Saturday, December 29, 2012

Masalah Deepak Terkait Kepada Zahid Hamidi?

KENYATAAN                                                                                       

Baru sekejap saya menerima kenyataan akhbar Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli berhubung dengan penjual saham milik Deepak atas arahan Kementerian Pertahanan. Melalui kenyataan ini Rafizi semacam ada membayangkan Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi terlibat dalam isu Deepak. Berikut disiarkan sepenuhnya kenyataan berkenaan:
DAKWAAN DEEPAK ADA ASAS, WANG RAKYAT DISALAHGUNA UNTUK MENUTUP MULUT DEEPAK

Pada 30 November 2012, Dato’ Seri Zahid Hamidi mengumumkan kepada wartawan dan Perhimpunan Agong Umno bahawa beliau akan menjawab dan mematahkan tuduhan Deepak yang mengaitkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan pelbagai salahlaku.

Malangnya, keesokan harinya, pada 1 Disember 2012 beliau tidak mengotakan janjinya itu. Tuduhan-tuduhan Deepak kekal tidak dijawab oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya beranggapan itu strategi Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Dato’ Seri Zahid Hamidi – iaitu untuk tidak mengendahkan tuduhan-tuduhan tersebut atas alasan ia tuduhan liar tanpa bukti. Sehingga saat itu pun, rakyat masih samar-samar mengenai bukti yang dikemukakan oleh Deepak, apatah lagi keterlibatan Deepak dengan keluarga Dato’ Seri Najib Tun Razak menimbulkan tanda tanya mengenai motif dan kredibiliti beliau.


Oleh sebab itu, KEADILAN tidak memberi sebarang reaksi mengenai tuduhan-tuduhan tersebut, kecualilah menuntut agar ia disiasat segera.

Ternyata anggapan saya itu tidak tepat. Tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh Deepak dipandang serius dan dibuktikan benar-benar mencemaskan Dato’ Seri Najib Tun Razak, sehingga tugas untuk menyelesaikan kemelut ini diserahkan kepada Dato’ Seri Zahid Hamidi.

Walaupun awalnya Dato’ Seri Zahid Hamidi mengelak dari memberi jawapan, jalan penyelesaian yang beliau laksanakan mengikut perintah Dato’ Seri Najib Tun Razak akhirnya terbongkar kepada umum pada 27 Disember 2012.

Urusniaga mengejut melibatkan pembayaran RM30 juta untuk membeli 80% saham terbitan Astacanggih dan RM130 juta untuk membeli 200 ekar tanah dari Awan Megah Sdn Bhd adalah satu salahguna kuasa oleh Dato’ Seri Zahid Hamidi dan Dato’ Seri Najib Tun Razak bertujuan untuk menutup mulut Deepak dan menyelesaikan skandal ini yang kian merebak.

Urusniaga ini akan dibiayai sepenuhnya oleh Bakti Wira Development Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan hartanah yang dimiliki sepenuhnya oleh Boustead Holdings Berhad, milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Modal dan aktiviti Boustead Holdings Berhad banyak bergantung kepada caruman dari potongan gaji anggota tentera yang disalurkan melalui LTAT. Sebagai menteri yang bertanggungjawab memikul amanah ini, Dato’ Seri Zahid Hamidi haruslah berhati-hati dalam memastikan pelaburan yang dibuat oleh Bakti Wira Development Sdn Bhd adalah pelaburan yang terbaik untuk kepentingan anggota tentera.

Sebab itu, sekiranya urusniaga ini diteliti, ia sudah tentu tidak menepati apa-apa garis panduan pelaburan baik berdasarkan perkara-perkara berikut:

1.      Astacanggih adalah sebuah syarikat yang tidak mempunyai aset mahupun rekod perniagaan yang baik. Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan ia tidak pernah pun memfailkan penyata kewangannya. Selain modal berbayar sebanyak RM20 juta, syarikat ini dibebankan dengan hutang sebanyak RM98 juta dari Kuwait Finance House (mengikut rekod SSM);

2.      Nilaian RM30 juta bagi 80% saham terbitan Astacanggih itu tidak ada asas. Kenyataan Boustead Holdings Berhad bahawa nilaian RM30 juta itu dicapai atas persetujuan bersama pembeli dan penjual membuktikan bahawa urusniaga ini dibuat berdasarkan pertimbangan politik, bukan pertimbangan pelaburan komersil;

3.      Pembayaran RM130 juta terhadap 200 ekar tanah yang statusnya masih belum dipindahmilik kepada Awan Megah Sdn Bhd bermakna Dato’ Seri Zahid Hamidi mengambil wang sebanyak RM130 juta dari caruman anggota tentera untuk membayar syarikat milik seorang pimpinan Umno tanpa ada sebarang pertukaran aset, kerana tanah 200 ekar itu masih belum dipindahmilik kepada Awan Megah Sdn Bhd;

4.      Nilaian RM130 juta bagi 200 ekar tanah tersebut juga dibuat tanpa menggunakan penilaian bebas, semata-mata atas dasar persetujuan yang dicapai di antara penjual dan pembeli;

5.      Pengumuman rasmi Boustead Holdings Berhad kepada Bursa Malaysia memberi alasan bahawa pembelian tanah itu bertepatan dengan bank tanah sedia ada milik anak syarikat Boustead (iaitu Jendela Hikmat Sdn Bhd) di kawasan berhampiran (rujuk perenggan 4 pengumuman). Walau bagaimana pun, semakan rekod menunjukkan tanah seluas 236 hektar yang dipindahmilikkan kepada Jendela Hikmat Sdn Bhd dinilai pada RM230 juta pada akhir tahun 2005 (rujuk laporan akhbar Utusan Malaysia yang disertakan bersama);

6.       Ini bermakna tanah sekitar kawasan yang sudah dimiliki oleh Boustead Holdings Berhad dinilai sekitar RM390,000 seekar, berbanding urusniaga terkini melibatkan Awan Megah yang membayar RM650,000 seekar ke atas tanah yang statusnya belum dipindahmilik.

Jelas bahawa urusniaga ini bukanlah urusniaga yang lulus pertimbangan komersial dan panduan pelaburan LTAT. 

Saya hanya boleh simpulkan bahawa urusniaga ini dibuat semata-mata untuk menutup mulut Deepak dan memadamkan skandal ini. Makanya, tindakan tidak berwaspada Dato’ Seri Zahid Hamidi yang menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan LTAT membayar RM160 juta mengesahkan bahawa dakwaan Deepak itu benar, sehingga mencemaskan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Oleh itu, saya akan mula meneliti dan mendedahkan pembayaran yang dibuat oleh Deepak terhadap pihak tertentu yang dikaitkan dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak, memandangkan sudah jelas bahawa dakwaan Deepak itu ada kredibiliti dan kebenarannya. 

KEADILAN akan mengadakan sidang media pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat minggu depan jam 11 pagi mengenai pendedahan ini.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

29 DISEMBER 2012

3 comments:

Asrul Sani said...

Wahai sekelian anggota Askar Melayu Di Raja. Taat dan sumpah setia tuan-tuan adalah terhadap Ke Bawah Duli YDP Agong, bukannya kepada Perdana Menteri atau Menteri Pertahanan.

Sekarang sudah jelas wang caruman tuan-tuan dislahgunakan oleh mereka yang ingin mengekalkan kuasa secara kotor bagi menyembunyikan kejahatan dari terbongkar. Tunggu apa lagi....

Anonymous said...

Tuan MSO,

Tidakkah tindakan Najib setiap kali tersepit mudah diduga? Setiap kali tersepit, dia akan "menggunakan wang" untuk menyelesaikan masaalahnya. Itulah kata Sakmongkol.

Dalam kes Deepak ini terbukti sekali lagi yang Sakmongkol benar. Satu lagi perangai Najib yan kita semua sudah mula mengenali ialah setelah menggunakan wang untuk menyelesaikan masaalahnya, tindakan tersebut bukan menyelesaikan masaalah tetapi menambahkan masaalah.

Banyak contoh-contoh boleh kita ingat. Selain masaalah Deepak, isu rebat talipon pintar kepada anak muda juga menimbulkan masaalah - mana ada talipon pintar berharga RM 500 kebawah? Skim ini rupanya untuk menolong pembekal-pembekal tertentu menghabiskan stok talipon lama yang tidak terjual rupnya!

Dalam masaalah Deepak ini kita dapat mengagak siapakah dalang dibelakang Deepak dan bertujuan mengulingkan Najib dari dalam.

Dalam hari-hari mendatang ini amat menarik untuk diperhatikan apakah tindakan Deepak setelah menerima "suapan" RM 30 juta ini, sekaligus tindakan dalang pula?

Apakah Deepak akan terus menyerang atau pass kerja menyerang Najib ini kepada Pakatan Rakyat?

Zack

Unknown said...

Apa jadi dengan sistem ketelusan.
JIKA Pakatan menang PRU13, Pengurusan SEMUA Tabung Pekerja termasuk TABUNG HAJI Terus di bawah Parlimen SAHAJA.
Cukuplah 50 tahun UMBO jaga duit ini.
Jancusss. Paling merosakkan ialah 22 tahun bawah Mamak maddey. Macam tikus baiki labu. HANCUSSSS.