Friday, April 11, 2008

Ulasan Khas

Zahid Baik Kaji Islam Hadhari Daripada Minta Kaji Babi

MSO

ANGGOTA Kabinet yang 'lacat' atau banyak membuat kenyataan ialah Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam. Boleh dikatakan hampir setiap hari ada-ada saja kenyataan Zahid.

Sebagai anggota Kabinet baru tentulah beliau mempunyai banyak modal dan produktif. Hampir lima tahun beliau menanti untuk menjadi menteri penuh. Sebelum ini beliau menjadi boy dan sering senak perut berada di bawah bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin. Mungkin selama itu beliau mengumpul idea untuk bercakap selepas menjadi menteri kelak.

Terbaru beliau membuat ulasan dan komen berhubung tindakan kerajaan Selangor yang meluluskan peruntukan RM100 juta untuk membina ladang babi moden. Zahid kurang senang dengan projek berkenaan yang disifatkan sebagai menjijikkan.

Menerusi televisyen semalam beliau menggesa supaya Kerajaan Selangor mengkaji balik projek berkenaan dan buatlah projek lain. "Buatlah projek lain, jangan babi..!" begitulah kata Zahid. Cara Zahid melontarkan cadangan itu sinis dan memedihkan telinga.

Zahid atau sesiapa saja berhak untuk bercakap mengenai apa saja. Apa lagi kalau 'keng' Zahid masih belum longgar kerana baru jadi menteri. Mungkin menteri lain sudah lenguh 'keng' kerana banyak bercakap selama ini.

Tetapi rasanya Zahid tidak terlalu lebih cakap nanti terkena strok mulut pula. Apa lagi kalau cakap-cakap perkara yang tidak ada kena mengena dengan tugasannya. Beliau kena beringat kerana beliau dikatakan berhasrat untuk bertanding Naib Presiden Umno pada Disember depan. Jangan kerana tersalah cakap, badan jadi binasa.

Ada baiknya daripada memberi komen dan meminta kerajaan Selangor mengkaji projek babi, apa kata kalau Zahid sendiri menjalankan tugasnya, membuat kajian terhadap Islam Hadhari. Ini lebih afdal dan utama.

Islam Hadhari kebanggaaan Abdullah itu masih kabur dan mengelirukan. Elok kalau Zahid membuat kajian memperbetulkan semula konsep berkenaan. Anjur seminar ataupun persidangan mengkaji balik kesan buruk dan baiknya. Panggil sama ulama bebas termasuk dari Pas. Kaji dan selidik semula sejauh mana ianya menempati dengan kehendak Islam. Apakah penggunaan perkataan Islam di hujung Hadhari itu tepat dan tidak menyalahi dari segi makna dan pengertiannnya.

Ini perlu kerana Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin sendiri tidak setuju dengan penggunaan Islam di hujung Hadhari itu. Menurutnya ia mengelirukan dan boleh menyebabkan keyakinan (aqidah) seseroang tergelecah.

Dalam satu percakapan dengannya baru-baru ini beliau meminta agar Kerajaan mengkaji balik agar membuang perkataan itu. "Sudah sampai masanya Kerajaan gugurkan slogan berkenaan kerana ia tidak memberi apa-apa kesan," kata Dr Mohd Asri serius.

Baginya slogan Islam Hadhari indah, sedap tetapi tidak tepat dan tidak memberi apa-apa makna. Jadi katanya ada baik kalau Kerajaan menggugurkan perkataan Islam itu agar ia tiak mengelirukan orang ramai.

Nah... sekarang ini Zahid lebih baik melihat kepada Islam Hadhari daripada isu babi. Isu babi serahlah kepada Khalid Ibrahim. Dicadangkan agar Zahid menghadap Mufti muda Perlis itu dan bincang soal Islam Hadhari. Ini elbih afdal daripada beliau mencampuri urusan babi.

Seperkara lagi yang patut menjadi perhatian Zahid berbanding babi ialah mengenai penyebaran gambar anak perempuan yang telanjang di kolam renang. Beliau harus menangani masalah ini terlebih dahulu kerana ia sedikit sebanyak boleh memburukkan riputasinya sebagai Menteri Agama yang secara automatik dalam persepsi orang ramai seorang yang waruk dan soleh! [wm.kl 10:25 am 11/04/08]

No comments: