Saturday, September 8, 2012

Pakatan Rakyat Jangan Ada Agenda Dalam Agenda

RENUNGAN SABTU

Bila tarikh pengumuman parlimen masih menjadi teka teki dan meresahkan banyak pihak. Dalam penantian ini saya lihat Pakatan Rakyat semacam tidak sabar untuk menghadapi pilihan raya. Mungkin dalam falak dan hisabnya PR merasakan keadaan hari ini berpihak kepadanya. Dengan beberapa perkembangan dalam negara, baik dari segi ekonomi, sosial, kestabilan UBN itu menjadikan Pakatan Rakyat bahagia kalau pilihan raya diadakan secepat mungkin. Seolah-olah parti itu sudah berada dalam keadaan siap siaga yang menyakinkan akan menang seterusnya berjaya membentuk kerajaan.

Ketidakselarasan ini mungkin boleh dipertikai.
Dalam masa sama pula PR merasakan kedudukan UBN semakin goyah dan goyang dan tidak sekuat dulu. Kenyataan-kenyataan dibuat oleh pemimpin UBN yang cuba melakukan pusingan jiwa (reverse psikologi) kononya parti itu dalam keadaana stabil, kian mendapat sokongan atau parti menjadi harapan menyebabkan PR ghairah menanti pilihan raya. Begitu juga dengan tindakan diluar batas oleh penyokong Umno seperti serangan ke atas masjid, gangguan ceramah PR, melakukan khianat terhadap bas dan sebagainya memberi indikator parti itu dalam keadaan sakit dan suasana ini memberi peluang baik kepada PR.

Justeru PR sangat berharap pilihan raya diadakan dalam keadaan UBN sakit kerana peluang untuknya menang dikira luas. Dalam apa juga perjuangan sekular dianggap bijaksana kalau menyerang ketika musuh belum bersiap sedia atau dalam keadaan sakit tenat. Bagaimana pun keadaan ini tentu ironis dengan apa yang diharapkan UBN. Parti itu sudah pasti menanti masa dan 'cerlak' yang baik untuknya bertempur. Adalah bodoh kalau UBN mengumumkan tarikh pilihan raya dalam keadaan mereka tidak bersedia. UBN tidak akan melakukan kerja bunuh diri. Sebagai parti pemerintah yang berpengalaman ia akan tetap menanti musim dan waktu terbaik untuknya.

Soalnya bila pilihan raya atau UBN terpaksa membawa penggal parlimen ke 12 hingga tamat tempoh dan hadnya iaitu ke suku pertama tahun depan. Biarpun tindakan ia dianggap tidak gentlemen tetapi itulah satu-satu cara bagi UBN menyelamatkan kekuasaannya. Tidak ada guna bagi Umno kalau parlimen dibubarkan semata-mata mengikut angin pembangkang sedang pilihan raya tidak akan berpihak kepadanya.

Betullah desakan Pakatan Rakyat itu dan juga taboo kepada umum agar pilihan raya diadakan segera kerana situasi dan kondisi kini nampak berpihak kepadanya. Itulah sepantasnya dilakukan Pakatan Rakyat sebagai pihak penyerang. Persoalannya apakah PR sendiri berada dalam keadaan siap sedia? PR sudah pun berada ditahap 90% bersedia dengan segala kemudahan dan kelengkapan perang. Misalnya kewangan, logistik dan peralatan kempen, sudahkah siap? Dan paling penting apakah pembahagian kerusi sesama mereka sudah siap dan kemas? Atau pun desakan itu dibuat kerana tergilakan untuk berpilihan raya saja.

Di sini kita mahu kepastian apakah semangat kerjasama dan azam Pakatan Rakyat untuk menumbangkan UBN sudah mantap dan ikhlas. Bahawa Pas, PKR dan DAP sedia mengikhlaskan segala-galanya untuk mencapai kemenangan itu. Apakah pemimpin masing-masing tidak ada agenda dalam agenda dalam kerjasama itu seperti mana suci dan bersihnya hati rakyat dibawah? Bahawa pemimpin ketiga-tiga parti pakatan itu sedia melupai politik serba mungkin atau teori matlamat menghalalkan cara dalam pembentukan kerjasama ini?

Perkara ini ditimbulkan atas dasar peringatan, kalau kerjasama di dalam Pakatan Rakyat itu mempunyai agenda berlapis ia tidak akan menjamin kemenangan total. Kalau pun PR berjaya menguasai kerusi tetapi ia bakal terburai sebelum sempat menaiki takhta kalau ada agenda di dalam agenda? Apa dinamakan pengkhianatan di hujung kemenangan bakal memusnah semua pihak di samping mengecewakan rakyat dan penyokong.

Mereka yang ikhlas dan serius mahukan perubahan dan kemenangan tidak memikirkan kemungkinan ini. Tidak akan ada agenda di dalam agenda atau pun pengkhianatan selepas kemenangan. Hendaknya semua memikul dan menghasratkan satu agenda sahaja iaitu menumbangkan UBN. Ingatan ini diberikan kerana ada terselak khabar di telinga saya masing-masing ada agenda di dalam agenda.

Sejauh mana kemantapan kerjasama dan persefahaman diwujudkan untuk menumbangkan UBN menjadi persoalan saya apabila isu pembahagian kerusi sesama komponen Pakatan Rakyat terutamanya Pas dengan PKR di beberapa buah negeri masih belum selesai. Semacam ada tarik tali antara kedua parti ini atas rasa kurang saling mempercayai. Perasaan ingin menang sendiri dan membiarkan kawan menentukan nasib sendiri masih berlaku dan keadaan ini tidak elok.

Kenyataan dikeluarkan oleh Penasihat Umum PKR Anwar Ibrahim yang mengatakan masalah kerusi di antara PKR dengan Pas masih belum selesai semuanya walaupun ia sudah hampir selesai adalah satu mesej jelas bahawa kedua parti itu ada masalah di sesetengah tempat. Soalnya kenapa masih ada lagi masalah dalam saat pilihan raya hampir tiba dan PR sangat diharapkan Pakatan Rakyat. Apakah ada agenda di dalam agenda?

Apa diucapkan Anwar itu terkesan berlaku di negeri Terengganu. Khabarnya pembahagian kerusi menjadi isu di Terengganu. Ini sesuatu yang cukup malang dan menyebabkan orang boleh mentafsirkan ia mungkin ada masalah lain, atau agenda di dalam agenda. Terengganu adalah negeri presiden dan setiausaha serta ketua dewan ulamak. Apakah mereka tidak boleh menggunakan kuasa veto di dalam soal ini untuk memutuskan perkara itu tanpa ada pihak berasa hati. Abdul Hadi, Mustapa Ali dan Harun Taib boleh menggunakan lidah mereka untuk menamatkan isu kerusi di Terengganu. Kalau orang seperti mereka pun tidak dipercayai lagi elok kalau mereka berundur atau tidak ikut sama bertanding.

Sekali lagi ditegaskan tidak ada faedahnya pilihan raya diadakan segera kalau ianya membawa kekalahan kepada Pakatan Rakyat. Biarlah pilihan raya lambat atau pun tidak, tidak mengapa ia memberi peluang kepada PR menghalusi masalah dan mengikis apa-apa perasaan dengki yang ada di lubuk hati masing-masing. UBN boleh dikalah dengan wujudnya kerjasama mantap penuh keikhlasan bukan di peringkat ahli dan penyokong tetapi pucuk pimpinan!

 Sabar menanti lebih baik daripada menanti sesuatu yang bakal membawa kekecewaan. [wm.kl.12:43 t/hari 08/09/12]

No comments: