Friday, April 18, 2008

Sebelum Lelap

Pas jangan terlalu pandang hina kepada Umno

AHLI Pas usah mudah terpengaruh dan syok dengan pandangan peribadi sesetengah pemimpin Pas yang menganggap pelawaan Umno untuk membincang soal perpaduan Melayu sebagai gimik politik.

Ahli Pas harus membuang phobia masa lampau kerana kepimpinan dalam Umno juga berubah dari masa ke semasa. Walaupun Umno pernah mengkhianati Pas namun parti itu juga tetap
memiliki kebaikan kalaupun keburukannya lebih banyak.

Ahli Pas juga perlu berhati-hati dan memantau langkah atau pendekatan politik yang diambil sesetengah pemimpinnya. Benar perlu berwaspada kerana sudah ada pengalaman lalu namun yang penting Pas harus pandai menyelami mana gimik politik dan mana realiti yang perlu disokong.

Sikap degil dan rasa besar kepala kerana menang tidak akan menguntungkan sesiapa. Pas sebagai parti Islam meletakkan kepentingan dan siasah Islam sebagai matlamat perjuangannya. Namun dalam masa sama Pas tidak boleh menafikan daripada menjaga kepentingan Melayu dan merasakan rahmat kepada perpaduan Melayu.

Ahli Pas mungkin menyedari bahawa ada sudut-sudut tertentu pendekatan Islam yang diguna pakai oleh segelintir pemimpin Pas bertentangan dengan pengertian Islam sebenarnya. Tetapi atas dasar maslahat politik ia dimaafkan. Banyak kalau hendak dihuraikan tindak tanduk dan juga sikap sesetengah pemimpin Pas yang lari daripada landasan syariat.

Bagaimana pun kelemahan itu bukan kelemahan Pas melainkan kelemahan pemimpin berkenaan yang bersifat baharu dan tidak terjamin akan kemaksumannya. Seperti Umno, Pas sebagai parti tidak bersalah tetapi orang yang mengederainya salah.

Keputusan dan implikasi pilihan raya lalu perlu dilihat dengan mata hati dan mata zahir seluas-luasnya. Sikap dan pandangan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang tidak mudah menolak pelawaan (Umno) untuk membincangkan persoalan Melayu harus dihormati dan itulah kesedarhanaan yang dianjurkan Islam.

Abdul Hadi boleh berkeras untuk menegakkan prinsip dan dasarnya. Kerana partinya kini menang besar! Tetapi bila ada persoalan mengenai Melayu beliau turut sama sensitif. Nampaknya beliau bersetuju cuma dengan pembaikian biarlah perbincangan itu secara menyeluruh dan bukan berlegar di kalangan Melayu (Umno) sahaja.

Abdul Hadi berpandangan Umno harus memperluaskan skop usahanya untuk membaiki negara dengan meletakkan soal nasional (negara) sebagai agenda untuk dibincangkan. Untuk tujuan itu beliau meminta agar DAP juga turut sama dipanggil dalam konteks perbincangan itu.

Apa yang dapat diselami daripada kenyataan Presiden Pas itu bahawa beliau tidak menolak kering-kering untuk membincangkan soal masa depan negara dengan sesiapa pun. Beliau tidak mudah beranggapan pelawaan Umno itu sebagai gimik politik.

Kewarasan Abdul Hadi ini sepatutnya diikuti oleh pemimpin lain dan jangan cuba memberi pandangan yang berbeza apa lagi berdegil untuk menerima pandangan kita saja yang symul. Sikap tahu menghormati pemimpin tua juga rasanya perlu.

Pas kena ingat masa genting untuknya akan tiba juga suatu hari nanti. Hari tidak selamanya panas! Apabila datang tsunami atau badai tidak terduga waktu itu nanti Pas juga akan berkeadaan seperti Umno hari ini terkial-kial mencari tali hayat.

Pakatan rakyat boleh diterima sebagai satu pakatan baru. Tetapi ia masih dalam eksprimen atau sedang melalui musim penyesuian. Masih belum tahu apakah perkahwinan itu bakal melahirkan anak atau pun mandul. Kalau perkahwinan itu melahirkan zuriat alhamdulilah.

Justeru kepada semua pihak berhati-hatilah bercakap atau jangan mudah menempelak orang lain. Belajarlah menghormati pandangan orang lain dan cubalah membuat pandangan secara kolektif dan tidak menampakknya pertelingkahan sesama sendiri. Jangan cuba menjadi popular dengan pandangan atau idea yang dilemparkan. Yang perlu difikirkan manfaar dan kebaikan untuk perjaungan.

Tertakdir suatu hari Pas ingin membincangkan soal Islam dan memerlukan rakan untuk mengadukan fikiran, Pas tidak mungkin akan mempelawa DAP atau PKR saja tetapi tentulah turut sama mencari Umno kerana di dalam Umno ada Melayu dan Islam! [wm.kl 8:55 pm 18/04/08]

No comments: