Friday, April 11, 2008

Sebelum Tidur

Kedudukan Abdullah Mencemaskan!

KEDUDUKAN Abdullah Ahmad Badawi semakin hari semakin tertekan dan mencemaskan. Serangan ke atasnya bukan sahaja dilakukan oleh veteran Umno dan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bersama anaknya yang kurang senang dengan cara Abdullah mentadbir negara, tetapi kini sudah sampai ke peringkat akar umbi.

Laporan terbaru menunjukkan Umno Kedah juga telah menzahirkan rasa kurang senang mereka terhadap Perdana Menteri ke-5 itu sehingga meminta beliau berundur.


Terdapat laporan menyebut dan SMS yang dikirimkan kepada penulis, menceritakan perjumpaan Umno Kedah dengan Timbalan Presiden, Mohd Najib Razak yang turut sama dihadiri Naib-Naib Presiden Muhyuddin Yassin, Mohd Ali Rustam beberapa pemimpin lain di Sungai Petani petang tadi menjadi kecuh bila mana pertemuan itu diambil kesempatan untuk mempertikaikan kepimpinan Abdullah.

Secara terus terang perjumpaan bersama 15 Ketua Bahagian Umno Kedah itu mendesak agar Mohd Najib mengambil kepimpinan Umno dan negara daripada Abdullah dengan kerjasama Muhyuddin Yassin.

Kekalahan Umno di Kedah sehinga kehilangan kerajaan negeri dan kejatuhan beberapa buah negeri lain dalam pilihan raya lalu dijadikan alasan untuk menolak kepimpinan Abdullah dan diganti dengan Mohd Najib.

Sebenarnya tidak menghairankan kalau apa yang dilaporkan itu benar kerana Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Mahadzir Khalid (foto) adalah anak buah Mohd Najib dan bukannya orang Abdullah.

Bagi Mahadzir kalau Mohd Najib mengambil alih kepimpinan ia tidak mendatangkan apa-apa kerugian kepadanya kerana beliau boleh bekerja dengan Mohd Najib dan itulah yang dinanti-nantikan.

Perlantikan beliau sebagai MB Kedah mengganti Syed Razak Syed Zain dulu baginya bukan atas rekmen Abdullah sebaliiknya atas kemahuan Mohd Najib.

Apa yang berlaku di Kedah itu cukup mencemaskan Abdullah kerana ia tidak mustahil akan merebak ke negeri lain.

Sekiranya ada beberapa buah negeri lagi mengambil sikap demikian Abdullah tidak ada pilihan lain kecuali melepaskan jawatan. Sudah pasti siri lawatan Mohd Najib ke negeri-negeri dalam usaha mengemaskan parti akan dimanipulasikan oleh mereka yang kurang senang dengan Abdullah untuk mendesak Mohd Najib mengambil teraju Umno dan Kerajaan. [jln pahang 12:29 am 11/04/08]

No comments: