Sunday, September 16, 2012

Pakatan Rakyat Keluar Pengistyharan Kucing 7 Perkara

[kemaskini] Pakatan Rakyat lewat petang ini mengeluarkan peristyharan politik mengandungi Tujuh Perkara yang dinamakan "Pengistyharan Kucing" dalam satu majlis sambutan Hari Malaysia yang diadakan di sebuah taman perumahan di bandaraya Kuching.

Pimpinan tertinggi PR sedang menanandatangani.
Pengistyharan itu berhubung dengan hak-hak dan kepentingan rakyat negeri Sarawak ia merupakan satu janji dan ikrar Pakatan Rakyat untuk melaksanakannya sekiranya gabungan itu berjaya memerintah Sarawak dalam pilihan raya umum akan datang.

Antara pemimpin yang sempat disambar lensa camera saya.
Deklarasi itu dibaca di dalam hujan renyai-renyai yang turun di sepanjang majlis itu diadakan. Ia ditanda tangai oleh ketiga pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat, PKR diwakili oleh Penasihat Umum Anwar Ibrahim, Pas oleh Presiden Abdul Hadi Awang dan DAP oleh penasihatnya Lim Kit Siang serta Wong Ho Leng Pengerusi DAP Sarawak dan Adam Ahid Pesuruhjaya Pas Sarawak.

Kira-kira 3,000 hadir untuk memeriahkan hari Malaysia dan mengikuti pengistharan berkenaan. Antara pemimpin lain yang kelihatan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu, Naib Presiden Pas Husam Musa, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung Pas Mustapa Ali, Bendahari Agung Pas Dr Mohd Hatta Ramli, Naib Presiden PKR Tian Chua, Ketua Dewan Muslimat Pas Siti Zailah Yusuf, Ketua Angkatan Wanita PKR Zuraidah Kamaruddin dan lain-lain.

Agak menghairankan sedikit tidak kelihatan ketiga-tiga ketua pemuda Pas, DAP dan PKR.

Sebagai simbolik kelima-lima pemimpin itu menanda tangani deklarasi berkenaan di atas sebidang kain bersaiz besar yang digantung di majlis berkenaan.

Pengistyharan Deklarasi Kuching menunjukkan Pakatan Rakyat serius untuk membawa perubahan politik di Sarawak yang mana negeri itu dianggap masih belum mengalami kemerdekaan sebenarnya kerana ia dijajah oleh bangsa sendiri parti UBN.

Berikut adalah deklarasi berkenaan:

PERISYTIHARAN KUCHING
JANGAN SAMPAI KITA LUPA, DAN JANGAN SAMPAI MASYARAKAT MALAYSIA YANG TERBILANG INI BETAH TERLUPA BAHAWASANYA KAMI, YANG BERTANDATANGAN DI BAWAH, SEKALI LAGI DENGAN PENUH TEKAD DAN ILTIZAM SEPENUH JIWA DAN RAGA BERIKRAR DAN BERJANJI BERSAKSIKAN SELURUH WARGANEGARA MALAYSIA, PADA HARI INI YAKNI PADA TARIKH BERSEJARAH 16 HB SEPTEMBER 2012, DI BANDARAYA KUCHING, BAGI PIHAK PARTI-PARTI YANG BERKENAAN DAN PAKATAN RAKYAT SELURUHNYA BILA MANA KAMI MENGIKTIRAFKAN KERAJAAN BARU BUAT MALAYSIA, PAKATAN RAKYAT AKAN MELUNASI SETIAP IKRAR DAN JANJI KAMI PADA SETIAP LAPISAN MASYARAKAT DAN RAKYAT MALAYSIA.

BAHAWASANYA KAMI AKAN MEMELIHARA DAN MENJUNJUNG SETIA DASAR DASAR YANG DITERAPKAN DI DALAM BUKU JINGGA SUPAYA MALAYSIA BAKAL BANGKIT SEMULA SEBAGAI SEBUAH NEGARA YANG MAKMUR, AGAR TERWUJUD RAKYATNYA YANG CEMERLANG, BERSATU PADU DAN BERKEMBANG MAJU, DENGAN MASA DEPAN YANG SELAMAT DAN AMAN DAMAI, AGAR NAMANYA HARUM DI SERATA PELUSUK DUNIA.

BAHAWA SESUNGGUHNYA KAMI BERPEGANG TEGUH DENGAN SEMANGAT PERJANJIAN MALAYSIA 1963 YANG TELAH DICETUSKAN DAN DIKENDALIKAN OLEH PEMIMPIN-PEMIMPIN KAMI YANG TERDAHULU, DAN SEBAGAI BUKTI DAN TANDA UTUHNYA KESETIAAN KAMI TERHADAP RAKYAT SARAWAK DAN SABAH, BERTERASKAN PRINSIP-PRINSIP DEMOKRASI DAN KEADILAN UNTUK RAKYAT MALAYSIA SELURUHNYA, DENGAN PENGKHUSUSAN ISTIMEWA TERHADAP PERKARA-PERKARA BERIKUT:

PERKARA 1: KERJASAMA BERSEKUTU
Kami akan memulihara intipati Perjanjian Malaysia dan memperkasakan kedudukan Sarawak dan Sabah setanding dengan Semenanjung Malaysia dengan mengembalikan autonomi Sarawak dan Sabah mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.
PERKARA 2: PERWAKILAN YANG ADIL
Kami akan mempertingkatkan integrasi nasional di antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia melalui penggemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil yang menjunjung semangat Perjanjian Malaysia.

PERKARA 3: KEWARGANEGARAAN
Kami akan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi menyelesaikan masalah nasional berkaitan pendatang tanpa izin dan isu-isu kerakyatan, khususnya di Sarawak dan Sabah.
PERKARA 4: PENGIKTIRAFAN HAK KE ATAS TANAH ADAT
Kami akan menghormati dan mengiktiraf hak anak watan ke atas tanah adat sepertimana yang tertakluk dan termaktub dalam Undang-undang Negeri Sarawak dan Sabah dengan menubuhkan Suruhanjaya Tanah untuk menyiasat, menyelesaikan pertikaian, memperbaharui, menyelidik dan memulihkan Hak Adat Peribumi ke atas pemilikan Tanah Adat.

PERKARA 5: KECEKAPAN DAN KEMANDIRIAN SARAWAK DAN SABAH
Kami akan mengiktiraf perlantikan rakyat Sarawak dan Sabah untuk memimpin dan memegang jawatan di Jabatan Kerajaan di negeri masing-masing, dikuatkuasakan oleh Setiausaha-setiausaha kerajaan kedua-dua negeri dan memberikan keutamaan kepada rakyat Sarawak dan Sabah di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan tugas di negeri masing-masing.

PERKARA 6: KEADILAN DALAM ISU MINYAK
Kami akan menaikkan bayaran royalti ke atas petroleum dan sumber sumber hidrokarbon kepada Sarawak dan Sabah dari 5% ke 20%.

PERKARA 7: PEMBANGUNAN SEKATA
Kami akan membawa tahap kemajuan infrastruktur di Sarawak dan Sabah setanding dengan perkembangan di Semenanjung Malaysia.

DENGAN INI, KAMI YANG BERTANDATANGAN SEPERTI YANG TERTERA DI BAWAH, MENGIKTIRAF PERISYTIHARAN INI SEBAGAI SATU PERJANJIAN YANG TIDAK BOLEH DISANGKAL DAN DIPERSOALKAN LAGI, TERMAKTUB DI ANTARA PAKATAN RAKYAT DAN SEGENAP LAPISAN MASYARAKAT MALAYSIA, PADA HARI INI, TANGGAL 16 SEPTEMBER 2012, BERSEMPENA DENGAN SAMBUTAN HARI MALAYSIA, AGAR TERSOHORLAH GEGAK GEMPITANYA DARI PUNCAK TERTINGGI DI BUMI MALAYSIA YANG TERCINTA, DAN AKAN TERSEBAR SELUAS SAMUDERA YANG TERBENTANG SUPAYA KEBEBASAN DAPAT KITA CAPAI DAN KITA SEMUA BOLEH HIDUP BERSATU PADU DALAM SUASANA AMAN DAN DAMAI.
Sebagai saksi padanya, penandatangan yang diberi kuasa dalam hal ini, telah menandatangani Perisytiharan ini, dan semua rakyat Malaysia adalah saksi kepadanya.
Dimeterai di Kuching, pada 16 haribulan September tahun 2012, dalam enam salinan di mana setiap satu darinya akan disimpan oleh setiap penandatangan.
Untuk Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Y.B. DATO ‘SERI ANWAR IBRAHIM, Ketua Umum
Untuk Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Y.B. LIM KIT SIANG, Ketua Parlimen
Untuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
Y.B. DATO’ SERI HAJI ABDUL HADI AWANG, Presiden
Untuk Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Y.B. BARU BIAN, Pengerusi PKR Sarawak
Untuk Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Y.B. WONG HO LENG, Pengerusi DAP Sarawak
Untuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
TUAN HAJI ADAM BIN AHID, Pesuruhjaya Negeri PAS Sarawak
Ulasan lanjut mengenai perkembangan politik Sarawak akan menyusul selepas penat beransur pergi. [kk.srwk 8:38 pm 15/09/12]

No comments: