Sunday, January 20, 2013

Orang Kelantan Bukan Rakyat Negeri Beringin Rendang

ULASAN                                                                                                                           

Najib Razak terus memperolok-olok dan mempermainkan rakyat Kelantan dengan mengulangi beberapa tawaran yang hendak diberikan kepada rakyat Kelantan sekiranya Umno berjaya merampas Kelantan dari tangan PAS. Tawaran dan jani itu telah dibuat setiap kali dia memijak bumi Kelantan. 

Najib: Buat tawaran lagi.
Baru sekejap tadi Najib sekali lagi berjanji akan membina lebuh raya dari Kota Bharu - Kuala Krai. Pembinaan itu katanya akan dibuat secara berperingkat-peringkat. Pembinaan lebuh raya itu termasuk dalam tujuh perkara di mana tiga darinya adalah janji baru yang dibuat sempena kunjungan ke Kelantan hari ini.

Janji atau tawaran lain ialah pembinaan sebuah stadium memandangkan perkembangan bola sepak di Kelantan kini memberangsangkan dan juga pembinaan rumah untuk rakyat sebanyak 3,000 unit.

Beliau juga sekali lagi menjanjikan hendak menyediakan kemudahan air bersih di Kelantan yang didakwa oleh Umno, air Kelantan bermasalah. Tawaran untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan ini sesuatu yang tidak wajar dibuat oleh Najib atau dijadikan syarat sekiranya Umno menang di Kelantan baru hendak dilaksanakan.


Sekiranya beliau seorang pemimpin yang memahami tanggungjawab dan amanah yang dipikul oleh seseorang khalufah tidak sepatutnya beliau menjadikan isu air yang merupakan aset semula jadi untuk rakyat sebagai modal politik. Suka atau tidak Najib perlu memberi peruntukan atau mengatasi masalah itu tanpa ada motif. Tidak sepatutnya aset atau anugerah Allah dipolitikkan. Namun...

Tahukah Najib bahawa ada empat aset atau anugerah Allah yang tidak boleh diperdagangkan, iaitu tanah, udara, minyak dan air. Najib hari ini mengunjungi Kelantan dalam rangka berkempen menjelang pilihan raya.

Janji atau tawaran lain ini merupakan tawaran baru, ialah pembinaan kampus khas untuk Universiti Teknologi Malaysia, (UITM) Kelantan, membina sebuah masjid bernilai RM5 juta dan memperkenalkan repaid di Kota Bharu.

Setiap kali Najib menyebut segala tawaran itu hadiran yang memenuhi khemah di RTC Tunjung bersorak dan bertepok tangan bagaikan penduduk di negeri Beringin Rendang ketika menyaksikan skor board menunjukkan negeri mereka sudah menang dalam teka teki di antara Pak Belalang dengan Raja Pasai. Najib seronok melihat gelagat rakyat Kelantan dan terhibur dengan tepok sorak setiap kali beliau mengumumkan segala tawaran itu.

Bagaimana pun kita yakin yang hadir di majlis Najib itu adalah kakitangan kerajaan yang celik huruf. Mereka yang dipaksa dan kedatangannya direkodkan. Mereka semua dipaksa dan murid sekolah dipunggah. Mereka itu sengaja menjadi diri mereka seperti penduduk Beringin Rendang kerana hendak menyedapkan hati Najib. Najib memperolok-olokkan mereka, mereka memperolok-olokkan Najib.

Kalau Najib jujur dan ikhlas dia tidak hanya bermain dengan kata-kata dan memperolok-olokkan rakyat Kelantan dan melayani mereka bagaikan budak-budak. Rakyat Kelantan bukan penduduk negeri Beringin Rendang yang buta huruf, malahan mereka celik huruf dan arif IT. Rakyat memahami masalah Najib dan juga sejauh mana wibawa Najib sebagai perdana menteri.

Rakyat Kelantan juga tahu kes Altantuya dan mereka mengikuti dengan penuh minat pendedahan taukeh karpet Deepak Jaikhisan. Juga mereka mengetahui apa yang sedang bergelora didalam lautan Umno di mana 'jerung' bernama Mahathir kini sedang mengepong Najib agar masuk jaringnya.

Apa yang Najib patut laukan ialah bukan memperolok-olok rakyat Kelantan tetapi terus melaksanakan apa-apa yang sepatut disegerakan. Misalnya masalah air yang didakwa bermasalah itu, stadium dan juga lebuh raya lebuh raya Kota Bharu - Kuala Krai perlu dibina hari ini juga.

Apabila Najib berjanji dan memberi isyarat maka ia tidak ikhlas. Rakyat Kelantan yang sudah masak dengan politik dan tanggungjawab sebuah kerajaan tidak akan teruja. Begitu juga dengan pemberian wang RM100 kepada murid sekolah ia tidak akan mengubahkan keadaan kerana rakyat sudah tahu wang itu adalah hak mereka bukan hak Umno. Sesiapa pun yang menjadi kerajaan hak atau wang itu akan tetap diterima oleh rakyat bahkan jumlahnya mungkin lebih besar dari itu.

Rakyat juga tidak begitu mengharapkan kepada semua tawaran itu dilaksanakan. Mereka tentu sangsi apakah UBN sempat melaksanakan atau tidak kerana Pakatan Rakyat juga kini sedang mengorak langkah untuk menerajui kerajaan Malaysia. Sudah pasti kalau PR menang dan menjadikan kerajaan mereka juga akan melaksanakan semua itu.

Hari ini dengan perkembangan politik terkini, kecelaruan didalam Umno dan semakin meningkatnya sokongan rakyat Pakatan Rakyat, tenguk Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) minggu lalu, belum pasti lagi UBN dapat mengekalkan kekuasaan mereka. Tidak ada siapa yang boleh memberi jaminan  yang UBN akan kekal memerintah. Jadi janji dan tawaran Najib itu tidak lebih dari angan-angan dari seorang taukeh yang sebenarnya dia sedang menuju ke lembah muflis tetapi tidak diketahui keadaan itu.

Kesimpulannya janji dan tawaran Najib sudah difahami ia adalah tidak lebih daripada 'basabasi' dan modal pilihan raya saja dan tidak perlu dipegang sebagai sebuah janji akan ditunai. Najib hanya menanam tebu di bibir mulut. Seperti ditegaskan tadi kalau Najib ikhlas hendak membantu rakyat Kelantan binalah lebuh raya hari ini juga, atasilah masalah air hari ini juga dan buatlah stadium malam ini juga.

Kenapa tunggu selepas pilihan raya? Rakyat Kelantan bukan penduduk negeri Beringin Rendang. [wm.kl.12:10 t/hari 20/01/13]
Post a Comment