Sunday, September 30, 2012

Kunjungan Yang Tidak Akan Terlupa Selamanya

PERASAAN AHAD

Saya sungguh teruja dan terharu apabila melihat beberapa keping foto Sultan Muhamad Ke V bersama adinda baginda yang juga Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra berangkat menziarahi Tokguruku Nik Abdul Aziz dirumahnya kelmarin. Foto itu sudah bertaburan di wall Fb dan ada yang di like sampai 30,000.

Katanya, baginda berdua mengampuni perkenan untuk menziarahi Tok guru bertanya khabar mengenai kesihatan MB itu kerana semasa Tok Guru berehat beberapa hari di wad, baginda tidak kesempatan berbuat demikian.

Kunjungan Sulatan disambut dengan penuh kerendahan jiwa.
Sultan dan Tengku Mahkota berjemaah dengan Tokguru.
Tersayat sayu kebanggan hati saya apabila mendengar bayangan itu. Betapa baginda seorang sultan tidak kedudukan dan suasana untuk memayungi rakyat apa lagi memanda menterinya. Baginda meletakkan kemuliaanya sebagai sultan jauh ke bawah kemuliaan seorang hamba Allah. Apa dilakukan oleh baginda jarang sekali kedengaran di zaman raja-raja sudah berada di bawah perlembagaan di mana segala hak dan kepentingan baginda dijamin seratus peratus. Hari ini sultan boleh duduk diam dan senyap di istananya tanpa mempedulikan rakyat kerana mereka sudah dilindungi sepenuhnya oleh perlembagaan.

Kunjungan baginda itu adalah kali kedua dalam tempoh 15 tahun. Semasa baginda bergelar Tengku Mahkota Kelantan baginda telah pernah menziarahi ke Pulau Melaka. Ertinya kunjungan semalam adalah kunjungan pertama kali setelah baginda menaiki takhta kesultanan Kelantan.

Tuanku tidak pernah lupa untuk memberi hadiah.
Tidak tokguru atau sesiapa, semua orang merasa senang dengan apa diteladankan oleh baginda itu. Itulah yang rakyat ingin dari seorang pembesar negara. Tidak sombong dan bermegah dengan kedudukan. Tahu menimbang tara di antara kedudukan sesama insan. Tok Guru Nik Aziz tidak akan terkedu kalau pun baginda tidak mengziarahinya.

Tuanku bergambar kenangan dengan bersama keluarga Tok Guru.
Baginya cukup merasa bertuah kalau Tuanku hanya mengirim salam atau wakil untuk menjengoknya. Namun apabila baginda datang sendiri, saya dapat bayangan kebanggan Nik Aziz terhadap kunjungan dan keprihatinan Tuanku itu melimpah sehingga memenuhi sungai Melaka yang berada di belakang rumahnya. Bak kata orang tidak cukup nyiru dengan tangan ditadahkan.


Tentu tidak kena tingkah dan laku bagi Nik Aziz untuk menerima kunjungan itu. Ia bukan kunjungan orang biasa, tetapi kunjungan seorang bergelar raja bertahktha yang pula dimulia dan dikasih rakyat jelata. Meskipun Tuanku berdua beradik tidak meminta disusun dan diatur keberangkatan ziarahnya begitu rupa penuh dengan protokol dan adat istiadat, tetapi sebagai seorang memanda menteri dan hamba yang tawaduk, Nik Aziz pasti sedikit sebanyak menyedaikan keperluan seadanya.

Kunjungan bermula dengan Tuanku mendirikan solat Asar di masjid 'berdepetan' dengan rumah MB itu. Sebelum itu baginda berdua bersalaman dengan jemaah masjid dan orang ramai. Ruang di mana Tuanku dan Tengku Mahkota itu bersemayam untuk berbual dengan Tok Guru dan isterinya Tuan Sabariah Tuan Ishak, disitulah juga tempat selalu saya berbual dengan Tokguru dan tetamu lain bila setiap kali berkesempatan bertamu dengan Tokguru.

Selalunya selepas solat bersama di masjid, jika beliau ada masa dan kesihatannya membenar, Tokguru akan ajak naik ke rumah dan berbual hal ehwal negeri dan politik sambil mengenakan tea secawan dan sedikit kueh mueh. Ertinya dalam hidup Tokguru tidak ada pengasingan kelas dan semuanya dilayan sama rata sesuai dengan apa diajar oleh Nabi.

Jadi apabila diruang itu juga Sultan Mohamad ke V dan Tengku Mahkota bersemayam betapa saya makin dapat meraskaan sifat kehambaan dan tawaduk Tuanku Sultan bersama Tengku Mahkota yang tidak kekok untuk duduk 'bersidang' di ruang tamu seluas 20 kali 15 kaki itu.

Gambaran atau peristiwa semalam ia satu lagi sejarah buat Menteri Besar dan juga Sultan. Apa lagi rakyat menerima dan melihat kejadian itu satu kebanggaan besar buat mereka. Rakyat merasa bertuah memiliki  seorang MB seperti Nik Aziz, dan Nik Aziz juga lebih merasa bertuah kerana dianugerahkan Allah seorang sultan yang penuh prihatin dan humble. Apabila dikenang kedua itu ia menyebabkan rakyat Kelantan lebih-lebih merasa bertuah kerana mereka mempunyai uli amri yang sedemikian tinggi hemat dan sifat kemanusiaanya dan kehambaannya. Kedua mereka Sultan dan MB menjadi penawar kepada kedukaan rakyat Kelantan atas segala macam pencemuhan dan penghinaan ke atas mereka olah anarki politik.

Atas perilaku itulah tidak hairan kalau ketaatan dan kasih sayang Nik Aziz kepada sultannya semakin menebal dan mendalam. Beliau sendiri sempena kunjungan itu mendokan akan kerahmatan untuk sultan bersama usrah di raja dan seluruh jajahan takluknya dan rakyat jelata. Rasa sayang, bangga dan kasih Nik Aziz makin terserlah lagi apabila beliau berkata; saya tidak akan baiki rumah ini kerana ia pernah di singgahi dan dijejaki oleh Tuanku Sultan. Kata-kata ini menggambarkan Nik Aziz telah mengisytiharkan bahawa rumahnya itu satu bekas mulia dijejak sultan beradat tinggi yang tidak mungkin dirobohkan selagi hayatnya dikandung badan.

Namun apabila mengenangkan kerendahan diri dan akhlak Tuanku Sultan menyebabkan hati kecil saya tertanya-tanya, apakah pernah anggota Exco bersam wakil rakyat Pas mengadakan kunjungan khas ke rumah Tok Guru untuk bertanya khbar sakit demam wali mereka seperti mana Tuanku Sultan lakukan itu. Apakah kunjungan beramai-ramai ke rumah MB begitu satu yang tidak perlu diadakan ataupun kunjungan seperti itu memang tidak ada tercetus dalam mana-mana kepala Exco Kelantan kerana mereka menganggap Tok Guru seorang manusia yang simple yang tidak memerlukan kunjungan dan peraian seperti itu? Begitukah?

Seorang ayah memang tidak mengharapkan jasa dan budi dari anak-anaknya. Hadiah teristimewa dari anak kepada ayah ialah kejayaan. Tetapi seorang ayah akan merasa lebih bangga dan bertuah lagi kalau anak-anaknya berbudi dan mempamirkan akal budi yang tinggi untuk dicontohi oleh sekalian orang yang lain. Mungkin untuk masa depan akan ada kunjungan ramai-ramai Exco Kelantan ke rumah tokguru, kalaupun ia bukan atas permintaan tokguru, biarlah dibuar atas kesedaran dan keinsafan anggota Exco dan wakil rakyat. [wm.kl.11:40 am 30/09/12]

Ps: Foto 'dicuri' dari album Zam Zamani. Harap dizinkan.
Post a Comment