikan sebagai kayu pengukur untuk dinilai rakyat parti mana yang dulu berjaya bina lebuh raya.Rasanya tidak menjadi dosa kalau kedua pihak mengambil pendekatan kerana natijahnya untuk rakyat Kelantan.

Kepada kerajaan Kelantan saya sangat berharap janganlah pembinaan lebuh raya ini hanya berlangsung sekerat jalan sahaja seperti mana projek-projek menjelang pilihan raya sebelum ini seperti projek kambing jamnapari, projek debu, projek padi organik, projek darul digital dan lain-lain. Projek-projek itu pada mulanya bukan main gah lagi signboardnya sebesar ibu gajah dinaikkan di tepi-tepi jalan stratigik tetapi hasilnya tidak nampak sebesar anak kuman kurus pun.

Semua anggota Exco hendak bertanggungjawab dan semua pihak perlu mendokongnya jangan ada seisapa cuba hendak menjadi hero konon dialah yang bertanggungjawab atas projek itu. Tiada kerja yang boleh dilakukan bersendirian melainkan hanya berkhayal. [wm.kl.10:17 am 16/05/12]
Post a Comment