Tuesday, January 22, 2013

Penduduk Beringin Rendang Saman Petronas

SUSUPAN PETANG                                                                                                        

Memanglah rakyat Kelantan bukan seperti penduduk negeri Beringin Rendang, dalam filem "Nujum Pak Belalang" mereka tidak boleh diperolok-olokkan atau membiarkan begitu saja apa-apa penyamunan ke atas hak milik mereka. Dalam berhadapan dengan pencurian hasil minyak Kelantan, rakyat Kelantan tidak mudah mendiamkan diri, mereka terus bertindak dan berikhtiar penuh insaf dan tanggungjawab untuk mendapat hak mereka.

Husam: Memberi kenyataan kepada wartawan selepas seraah saman.
Menurut hitungan mereka berbillion ringgit hasil royalti petroleum yang ditemui di perairan Kelantan tetapi tidak dikembalikan kepada rakyat Kelantan hanya kerana Kelantan dibawah pemerintahan PAS. Penafian hak, diskriminasi dan pencurian di siang bolong inilah menyebabkan rakyat Kelantan bangkit menuntut hak mereka.

Wujudnya kumpulan baju merah yang menampalkan lambang "R", di Kelantan hari ini kemudian melerak ke seluruh negara adalah kerana pengkhianatan itu. Walaupun perjuangan "R" lebih merupakan tekanan psikologi terhadap Umno khasnya Najib Razak namun sedikit sebanyak ia menyebabkan pihak Petronas dan Kerajaan tidak boleh tidur lena.



Jika sebelum ini mereka mengunyah dan kekenyangan hasil wang petroleum namun setakat wujudnya NGO "R" yang membuat tuntutan secara terbuka menyebabkan mereka yang 'mengekah' wang petroleum tidak berapa selesa.

Syed Azman di kanan Husam bersama penyokong.
Pagi ini rakyat Kelantan terus membuat tuntutan mereka. Satu saman injuksi interlacutari terhadap Petronas dilakukan hari ini bagi menghalang syarikat petroleum nasional itu daripada membayar royalti, kepada kerajaan Persekutuan sebaliknya membayar kepada kerajaan negeri Kelantan yang berhak mendapat bayaran itu terhadap mana-mana hasil cari gali minyak di Kelantan.

Injuksi ini persiapan sekiranya Kelantan masih dibawah PAS. Sebaliknya injuksi ini akan terbatal dengan sendiri sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memerintah Malaysia.

Saman itu difailkan oleh Exco Kanan Kerajaan Kelantan Husam Musa menerusi peguam Tommy Thomas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Tindakan ini dilihat manifestasi kepada tuntutan rakyat Kelantan yang dibawa oleh "R" dan juga kejauhan akal Husam Musa sebagai seorang pemimpin dan nadi kepada kerajaan pimpinan Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beberapa pemimpin NGO "R" hadir memberi sokongan atas tindakan itu yang diketuai oleh Presidennya Nazri Deraman serta beberapa anggota exconya. Nampaknya komitment "R" ini tinggi terhadap usaha membela rakyat Kelantan. Turut sama berada memberi sokongan moral kepada Husam dan R ialah Syed Azman Syed Mohamad Adun Batu Buruk dari Terengganu. Saya mengira kehadiran Syed Azman ini adalah mewakili wakil rakyat Kelantan yang tidak sempat hadir.

Ikut sama hadir memberi sokongan Persatuan Anak-Anak Kelantan di Kuala Lumpur dan Selangor (Persada). Agak malang sedikit tidak kelihatan wakil dari Perakan dan ini menjadi tanda tanya apakah Perakan tidak concern kepada tuntutan ini atau mereka tidak mendapat maklumat?

Sebagai sebuah NGO yang menjadi penghubung anak Kelantan dengan kerajaan negeri, sepatutnya Perakan itu menghantar wakil bagi memberi sokongan moral kepada Husam dan "R". Kalaupun pemangkunya keuzuran tetapi ia boleh dikirimkan pemeriksa kira-kira , cukup setakat untuk memberi moral support.

Saya difahami tuntutan royalti minyak ini kurang mendapat sambutan dan kerjasama yang tinggi dari kalangan wakil rakyat Kelantan. Sebarang majlis berhubung tuntutan ini baru kelihatan meriah apabila ia membabitkan kehadiran Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kenapa? Apakah mereka tidak yakin kerja diusahakan anggota Exco berkenaan tidak memberi hasil? Sesuatu yang malang kalau sikap ini diamalkan di mana menanti kehadiran Nik Aziz baru masing-masing rasa tidak senang duduk.

Tidak mengapa, tidak perlu ada kedukaan dan kesedihan bagi "R" dan juga Husam didalam soal ini. Yang nyatanya usaha itu sudah diiktirafkan oleh rakyat dan ia menjadikan kerajaan Persekutuan tidak senang duduk. Sudah menjadi lumrah semua kerja-kerja yang dianggap sukar, ganjil pelik akan diketawa dan dijauhi orang. Sesuatu kejayaan dan kecemerlangan itu hanya dapat disuluh oleh pemimpin bersikap futuristik.

Saya pasti semasa mahkamah hendak memutuskan apakah kerajaan Kelantan berhak mendapat royalti ataupun ketika mahkamah ingin menentukan jumlah yang perlu dibayar kepada negeri Kelantan nanti setelah saman itu berjaya, rasanya laman kompleks jalan duta itu tidak akan kecukupan ruang kerana ia akan diserbu oleh para pembesar-pembesar duduk 'bercagak' negeri Beringin Rendang itu yang ditangan masing-masing tersedia guni untuk menerima habuan masing-masing.

Melihat kepada usaha Husam di dalam menuntut royalti minyak ini dan juga beberapa kerja lain, boleh saya umpamakan begini, kerja berat kamu tanggung-tanggunglah sendiri, kerja ringan dan setelah berjaya nanti barulah kamu akan ditolong-tolongkan! [wm.kl.4:13pm 22/01/13]
Post a Comment