Thursday, March 6, 2014

Apa jadi kepada Kajang Move kalau Anwar tak layak tanding?

SPEKULASI                                                                                       

Rayuan pihak pendakwaan raya terhadap pembebasan Anwar Ibrahim dari tuduhan meliwat 'pembacuh kopinya' bermula hari ini sehingga esok. Rayuan berjalan selepas Anwar gagal untuk mengenepikan Shafei Abdullah daripada mengepalai barisan pendakwa.

Perbicaraan berlangsung di hadapan tiga hakim Mahkamah Rayuan; Balliah Yusof, Aziah Ali dan Mohd Zawawi Salleh. Rayuan ini berjalan penuh debaran dan teka teki. Nasib Anwar akan ditentukan dalam perbicaraan ini, bukan saja apakah dia layak menjadi calon pilihan raya kecil Dun Kajang ataupun dia akan dihantar ke penjara.

Untuk menilai perkembangan ini agak sukar, kerana keadilan dalam perbicaraan ini bukan menjadi tanda asas untuk menentukan nasib Anwar. Sekiranya mahkamah tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak, kepercayaan kepada mahkamah boleh diletak. Sebaliknya kalau mahkamah dipengaruhi mana-mana pengaruh dan kepentingan, keadilan diharapkan itu sia-sia saja.

Pokok pangkal kini apakah Anwar terus dianggap musuh oleh pihak tertentu yang boleh mengusai mahkamah? Kalau iya, dan orang itu masih mempunyai sisa kuasa maka mahkamah tidak akan berjalan menurut prinsip-prinsipnya. Jadilah perbicaraan rayuan itu sebagai formaliti saja.

Kenapa dikatakan begitu, kerana terdapat kes-kes berat yang dibebaskan tetapi tidak dirayu oleh pihak pendakwa. Petunjuk ini menjelaskan bahawa dalam proses keadilan dan kesaksamaan yang diuruskan manusia ada kepincangannya.

Meneliti kepada perkembangan dan simpang siur kes ketua pembangkang ini, elok kalau PKR menyediakan pelan alternatif untuk pilihan raya kecil Kajang. Walaupun sekiranya berlaku apa-apa kepada Anwar, Kajang Move tidak bermakna lagi, tetapi kerana kerusi itu telah kosong, Pakatan Rakyat harus bertanding.

Zaid Ibrahim tidak akan bertanding di Kajang sekiranya Anwar tidak dapat bertanding. "Saya tidak akan bertanding, kalau Anwar tidak boleh bertanding," begitulah akuinya yang terdengar ke telinga saya.

Dalam konteks politik mengenai Anwar ia menjadi masalah kedua, tetapi yang penting Kajang harus disertai oleh Pakatan Rakyat.

Mengenai natijah rayuan pendakwa ke atas kes Anwar itu, saya boleh baca begini, mungkin keputusan terhadap rayuan itu ditangguhkan. Penangguhan itu sekiranya Anwar didapati bersalah memberi laluan kepada Anwar untuk turut bertanding. Tetapi ia memberi kesan buruk kepada politik negara ini sekiranya Anwar bertanding, menang kemudian keputusan mahkamah didapati dia bersalah menyebabkan satu lagi pilihan raya terpaksa diadakan?

Kajang Move nampaknya melangkah bukan saja untuk Anwar tetapi ia boleh melangkah jauh terutamanya ke dalam Pakatan Rakyat. Saya berani mengatakan kalau Anwar sekali lagi dirihatkan dalam penjara ia akan mengucar kacirkan Pakatan Rakyat. [wm.kl.11:28 am 06/03/14]
Post a Comment