Wednesday, September 26, 2012

Jet Peribadi dan Kenyataan Mansor Othman

MENYELAM MALAM                                                                                                  

Antara sebab kenapa saya tidak mahu melibatkan dalam parti politik secara rasmi ialah kerana melihat budaya politik Malaysia tidak ada standard atau tidak ada kelas. Sejak dari dulu lagi saya melihat orang Melayu bermain politik secara bodoh dan bangang. Mungkin beginilah ciri-ciri rakyat di sebuah negara yang berada di pre-kemerdekaan dan pre-tamadun. Saya menyifatkan orang Melayu separuh masak. Keadaan separuh masak ini serba salah, cerdik pun tidak bodoh sangat pun tidak.

Saya masih ingat saya pernah menulis sebuah buku awal tahun 90-an menafikan yang negara ini merdeka dan rakyatnya tamadun. Buku itu berjudul "Merdeka Kedua".

Saya akan cuba membawa cuplikan pandangan saya dalam buku itu satu hari nanti. Buku itu mendapat perhatian seorang naib presiden Umno yang kemudian membawanya kepada presiden parti. Kecut perut juga saya dengan kejadian itu.

Kebodohan politik Melayu terbawa-bawa sampai ke hari ini. Saya tidak perlu mengulas hal ini, boleh disaksikan sendiri dan lihat dari juring mana kecacatan, kesumbangan dan kebodohannya. Usah difikirkan kepada matlamat dan kepentingan Melayu menerusi politik, tetapi tengoklah apa isu-isu yang dimainkan sudah memberi jawaban kepada kita. Isu yang ditimbulkan tidak sedikitpun boleh membangun bangsa dan negara.

Politik adalah satu ruang besar untuk membina negara dan bangsa. Seharusnya perkara besar ini diolahkan secara berkualiti dan tidak dicampuri dengan soal-soal remeh temeh. Apa lagi orang Melayu akan marah kalau dikatakan dia tidak Islam, seharusnya politik ditangani dengan penuh ketertiban?  Kita marah kalau kita dikatakan Islam tempelan dan tidak syumul. Tetapi itulah hakikatnya.

Tanya kepada diri sendiri sejauh dan sedalam manakah Islam kita?

Hampir semua isu-isu yang dicampak ke dalam ruang politik negara kini isu yang remeh dan bersifat peribadi. Kita banyak mengalamai kerugian dan damage kerana kebodohan itu. Tepatlah kalau ada pengkaji bangsa asing mengatakan orang Melayu kuat dengki, cemburu, jahat dan khianat sesama sendiri. Kita kena memperakui kajian itu. Perbuatan nasi tangas atau nasi kangkang, meletak racun dalam pulut, mengumpat adalah sifat-sifat dan kerja rutin orang Melayu. Mengumpat ini berlaku di mana-mana saja, pasar, pejabat, malahan atas angkasa pun berlaku.

Sifat itu tidak pernah sunyi dari kehidupan, budaya dan tradisi orang Melayu. Fitnah bermaharajalela berlaku sepanjang 24 jam. Ia lebih pantas dan cepat lagi membawa manusia tertentu ke neraka dengan ada alat sebaran baru yang canggih dan modern. Perbuatan ini tidak tertakluk kepada mana-mana parti, semua melakukan kerja-kerja jahat atau mengamalkan standard politik busuk begitu. Bezanya bersaiz kecil atau besar.

Perhatikan macam isu yang remeh tidak ada mutu atau kena mengena pun dengan maksud politik (filsafah) itu sendiri dipermainkan. Misalnya isu mengenai kenyataan timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Mansor Othman yang kononnya menghina Lim Guan Eng dipergajahkan begitu rupa. Saya tidak faham kenapa isu dimainkan setiap malam di tv? Tv itu satu hal bengong sampai ke belakang. Di manakah tanggungjawab atau pun responsibility pihak tv berkenaan? Apakah mereka masih boleh mengaku mereka sebenarnya masih manusia dan mengaku ada Tuhan?

Apakah manfaatnya? Pelik... pihak batang tubuh (Lim Guan Eng) tidak pun mempertikaikan apa yang didakwa dikatakan oleh Mansor Othman itu. Tetapi pihak tv yang menjadi perkakas kepada UBN pula yang beriya-iya. Saya tidak faham bagaimana isu ini boleh mencerdikkan rakyat? Saya tahu ia bertujuan hendak memecah belahkan PKR dengan DAP, tetapi yakinlah apa yang diungkitkan itu tidak akan meretakkan kepaduan kedua-dua parti itu malahan makin kuat dan kemen. Sebab mereka sudah lama menghidu kebusukan dan kejahatan tv berkenaan.

Begitu juga dengan isu Anwar Ibrahim naik jet peribadi. Kenapa diperbesarkan. Naik jet atau kapal terbang ini bukan sesuatu yang dibanggakan lagi. Kalau di negara yang bertamadun dan lama merdeka ia bukan sesuatu yang pelik dan istimewa. Kalau di barat naik kapal terbang dan jet seperti naik bas mini sahaja. Tidak pun menjadi isu.... Itulah saya katakan orang Melayu masih belum tamadun, masih terkejut beruk kalau melihat orang naik jet. Sebabnya mudah kerana masih ada baik orang politik Umno, Pas dan PKR (Melayu) menunggang kerbau.

Mungkin orang barat dan negara yang bertamadun akan gelak terbahak-bahak sampai terkencing bila melihat Melayu bermain politik. Cara kita menimbulkan isu. Apa lagi kalau mereka melihat perbalahan dan penimbulan isu itu dari kalangan dua puak iaitu Melayu. Rasanya ada penerbit filem di barat memilemkan politik bodoh orang Melayu ini.

Dulu kita marah bila ada orang barat kata Melayu masih duduk atas pokok kayu. Sebenarnya apa yang orang Melayu lakukan hari ini lebih teruk berada di atas pokok. Yang menghairankan saya juga, yang menimbulkan isu-isu remeh kelas tahi ini bukan saja budak-budak penyepak kertas yang menjadi barua untuk cari makan, atau untuk beli handphone baru atau gadget baru tetapi para pemimpin atau ahli parlimen juga bersikap demikian. Bodoh! (Tiru nada Azhar Idrus).

Bila saya sebut ini - kebodohan dan kebangangan kerana memainkan isu-isu remeh dan peribadi secara melampau bukan saja tertakluk kepada pihak UBN, tetapi pihak pembangkang juga lebih kurang sama saja. Adakalanya isu-isu yang ditaburkan pembangkang lebih busuk dan tidak bertanggungjawab dari apa yang dilontarkan oleh UBN. Cuma bernasib baik di sebelah pembangkang mereka tidak mengkomersialkan isu-isu busuk itu dalam tv dan akhbar.

Dalam pilihan raya nanti marilah duhai orang-orang cerdik membuat pilihan terbaik. Pilihlah orang yang cerdik, ada kelas untuk menjadi wakil rakyat dan pemimpin negara. Marilah kita sama-sama 'tohok' politik tidak bermoral, politik adu domba melampau dan cuba pertingkatkan kualiti dan mutu politik kita. Kaum lain sudah bergerak terlalu jauh kita masih lagi bermain dalam kelontong nyiur. Selama mana kita semua harus menjadi 'gogat' sementara sayap tumbuh? [wm.kl. 8:52 pm 26/09/12]
Post a Comment