Tuesday, March 11, 2014

Nenek minta berdoa agar cucunya selamat

LAPORAN SORE                                                                              

Selepas selesai proses penamaan calon pilihan raya kecil Kajang di Bangi tadi saya bersama dua rakan, Dr Wan Suhaimi dan Zaki Abdul Rahman, ke Shah Alam untuk menziarahi rumah keluarga co-pilot Fariq Abdul Hamid, 27 yang turut terlibat dalam kehilangan pesawat MH 370. Hajat untuk menziarahi keluarga Fariq ini petang semalam lagi, tetapi kerana hal tidak dapat dielakkan terpaksa ditangguhkan.

Halimah, tetap berdoa.
Co-Pilot Fariq Abd Hamid
Kedatangan kami disambut oleh Abdul Ghafar bapa saudara Fariq yang kebetulan rakan kami di Pasir Mas.

Menurut Ghafar, anak saudaranya itu merupakan anak sulung daripada lima adik beradik dan masih belum berumah tangga.

Kebetulan semasa kami sampai, keluarga itu menerima tetamu dari akademi penerbangan tempat dimana Fariq mengikuti kursus penerbangan, Pengarah akademi berkenaan dan dua orang instruktornya bernama Rajit dan Michael.


Menurut kedua-dua pengajar itu, Fariq merupakan seorang pilot yang berkebolehan dan mahir mengendalikan pesawat. Dia tamat mengikut kursus di akademi berkenaan tahun 2007 kemudian menyertai MAS.

Sejak meletusnya kemalangan pesawat MH 370 rumah keluarga itu tidak putus-putus dikunjungi sanak saudara dan rakan taulan dari jauh dan dekat. Rakan-rakan Fariq termasuk juruterbang yang satu batch dengannya ikut sama menziarahi. Dua rakan Fariq yang mengendali MAS dan Airasia tiba kira-kira 15 minit kami tiba.

Dua instruktor Fariq, Rajit dan Michael.
Semalam Menteri Besar Kelantan Ahmad Yaakub bersama beberapa orang wakil rakyat turut sama menziarahi keluarga Fariq. Kebetulan ayah Fariq adalah abang kepada bekas wakil rakyat Pas kawasan Tendong, Allahyarham Mohamad Daud.

Neneknya, Halimah Abdul Rahman yang tinggal di Kampung Perangkap, Tendong masih ada dan akan pulang ke Pasir Mas tengah hari ini. Halimah yang bergegas ke rumah anaknya itu di Shah Alam mahu mengetahui perkembangan cucunya itu. Bayangan kesedihan jelas terbayang disegenap wajah yang ada di dalam rumah itu.

"Apa boleh buat, kita berserah kepada Allah saja," begitulah sepatah kata Abdul Hamid, ayah Farid tenang tetapi dapat merasai betapa senak jiwanya. Walaupun beliau melayan tetamunya seperti biasa tetapi kedukaaanya Allah sahaja yang tahu.

"Saya dah tak tahu nak kata apa lagi, terpaksa buat-buat suka (tidak ada apa-apa), tetapi apa yang ada dalam hati hanya Tuhan sahaja tahu," katanya menjelaskan hakikat dirinya. Beliau juga bingung dengan apa yang berlaku kerana masih menjadi misteri sampai ke saat ini.

"Sama-sama berdoalah," ujarnya mengharap kepada kami dan setiap tamu yang datang ke rumahnya. Menurutnya ahli keluarga tidak lekang berdoa dan bersolat hajat memohon agar Fariq dan semua terlibat dalam keadaan selamat.

Nenek Fariq yang sudah tiga hari berada di Shah Alam sewaktu berjalan untuk pulang, menoleh kepada kami dan tetamu lain sambil berkata; "pakat-pakat berdoalah supaya selamat,". Di ruang matanya saya nampak ada genang air jernih mulai membirai tubir mata. "Ambo nak balik dululah, lama dah mari," ujarnya sayu sambil berlalu.

Semasa kami datang tadi salah seorang adik perempuan Fariq ada dalam rumah dan kelihatan mengawasi saya apabila saya berjalan ke arah sudut dimana tergantung gambar penuh keluarga berkenaan. "Please pakcik..," katanya. Saya faham perasaannya. "Bukan nak ambil (rakam) nak tenguk sahaja," balas saya.

Saya merenung wajah dalam gambar itu satu persatu sepuas-puasnya sehinggalah mata saya terpacak kepada wajah jejak yang saya kira bernama Fariq, dia seorang pemuda yang kacak dan tampan dalam gaya senyuman tersendiri.

Memenuhi harapan nenek Fariq itu sama-sama kita berdoa semoga Fariq dan seluruh anak kapal dan penumpang MH 370 yang lain SELAMAT. [wm.kl.6:30 pm 11/03/14]

1 comment:

kakikiri said...

Ayah Fariq adalah adik kepada bekas Adun Tendong (pembetulan fakta)