Calon- Calon Winnable Candidate Umno
Formula dan idea Ha Najib Razak untuk meletakkan calon yang boleh menang (winnable cadidate) demi untuk kelangsungan UBN memerintah negara ini tampaknya merangsangkan. Formula dilontarkan Najib itu bakal mengumpul ramai calon yang boleh menang dan ini dijangka tidak akan menyulitkan Umno untuk memilih calon dalam pilihan raya ke-13 ini. Rasanya Umno sudah pun lebih 90 peratus telah selesai memilih calon.
Misalnya untuk Dun Selising Pasir Puteh Kelantan khabarnya ada enam ahli Umno yang dianggap sebagai winnable candidate di situ. Angka itu membayangkan Umno tidak berdepan dengan masalah calon di situ. Saya rasa apa yang berlaku di Selising itu juga berlaku di tempat-tempat lain, bukan saja di Kentan tetapi di negeri lain juga.
Mungkin juga kerana terlalu banyak calon-calon boleh menang menurut perkiraan Umno itu ia boleh jual calon-calon berkenaan kepada mana-mana parti yang 'kasik' calon - yang kekurangan calon. Mengenai harga mungkin diukur kepada berat atau tinggi calon berkenaan. Kerana soal kredibiliti - layak menang tidak boleh dinilai kerana semua layak menang?
Dalam pada itu khabarnya calon boleh menang ini bukan saja terhad kepada ahli Umno atau kepimpinan peringkat bahagian negeri dan nasional. Tetapi ia juga terbuka kepada tokoh-tokoh di luar Umno juga. Tindakan Najib ini tidak mengambil calon di kalangan ahli Umno yang sudah lama bergelumang dengan parti Melayu itu dikira sebagai formula baru.
Melihat kepada kegalakan beberapa orang di luar Umno yang boleh dipertimbangkan menjadi calon kerana mereka layak yang kini sedang giat menunjukkan kehebatan dan kerajinan mereka khasnya membela Umno dan menyerang lawan Umno.
Apakah mereka ini terpanggil dengan formula Najib itu, yang mahu mengambil calon yang boleh menang. Beberapa orang yang saya suluh layak menjadi calon (vinnable candidate) ialah dua orang bekas Ketua Polis Negara, Hanif Omar dan Rahim Mohd Noor.
Kesungguhan Hanif yang mengkritik himpunan Bersih sehinggakan katanya dia ada bukti Bersih diserapi komunis adalah pembelaan besar buat Bersih. Pembelaan dan kritikan Hanif itu meneggelamkan kritikan pimpinan tertinggi Umno peringkat MT. Zahid Hamidi, Shafei Bedal, eh Afdal, tidak mengkritik sehebat Hanif Omar terhadap Bersih.
Begitu juga dengan ahli MT lain dan Menteri Besar seperti Zambry Abdul Kader, Mat Said Terengganu, Abdul Ghani Othman, Adnan Yaacob dan lain-lain seakan-akan tidak berbunyi mulut dan ada idea untuk mengkritik Bersih.
Tetapi Hanif dan Rahim Nor... oiii bukan main lagi. Rahim Nor pula sampai dilaporkan mengatakan Nik Aziz sebagai bapak kafir kerana marah MB Kelantan itu mengeluarkan arahan supaya wajib hadir himpunan Bersih kepada ahli-ahlinya.
Selain mereka berdua, dua lagi calon winnable yang boleh dipertimbangkan oleh Najib. Mereka ialah Pengerusi SPR Aziz Yusuf dan timbalannya Wan Omar Wan Ahmad. Mereka ini juga bekerja keras untuk memastikan Umno menang. Mereka melakukan apa saja tanpa mempedulikan apa yang dunia ludah kepadanya kerana kesanggupan mereka melanggar kewibawaan yang seharusnya mereka pertahankan sebagai ketua kepada badan bebas.
Lagi pun mereka berdua khabarnya sudah lama menjadi ahli Umno. Mungkin setelah Najib membuka formula itu, nak ambil calon layak maka mereka semakin menggiatkan usaha membantu Umno menerusi suruhanjaya itu. Mana tahu kalau-kalau ada rezeki boleh menang dan dilantik senator kalau kalah.
Oh hampir terlupa ada beberapa orang yang boleh diambil sebagai calon kerana mereka berkerja menyokong Umno dan membelasah oposisi. Mufti Perak, Harussani Zakaria juga boleh dipertimbangkan. Sekiranya Umno mengira pengaruh Pas makin meluas di Perak, mungkin Harussani boleh diuar-uarkan akan dilantik menjadi MB Perak. Harussani tidak berhenti membela Umno selepas beliau gagal untuk menghubungi kerjasama Umno dengan Pas.
Seorang lagi juga boleh dipertimbangkan untuk diambil menjadi calon Umno ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, lupa nama... kalau tidak silap Puad. Puad bukan main lagi masa pre-Bersih, himpunan pelajar di Dataran Merdeka menunjukkan taring dan bidang kuasanya. Setiap malam mukanya keluar dalam tv. Tetapi sayang selepas Bersih selesai, suaranya hilang terus dibawa arus sungai Gombak dan Sungai Kelang.
Itulah calon-calon luar dari Umno yang layak untuk dipilih sebagai calon Umno pada PRU-13 ini. Kita akan cuba tilik-tilik dan tinjau kalau-kalau ada lagi silah kemukakan nama kepada; Presiden Umno, Ibupejabat Umno, Menara Tun Hussein, Jalan Ismail, Kuala Lumpur. Up Teaku Adnan Mansor. [wm.kl.8:32 pm 10/05/12]
No comments:
Post a Comment