Thursday, December 31, 2009

Sesudah Subuh

Selamat Tahun Baru Mat Said

SAYA pernah bercanda menerusi tulisan mengatakan Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu ada ilmu Pak Dogol. Maksud saya walaupun dia nampak ‘komang’ kata orang Terengganu, tidak hebat, nampak darat macam orang kampung tetapi dia ada kelebihan. Yang pastinya kalau bukan ada kelebihan dan keistimewaan, Sultan Mizan Zainal Abidin tidak akan perkenan untuk dia jadi MB.

Masih ramai lagi Adun BN yang dianggap dan merasakan diri lebih hebat dari Mat Said. Ada 20 orang lagi, tetapi kenapa Mat Said yang dipilih jadi MB oleh Sultan. Yang lebih hebat daripada bekas MB, Idris Jusoh pun ada, seperti Rosol Wahid, Din Adam, tetapi tidak dipilih, Mat Said juga diambil Sultan. Kenapa? Cuba tanya Zabidi Saidi rakan saya berasal dari Terengganu itu.

Sebab itu saya kata Mat Said ada ilmu Pak Dogol. Tenguk Pak Dogol dalam wayang kulit dia, nampak hodoh, perut buncit, hidung besar tetapi keramat dan baik budi. Lidah juga masin 'barang minta barang boleh barang kata barang jadi.'

Selalunya istana hanya akan memberi perkenan kepada orang yang baik budi, perangai comel dan tahu adat istiadat istana sahaja untuk menjadi menteri, wazir dan pegawainya. Orang yang sumpah seranah sultan takkan diambil! Hatta untuk jadi tukang kebun dan jong masak pun kena ada takmaninah. Istana tidak akan ambil orang perangai buruk, cakap besar berjalan lenggak ke langit dan berperasan tinggi.

Malam tadi saya minum dengan seorang rakan, bekas pegawai tinggi kerajaan. Dia baru balik dari Terengganu kerana menghadiri satu seminar mengenai sukan. Dia terlibat dalam membentangkan kertas kerja berhubung pengembangan dan pembangunan sukan di negeri itu.

Rakan ini sejak bersara, lebih mirip kepada pembangkang menjadi penyokong kuat Anwar Ibrahim. Bukan apa kerana Anwar rakannya! Hubungannya dengan Anwar kukuhnya macam akar tunjang bumi. Semasa Anwar dalam penjara di Sungai Buloh dulu dialah antara orang yang ‘membantu’ Anwar menerusi bidang kuasanya. Beli meja pingpong dan lengkapkan peralatan sukan dan riadah dalam penjara untuk kemudahan Anwar.

Baru inilah dia ke Terengganu. Beliau diundang disebabkan kepakarannya dalam bidang sukan. Banyak pembangunan sukan negara ditangani dan jaya. Apa nak diceritakan dan mengejutkan saya ialah bila dia menceritakan mengenai kehebatan Mat Said.

“Hebat Mat Said ni rupa-rupanya?” katanya. Saya terkejut dan terpaksa bertanya balik takut dia tersalah cakap atau sengaja nak perli MB Terengganu itu.

“Hebat macam mana?” soal saya agak hairan kerana jarang saya dengar di Kuala Lumpur ada orang puji Mat Said sebegitu. Banyaknya memperleceh dan memperlekeh Mat Said. Yang kata Mat Said MB cap ayam pun ada.

“Hebat! Dia buat kerja dia tidak peduli apa orang nak kata kepadanya...” jelas rakan ini menunjukkan wajah kekagumannya. Ulasnya lagi, walaupun kawan-kawan sepertinya kritik dia, palu dia, dia buat tidak peduli saja. Dia hadapi dengan selamba saja.

“Jarang orang boleh lakukan begitu, selalunya kalau kena kritik seseorang itu akan give-up. Tetapi tidak bagi Mat Said. Seolah-olah hentaman dan kritikan itu dijadikan cabaran untuk dia buktikan kemampuannya. Inilah saya maksudkan hebat! Dan dia berjiwa besar,” sambung kawan yang sudah mencecah 60 tahun itu.

Mulanya saya tidak merasa apa-apa kelebihan kalau setakat itu. Tetapi bila kawan ini menceritakan bagaimana Mat Said menumpahkan ilham merangka pembangunan infrastruktur dan sosial untuk Terengganu baru saya faham apa yang hendak dimaksudkan itu. Dalam bidang sukan misalnya Mat Said mahu jadikan Terengganu cemerlang dalam semua bidang sukan. Dia tidak sebut saja, tetapi disediakan peruntukan yang banyak.

“Saya yakin dengan apa yang Mat Said nak buat akan berjaya. Sepanjang seminar itu saya lihat sambutan dan semangat peserta sungguh tinggi. Ini menampakannya pegawai kerajaan yakin dan seronok dengan Mat Said..” jelasnya.

Katanya kalau seorang MB mendapat kerjasama dari pegawai kerajaan tidak ada masalah kalau pun Adun lain tidak menyokongnya. Bagi rakyat yang penting kebajikan untuk mereka dan bukan mereka nak lihat cita-cita peribadi seseorang Adun itu yang dicapai.

“Tetapi katanya Pas Terengganu yakin akan tumbangkan BN dalam pilihan raya akan datang?” kata saya menyeka perasaan kagumnya berdasarkan dakwaan sesetengah orang Pas.

“Saya tidak nampak kalau lihat kepada cara Mat Said berkerja. Sikap humble dan juga perhubungannya dengan rakyat berjalan baik. Rakyat suka kepadanya. You mungkin tidak tahu dia baik dengan Adun Pas. Mat Said tidak pun ada masalah dengan Pas. Yang buat masalah ialah dua tiga orang rakannya yang dengki dan cemburu dengannya,” kata rakan ini lebih mengetahui maklumat politik Terengganu dari saya.

Apa lagi katanya dengan wang ehsan yang banyak dicampur dengan approach Mat Said yang pedulikan rakyat, sediakan peruntukan RM10 juta untuk OKU...susah untuk Pas dan Pakatan Rakyat gugat Terengganu. Lainlah ada isu besar atau mistik yang Mat Said lalukan seperti mana Idris Jusoh buat dulu.

Tambahnya lagi kenapa Idris Jusoh tidak disukai kerana melambakkan pembangunan di Besut dan menambunkan projek kepada kroni. “Kalau Mat Said belajar dari kesilapan Deris ini saya fikir susah juga untuk Pas ambil Terengganu,” tekannya.

Dalam perjalanan pulang saya terfikir-fikir mengenai kawan ini. Dia bekas pegawai kerajaan yang kini sudah mulai membenci kerajaan. Semua masalah dalam kerajaan termasuk serbanika penyelewengan dia tahu. Jadi bila dia mentafsirkan kerajaan Terengganu dan kehebatan Mat Said begitu mungkin benar kerana dia sudah melihat dengan hati yang bebas.

Dan saya tidak pelik kalau Mat Said berjaya menghidupkan hubungan beliau dengan rakyat dan mengurangkan masalah dengan publik. Rahsianya ialah beliau bijak menyusun program mengutamakan rakyat.

Manakala serentak itu beliau mengurangkan isu-isu buruk mengenainya terdedah di media massa. Mungkin kehebatan Mat Said ini orang tidak sedar yang beliau dibantu oleh seorang wartawan profesional yang luas pengalaman. Saya yakin apa yang diterima oleh Mat Said ini kerana kegigihan dan nasihat Hambali Abd Latiff salah seorang pegawai khasnya di pejabat MB. Selalunya tuan akan jadi baik kalau kuli turut memberi pedoman secara berhemah dan fatanah. [wm.kl 7:30 am 31/12/09]

2 comments:

KOYAN said...

alhamdulillah.... kalau mende yang baik tuh tak kira sapa kita kene sokong..hok buruk & huduh tuh kita kene beto2 kan lah...bukan ape kalu biar hidoh takut terpalit ke orang lain pulak...kita doa2kan untuk orang2 yang mendokong kebaikan untuk semua....

ibnmustaffa said...

Pada firasat hamba, 55-45. PAS mendahului Umno.Oleh itu, Jika itu angkanya, maka pada PRU 13 nanti, PAS tetap akan menjadi pembangkang, namun pembangkang yg kuat.

Penduduk tempatan, iaitu org Tganu selepas PRU12, seolah terkesan, bg mereka yg atas pagar, mereka membuat kesilapan mengundi BN. Sebab itu, PRK KT PAS menang.

Hamba melihat, org Tganu beza dgn Kelantan, mereka jenis mengikut trend negeri2 lain. Jika melihat pusat spt hendak jatuh kepada bukan BN, maka mereka akan sokong bukan BN. Jika pusat seperti kukuh dengan BN, maka mereka akan ikut BN.

Kekuatan pengundi hardcore antara umno dan PAS adalah PAS menandingi, tetapi masalah kepada GAP. Ditambah pengundi luar bukan anak tganu seramai 100,000 lebih yg masih dibekalkan spr, PAS susah untuk menang.