Wednesday, April 2, 2008

Laporan Malam

Bertemu dan Berkenalan Dengan MB Perak

MSO

HARI ini hampir separuh hari saya berada di bumi Perak Darul Ridzuan. Selepas posting sajak "Kau sudah jadi orang besar" kira-kira jam 8:30 pagi bersama seorang teman, kami berlepas ke Perak. Mulanya untuk bersama Zulkefli Zulong, dari TVPas anak lelakinya dan Zubaidah Abu Bakar (Wartawan NST) tetapi kerana kebetulan saya ada urusan lain (untuk menemui anak perempuan yang menuntut di sebuah Kolej di Ipoh) kami terpaksa pergi berasingan.

Tujuan ke Perak tidak lain dan tidak bukan untuk menemui Menteri Besar Perak yang baru Ir Mohammad Nizar Jamaluddin (foto). Sebaik dipelawa (diminta) Zul, Sabtu lepas saya tidak lepas peluang baik itu.

Memang saya berhajat untuk kenal dan berinteraksi dengan MB baru itu. Sebelum ini saya tidak pernah kenal, dan jahil sama sekali tentang Setiausaha Badan Perhubungan Pas Perak itu. Sebab itu bila namanya disebut bakal dilantik menjadi MB saya jadi 'gila' mencari wajahnya, ingin kenal siapa insan bertuah dan dipilih Tuhan itu.

Bukan apa kebanyakan tokoh-tokoh Pas Perak tidak dalam pengetahuan saya. Kalau pun kenal hanya beberapa orang saja, Pesuruhjayanya Ahmad Awang, tokoh Pemuda Pas, Musbah Munir. Yang lain tidak kenal dan tidak hafal pun nama mereka. Sebaliknya kalau tokoh-tokoh silam Baharuddin Latif, (abang Subky Latif), Hassan Adli, Zulkefli Ahmad (semuanya Arwah) dan lain-lain ada juga kenal dan hafal wajahnya.

Bagi saya Ir Mohammad Nizar seorang yang beruntung dan bertuah. Barang kali Tuhan sengaja menzahirkan beliau ke dunia ini untuk menjadi Khalifah. Beliau adalah insan terpilih. Kenapa tidak, kerana saya rasa Mohammad Nizar bukan seorang bercita-cita besar untuk jadi pembesar apa lagi jadi MB. Saya yakin beliau tidak pun termimpi untuk yang akhirnya suatu hari beliau bergelar MB. Apa lagi partinya hanya menang enam kerusi saja. Itulah kata orang kalau sudah nasib dan suratan.

Tuhan memilihnya kerana beliau ikhlas dan jujur dalam perjuangan. Hatinya putih dan tawaduk. Tidak seperti sesetengah tokoh lain yang begitu excited untuk menjadi MB sanggup melakukan apa saja. Setengahnya berusaha sejak beberapa tahun lalu. Bukan saja berdoa, bersolat hajat dan berzikir bila menaiki kereta tetapi turut sama berusaha dengan cara mengkhianati dan menganiaya kawan dan rakan.

Bukan saja sanggup berbaik dan membayar wartawan untuk mendapat tempat publisiti lebih, tetapi sampai bangunkan production media sendiri. Itu dikira ok lagi, tetapi yang tidak masuk akalnya sampai pergi mandi di kuburan orang wali dan orang keramat.
Apa yang berlaku ke atas Mohammad Nizar seharusnya dijadikan iktibar oleh semua mereka yang bercita-cita hendak jadi pembesar negeri. Ingat dan insaf kalau Tuhan tidak izin jangan cuba berusaha dengan cara yang melampaui apa lagi sampai menganiaya dan menghina orang lain dan kononnya diri kita saja yang baik dan layak menjadi MB.
Temu janji yang dibuat oleh Zul dengan MB Perak itu jam 3:00 petang. Jam 2:30 saya sudah bercatut di pejabat MB yang terletak di Jalan lama ke Kuala Kangsar itu. Inilah kali pertama saya menjejaki ke pejabat MB Perak dalam sepanjang hidup. Untuk sampai pun terpaksa bertanya beberapa orang. Tetapi Alhamdulilah... tempatnya tidak sukar untuk mencarinya.

Sewaktu melangkah masuk ke perkarangan pejabat itu, suasananya itu tenang sahaja. Bangunan bersenibinakan moden dan tradisional bercerminkan warna biru itu kelihatan suram, persis macam masih dalam kesedihan! Seolah-olah bangunan itu masih bersimpati dengan nasib yang diterima tuannya sebelum ini, Umno/BN. Barang kali elok kalau bangunan itu diberi wajah dan semangat baru agar ia kelihatan lebih ceria. Jangan cap hijau sudahlah!

Sesampai di ruang tamu kelihatan beberapa orang sedang menunggu. Mungkin semuanya nak berjumpa dengan MB, termasuk tiga orang Inggeris. Bayangan Zul dan Zubaidah tidak kelihatan. Saya cuba menjenguk ke bilik Setiausaha Akhbar, namun masih tidak bertuan. Mungkin ianya akan diisi beberapa hari lagi. Khabar calonnya sudah pun ada.

Kerana agak lama saya menghubungi Zul. Rupanya beliau berada di bilik belakang ruang tamu mengikuti sidang akhbar MB selepas mesyuarat Exco. Ketika saya menjenguk masuk, sidang akhbar masih hangat. Kelihatan kira-kira 20 orang wartawan dan jurugambar sedang mengerumuni Mohammad Nizar sambil melontarkan pelbagai soalan.

Pertama kali melihat dari dekat wajah MB itu dan terus menyaksikan beliau melayan wartawan, nampaknya boleh tahan juga. Jurutera berkulit putih dan berwajah bersih ini ini pandai juga menjawab soalan. Nampaknya beliau mempunyai pengetahuan yang baik dan luas dalam politik. Paling penting apa yang dapat disakikan ialah keyakinan dan konfidennya menjawab setiap persoalan yang ditimbulkan.

Tentu beliau belum sempat menyemak kesemua fail-fail pentadbiran negeri Perak kerana baru 17 hari memasuki pejabat itu. Namun melihat cara beliau berinteraksi dengan kumpulan wartawan itu menunjukkan Mohammad Nizar seorang yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan mempunyai PR yang baik.

Beberapa soalan yang agak kontroversi yang dilontar dimana sepatutnya beliau tidak menjawab atau boleh diabaikan, namun dicuba jawab dengan mudah. Sikap ini menjelaskan MB Perak yang baru ini mengamalkan sikap mesra wartawan. Tidak mustahil kalau tidak lama lagi beliau akan digemari wartawan dan akan menjadi salah seorang MB Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang popular.

Kepada Muhammad Nizar diucapkan selamat berjaya! [wm.kl 10:15 pm 03/04/08]

No comments: