Monday, January 28, 2013

Pengguguran TP PAS Perkara Biasa

MENYELAK DIRI                                                                                                           

Pengguguran bekas timbalan presiden PAS, dari menjadi ahli Majlis Syura Ulama tidak perlu diberi ulasan panjang. Pemecatan itu adalah perkara biasa. Seperti mana kata Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat suami isteri pun bercerai jadi pengguran itu adalah perkara biasa.

Orang PAS tidak perlu menangis dan bersedih, apa lagi tercabut kain, terimalah semua itu sebagai takdir. Cuma ingat satu sahaja, PAS adalah sebuah jemaah dan bukan milik individu. PAS lebih besar dari sesiapa hatta Nik Aziz. Siapa pun dia namun jemaah mengatasi segala-galanya.

Seorang pergi meninggalkan PAS ribuan yang memasukinya. Selagi PAS tetap atas perjuangan asal ia tetap menjadi pilihan. Jangan ambil kira yang melarikan diri kerana mereka mengejar sesuatu yang PAS tidak dapat berikan kepada mereka. Ini sudah terbukti sejak penubuhannya tahun 1952 PAS terus membesar dan disokong hingga apa yang wujud hari ini.

Justeru isu bekas timbalan presiden itu hanya sebesar tahi cicak terpotong dua saja.

Sebelum ini pun ramai yang diambil tindakan dan kerana itu mereka terus berjauhan dengan PAS malah ada yang menghentam dan memaki hamu PAS dari belakang. Itu biasa. Dan PAS tidak pun terjejas apa-apa. Sebab apa, yang diperkirakan orang ialah PAS bukan orangnya.

Dalam kes bekas timbalan presiden itu, ianya jelas. PAS telah memberi beberapa kali peringatan tetapi dia terus dengan keputusan dan kepercayaannya. Siapa yang boleh memujuk atau menahan dia? Dia bukan seorang budak yang perlu diberi tunjuk ajar. Dia menjadi ahli Parlimen PAS dua kali. Dia juga pernah menjadi timbalan presiden dua penggal, jadi dia berada di tempat paling tinggi. Tidak bererti bila sudah sampai ke tempat itu dia berada di pihak benar, tidak.

Sesuatu yang mungkin dia tidak sedar bahawa kemenangan dia untuk jawatan timbalan presiden PAS dulu bukan atas kredibilitinya. Kemenangan itu adalah kerana strategi politik. Inilah yang salah ditafsirkan oleh beliau sehingga beliau merasakan dia lebih berhak untuk menjadi timbalan presiden kemudian dia merasakan berpengaruh.

Saya akan menceritakan detik-detik awal bagaimana dia dicalonkan untuk mencabar Allahyarham Hassan Shukeri untuk merebut jawatan timbalan presiden yang ditinggalkan oleh Abdul Hadi Awang selepas ketiadaan Allahyarham Fadhil Mohd Noor. Ramai mungkin yang tidak tahu cerita di sebalik ini. Dan dia juga tidak insaf apa yang berlaku di sekitar dirinya.

Orang PAS perlu mengucap selamat berjuang dalam wadah baru kepada beliau. Kalau dia memilih Umno itu adalah pilihan yang tepat baginya bila dilihat kepada karektor dan juga pembawaannya. Angkatlah tangan dan berdoalah semoga dia berjaya dengan caranya sendiri. Mereka yang kekal dalam PAS hendaklah istiqamahkan perjuangan. [wm.kl.8:47 pm 28/01/13]
Post a Comment