Sunday, March 23, 2014

PKR menang tanpa membawa erti besar?

ULASAN PRK KAJANG                                                                   

Pilihan raya kecil Kajang yang mulanya digerakkan menerusi projek Kajang Move sudah berakhir kira-kira empat jam lalu. Seperti dijangkakan awal-awal, kemenangan berpihak kepada PKR menerusi calonnya Dr Wan Azizah Wan Ismail. Azizah mengutip sebanyak 16,741 undi manakala lawannya calon BN, Chew Mei Fun mendapat 11,363 undi. Majoriti ialah 5,379.

Azizah diapit Anwar, pemimpin PKR selepas diumum menang.
Majoriti berkurangan sebanyak 1,445 berbanding yang diraih calon PKR Lee Chin Cheh dalam pilihan raya umum lalu, sebanyak 6,824 undi. Kekurangan majoriti sudah dijangka sekiranya peratus mengundi berkurangan. Ternyata peratus keluar mengundi relatif berkurangan sebanyak 16.3%. Peratus keluar mengundi pilihan raya kecil 72.1% manakala pilihan raya umum 88.4%.

PKR dan pendokongnya berhak bergembira dengan kemenangan itu. Kemenangan itu menyelamatkan kerusi Dun PKR di Selangor. Tetapi ia bukan kemenangan sebenarnya. Langkah Kajang dianggap gagal apabila Anwar Ibrahim tidak dapat bertanding kerana terhalang oleh keputusan mahkamah. Kegagalan Anwar itu menyebabkan pilihan raya kecil itu tidak membawa apa-apa makna.

Pilihan raya Kajang berlaku kerana kerusinya dikosong oleh penyandang Lee Chin Cheh, kerana hendak memberi laluan kepada Anwar untuk jadi MB Selangor. Apabila Umno menggunakan mahkamah untuk mengatasi strategi Anwar dan PKR, maka ia tidak lagi bererti. Dari sudut lain kejayaan usaha menghalang Anwar itu dilihat manifestasi kejahatan UBN ke atas PKR khasnya Anwar Ibrahim.

Oleh kerana kerusi sudah kosong dan tarikh pilihan raya kecil sudah ditetapkan, hendak tidak hendak PKR harus menyertai pilihan raya itu, sebagai mempertahankan haknya. Kegagalan Kajang Move menjadikan pilihan raya itu sebagai membazir dan tidak membawa apa-apa natijah besar. Tetapi itulah politik dan demokrasi kita.

Dalam usaha mempertahankan kerusi itu PKR menyandarkan kepada Dr Wan Azizah. Azizah adalah calon terbaik walaupun dia bukan wakil terbaik untuk mengambil alih tempat Abdul Khalid Ibrahim? Wan Azizah adalah wakil peribadi dan moral politik Anwar. Bagi saya Azizah tidak pantas untuk mengganti Khalid walaupun dia berjaya mengekalkan kerusi Kajang.

Bagaimana kini terserah apakah projek Kajang Move hendak diteruskan atau pun tidak. Sekiranya maksud pilihan raya kecil itu diadakan untuk melaksanakan projek itu, iya ia bisa saja.

Apa yang hendak saya suluh ialah mengenai pilihan raya yang baru selesai itu. Dua perkara yang akan diperturunkan, pertama peratus keluar mengundi rendah, iaitu 72% atau kira-kira 28,314 yang keluar mengundi berbanding dengan pilihan raya umum lalau sebanyak 88.4% atau 34,290 pengundi, ini bermakna 10,366 pengundi tidak keluar. Gara-gara peratus keluar mengundi ini rendah maka Azizah gagal mencapai sasaran untuk mencetak majoriti 7,000 seperti mana diramalkan kebanyakan penganalisa.

Bagaimana pun sesuatu yang menggembirakan PKR peratus undi diraih PKR berdasarkan jumlah keluar mengundi meningkat sebanyak 61% berbanding 58% iani sebanyak 3%.

Ada beberapa faktor kenapa peratus mengundi rendah. Antara apabila projek Kajang Move itu sudah tidak menjadi, menyebabkan keghairahan pengundi untuk menyertai pilihan raya itu agak kurang bersemangat. Walaupun Azizah menjadi penggantinya tetapi kehebatan atau potensi Azizah untuk menjadi MB Selangor tidak sehebat suaminya.

Justeru juga pengundi mungkin berfikiran mereka tidak perlu untuk ikut berpilihan raya kerana sudah mengira Wan Azizah pasti akan menang. Perlu disedari terdapat 40% pengundi atas pagar di DUN Kajang. Bagi mereka pilihan raya itu tidak penting lagi kerana matlamat dan tujuannya tidak jelas. Boleh jadi juga mereka protes kerana pilihan raya itu membazir seperti mana kata propagandis UBN.

Bagi orang Melayu yang tegar dengan Umno mungkin tidak selera untuk berpilihan raya apabila BN meletakkan calon dari MCA. Ada permintaan dan desakan agar Umno diberi peluang meletak calonnya. Bagi memberi mesej kepada MCA bahawa kerusi itu sesekali harus diberikan kepada mereka, maka itu mereka bertindak tidak keluar mengundi untuk mengajar MCA.

Saya tidak mengira penyokong Pakatan Rakyat terutamanya PKR dan DAP berbuat hal yang sama, tidak keluar mengundi. Mereka tetap melihat pilihan raya itu sesuatu yang penting untuk diterjemahkan kepada rakyat. Mengenai PAS, tidak berani untuk diulas kerana awal-awal lagi ada sesetengah pemimpin PAS yang menerima pilihan raya itu dengan rasa dingin. Boleh jadi juga kesan 'pemulauan' secara senyap oleh sesetengah golongan dalam PAS menyebabkan semangat orang Melayu menjadi penyokong PAS malas untuk keluar mengundi?

Dalam pada itu peratus keluar mengundi di kalangan orang Cina juga memberi kesan. Pengundi Cina juga tidak ghairah. Salah satu faktornya ialah mungkin mereka mengira pilihan raya itu tidak banyak membawa perubahan kepada mereka. Jadi untuk keluar mengundi membuang masa saja.

Kesimpulan untuk ulasan segera ini, kemenangan Dr Wan Azizah Wan Ismail menjelaskan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat masih belum berubah, malahan ada peningkatan dari kalangan pengundi Melayu. Sementara orang Cina pula tidak melihat perubahan pucuk pimpinan dalam MCA boleh membawa sesuatu pembaharuan buat mereka. Hasrat Wan Azizah untuk berihat dalam politik tampaknya bersambung semula dengan kemenangan itu. [wm.kl.9:32 pm 23/03/14]

3 comments:

Unknown said...

Pada saya...pilihanraya ini...telah MEMBONGKAR perangai busuk..BN UMNO...menyalahgunakan KUASA terhadap SISTEM Kehakiman..campurtangan dalam PENTADBIRAN penjawat AWAM...BN UMNO patut belajar..kebencian rakyat TERUS meningkat...atas perangai tersebut...

bat8 said...

Tuan

Bukan sahaja majoriti kemenangan PKR susut sebanyak 1 445 TETAPI JUMLAH UNDI YANG DIPEROLEHI OLEH MCA JUGA SUSUT SEBANYAK 1 385 UNDI!

Ini satu lagi fakta yang kita kena ingat kerana pemimpin BN sedang memasang jerat dengan mengatakan sokongan kepada merema neningkat

Abu Ketereh said...

Satu pola pengundian yg menarik utk di kaji di PRK KAJANG adalah.. Majoriti Melayu mengundi Cina dan Majoriti Cina mengundi Melayu (w.azizah). Kenapa kita masih melaungkan isu rasis?