Thursday, May 10, 2012

Reaksi Isu

Siapa Lidah Bercabang Mengatakan Nik Aziz "Bapak Kafir?"


Bekas ketua polis negara Rahim Noor yang telah bertindak ganas dan diluar perikemanusiaan dan tatacara kepolisan semasa menjawat jawatan itu dengan menumbuk mata Anwar Ibrahim sampai lebam menafikan yang beliau telah menuduh atau menggelarkan Menteri Besar Kelantan sebagai "bapak kafir" atau "Nik Aziz is father of kafir" seperti mana dilaporkan The New Straits Time pada 8 Mei lalu.

Nik Abdul Aziz Nik Mat
Kata Rahim apa yang beliau katakan hanya sikap para pemimpin Pas termasuk Nik Aziz dan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang menggunakan hujah agama untuk melawan Umno. Betulkah itu yang Rahim kata dan macam mana kalau itu yang keluar dari mulutnya, lain yang ditulis?

Apakah Rahim sudah mulai merasa panas dengan cemuhan dan marah orang ramai kepada beliau ekoran laporan berkenaan. Sejak NST melaporkan Rahim berkata begitu, rasanya sudah puluh ribu orang menyumpah dan mengeji Rahim Nor kerana tidak sepatutnya dia menyifatkan Nik Aziz sebagai bapak kafir.

Nik Aziz bukan lawan Rahim kalau pun Rahim ingin mendapat award atau pun apa-apa imbuhan dari kerajaan UBN kerana turut melayak dan menyerang Nik Aziz. Tidak payah lawan Nik Aziz dengan kata-kata cacian, kejian dan persendaan beliau tidak akan kalah. Nik Aziz mungkin boleh kalah kalau beliau dilawan dengan hujah dari Quran dan Hadith.

Pelik laporan yang jelek terhadap Nik Aziz itu juga turut dinafikan oleh wartawan yang menulis (diletakkan namanya) pada tulisan itu, iaitu Rahmah Ghazali. Tulisan itu memakai dua nama (byline) Rahmah dan Lim Poh Lian.

Rahmah menerusi Twitternya dikatakan telah menafikan yang beliau membuat laporan itu dan hanya menulis laporan dari memetik kenyataan Mahfuz Omar yang dimasukkan di kaki berita berkenaan saja. Ertinya Rahmah tidak tahu menahu dengan kenyataan Rahim itu.

Jelas si penumbuk itu, (Rahim) kenyataan itu dipetik hasil dari temubual beliau dengan wartawan menerusi telefon. Beliau tidak menyebut siapakah wartawan berkenaan apakah Lim Poh Lim, atau Lim Poh Lim hanya tulisan kenyataan Rahim kerana disuruh oleh pihak lain.

Biasa berlaku dalam dunia surat khabar, bos akan menyuruh mana-mana wartawan menulis bahan atau pun maklumat yang diperolehi kerana kesibukan ataupun untuk mengelak timbul implikasi kerana jika timbul implikasi penulis yang dicatat namanya akan dipertanggungjawabkan.

Rahim juga mengaku dia tidak pernah mengatakan Nik Aziz adalah political animal sebaliknya istilah yang beliau gunakan adalah 'political creature' - politik haiwan hidup. Sebenarnya animal politik sama dengan political creature.

Persoalan sekarang ini kalau bukan Rahim yang dilaporkan berkata demikian dan Rahmah yang namanya diletakkan di situ sebagai pelapor juga menafikan, siapakah yang pandai-pandai membubuh perkataan itu? Disebabkan berita itu ditulis oleh dua orang, seorang lagi Lim Poh Lim, besar kemungkinan perkataan itu ditulis oleh Lim Poh Lim. Kita berharap Lim Poh Lim akan membuat penjelasan kalau didiamkan orang ramai akan menganggap dia yang tulis.

Boleh jadi juga wartawan berkenaan tidak menulis perkataan itu, (bapa kafir) tetapi ia pandai-pandai penyunting akhbar berkenaan yang mengawal laman berita berkenaan yang tokok tambahnya untuk menimbulkan sensasi. Pun begitu kalau ia menulis demikian dari manakah asasnya? Kalau hendak dikatakan tersilap terjemahan, ia tentu juga ada asasnya dari perkataan atau maksud apa?

Politikal creature yang disebut Rahim Nor itu juah larinya dengan maksud yang diguna oleh akhbar berkenaan, iaitu bapak kafir.
Ada baiknya untuk memastikan siapa punya angkara menuduh Nik Aziz sebagai bapa kafir itu, MB Kelantan itu wajar menyamannya dan tidak akan memaaf sehingga orang terbabit di bawa ke mahkamah. Sebelum ini Nik Aziz banyak memaafkan orang yang memburukkanya.

Dia juga pernah memaafkan Utusan Malaysia yang memfitnahnya dengan menarik balik cadangan saman. Sikap Tok Guru yang pemaaf begitulah menyebabkan media massa khasnya MPB tanpa berfikir panjang memfitnah dan menghina beliau seperti bapak kafir dan sebagainya itu.

Dalam hal ini kalau Nik Aziz meneruskan cadangan menyaman NST dan Rahim Nor bukan tujuan mengharapkan mendapat wang kerana pampasan ekoran kata-kata itu memalu dan merosakkan imejnya tetapi hanya untuk tahu siapa yang lidahnya sama dengan lidah syaitan menyifatkan Tokguruku sebagai "bapak kafir" itu.

Dalam kes ini tiga orang suspek sudah pun dikenal pasti kerana mereka terlibat secara langsung dengan berita berkenaan, Rahim Noor, Rahmah Ghazali dan Lim Poh Lim. Mungkin dua lagi saya boleh agak-agakkan mereka ialah penyunting atau pengarang akhbar berkenaan sendiri. [wm.kl.7:25 pm 10/05/12]

No comments: