Saturday, October 4, 2008

Rendang Pedas

Skim Kifalah Usah Jadi Skim Khir Malas!

MENJELANG saat-saat tibanya pilihan raya umum ke-12 lalu berbagai cerita indah dan pujian diberikan kepada kerajaan Kelantan. Beberapa nama pemimpin juga dipuji sebagai bijak, pandai dan tahu menjaga kebajikan rakyat. Pujian ketika itu seolah-olah menafikan kebajikan dilakukan Umno sebelum ini.

Kerana terlalu taksub kepada kehebatan pemimpin tertentu yang menetaskan idea skim berkenaan juga menyebabkan pemimpin lain dalam Pas seperti tidak ada saham langsung dalam membawa kebajikan kepada rakyat. Seolah pemimpin lain tidak ada akal untuk memikirkan bagi membawa kesejahteraan kepada rakyat.


Projek-projek seperti penanaman depu, pemeliharaan kambing jamnapari, pemberian wang kepada armalah (ibu tunggal) dan kifalah menjadi sebutan dan meniti dari bibir ke bibir. Rakyat nampak gembira dan senang hati dengan segala projek kilat itu kerana mereka mendapat keuntungan dan sumbangan secara langsung.

Misalnya projek kifalah, iaini pemberian wang bantuan kepada keluarga emas yang meninggal dunia mendapat pujian melangit. Bukan saja dari kalangan orang Melayu tetapi kaum Cina, India, Siam dan Orang Asli juga yang turut sama menerima nikmatnya... memuji Pas. Bahkan skim itu menjadi modal kempen dan ceramah Pas di serata negara sama seperti pelancaran Koridor Raya Wilayah Pembangunan di zaman Abdullah Ahmad Badawi.

Menerusi skim berkenaan keluarga si mati akan diberikan peruntukan segera sebanyak RM500 bagi meringankan beban membeli kain kafan, papan belindang atau kerja menggali kubur.
Selepas wang berkenaan matang selepas tiga bulan lebihan sebanyak RM2,000 lagi matang untuk menunaikannya.

Sungguh skim itu mendapat sambutan. Tidak sedikit ahli Umno yang bertukar parti berhijrah kepada Pas. Tidak ada kerajaan didunia ini yang berbuat demikian. Ada saja kematian kalangan keluarga emas mereka diberikan wang segera RM500 oleh pegawai yang dilantik menguruskannya biasanya wakil Setiausaha DUN atau pegawai DUN sendiri.

Pujian kepada skim itu juga diberikan kerana ia bukan saja dihulurkan kepada ahli Pas saja. Tetapi orang Umno dan BN juga turut sama diberikan. Inilah adil dan saksamanya skim berkenaan.

Apa difahamkan wang berkenaan urusagihkan oleh Tabung Pendidikan Tok Kenali. Tabung inilah yang menguruskan wang berkenaan. Maksudnya penyampaian wang berkenaan diuruskan oleh tabung ini. Adapun wang untuk skim itu diambil dari sebarang sumber yang dimasukkan ke dalam skim insuran nyawa - Takaful. Dari mana wang itu, itu adalah kepandaian pemimpin yang memperkenalkan skim itu.

Kerana molek dan cantiknya serta efisyennya skim itu maka Umno pun turut sama memperkenalkan skim seiras dengannya panggilan skim merdeka. Berlainan dengan skim kifalah, skim merdeka hanya dikhususkan kepada mereka yang mengisikan borang Umno saja. Orang Pas tidak layak menerima skim berkenaan.

Jelas skim kifalah dan berberapa projek segera lain seperti pemberian benih depu, pemberian kambing dan sebagainya telah merujakan rakyat Kelantan. Ia telah menarik dan mempesonakan rakyat Kelantan untuk terus mengekalkan kerajaan Pas. Tidak ada Pas maka tidak akan adalah skim-skim seperti itu. Hasilnya Pas menang besar dengan mendapat majoriti 2/3 di DUN dan calon Pas yang tidak berapa sihat ataupun tidak kenal A...B...C... politik pun turut menang.

Tetapi malang kini setelah lebih enam bulan pilihan raya berlalu dan Pas sudah menang bergaya skim berkenaan yang mendapat pujian itu kini sudah mula dikritik. Ketika pulang untuk berhari raya di kampung dua hari lepas banyak kedengaran cakap-cakap mengatakan skim berkenaan tidak berjalan seperti dulu. Bayaran wang segera RM500 kepada keluar warga emas yang mati tidak disegerakan lagi. Ada sesetengah kes sudah lima bulan mati belum mendapat apa-apa bayaran. Kalau dulu kain kafan belum sampai wang sudah sampai, tetapi kini papan belindang sudah hancur wang itu belum nampak bayang lagi.

Keadaan ini seharusnya tidak berlaku. Skim itu perlu diuruskan dengan baik dan berjalan seperti mula. Khabarnya kelewatan membayar wang segera itu ialah kerana skim berkenaan sudah kering kontang. Ini diakui sendiri oleh Menteri Besar, Nik Aziz Nik Mat. Lagipun wang yang dicarumkan masih belum matang dan tidak boleh dikeluarkan untuk membuat bayaran kepada mereka yang baru meninggal.

Peraturan ini mungkin tidak difahami oleh orang ramai. Rakyat harus diberi tahu masalah ini dan jangan mengelak dengan mengatakan wang tidak ada, atau pegawai pembayarnya melarikan diri. Kalau pun wang tidak ada sumber baru harus dicari. Bukankah peruntukan untuk itu kira-kira RM3 juta saja dalam setahun. Wang sebanyak itu tidak besar sangat, cukup meluluskan 1,000 ekar balak saja sudah dapat konsesinya (imbuhan) untuk disimpan dalam tabung berkenaan!

Kalau menurut bekas Pengerusi tabung itu, Saifuddin Nasution Ismail wang bayaran itu bukan menjadi masalah sangat. Apa yang ketara selepas beliau meninggalkan tabung berkenaan ialah sistem penyampainnya tidak berkesan. Berlaku kelemahan dan ketidakcekapan dalam menguruskan skim berkenaan.

Mungkin juga ia berlaku kerana tempat Saifuddin itu masih belum ada pengganti pada masa itu. Kini pengganti tabung berkenaan sudahpun ada khabarnya. Oang bernama Mohd Khir Zuhri (salah seorang orang kuat Husam Musa) dilantik menjadi Pengerusinya sejak sebulan lalu. Mungkin Khir sedang menyusunnya untuk melancarkan pembayaran wang kifalah berkenaan.

Hendaknya... jaga dan kawallah sebaik mungkin wang tabung berkenaan. Dan carilah sumber untuk menambahkan wang dalam caruman skim kifalah itu. Menerusi skim itulah untuk rakyat bawahan menikmati sedikit kemudahan seumpama itu disediakan kerajaan. Bagi rakyat tidak mungkin untuk mereka mendapat kelulusan balak sekitar 50 hektar seorang seperti mana diberikan kepada sesetengah pemimpin Pas menerusi proksi masing-masing!

Seperkara lagi jangan pula wang tabung pendidikan Tok Kenali itu disalahgunakan, misalnya untuk kempen apa-apa jawatan dalam muktamr Pas pada tahun depan. Gunalah dengan sebaik mungkin. Tahun lepas terdengar juga ditelinga saya wang tabung itu digunakan untuk mengadakan majlis pertemuan bagi melobi calon-calon tertentu. Cara dan tindakan itu telah salah dari tujuan asalnya!

Kepada pengerusi baru tabung itu, Khir... beliau harus pastikan jadikan skim kilafah seperti mula-mula ia diperkenalkan dulu yang mendapat pujian melangit dan jangan pula sampai orang menukarnya menjadi skim Khir malas selepas ini! [wm.kl 04/10/08]

4 comments:

Anonymous said...

Skim kifalah adalah satu skim yang baik, tetapi, janganlah sampai menjadikan PAS perasan bahwa hanya PAS sajalah yang telah melaksanaan skin bermunafaat seperti ini.

Dari segi objektif, skim ini tidak berbeza sangat dengan skim takaful dan skim insuran kematian lain yang telah lama ujud di Malaysia - untuk membantu rakyat apabila berlaku kematian. Yang berbeza ialah halal, haram dan cara perlaksanaannya. Malahan disesetengah negara maju, setiap rakyat wajib melanggani insuran yang akan menanggung rawatan kesihatan mereka dan membantu apabila berlakunya kematian.

Anonymous said...

Assalamualaikum Encik Sayuti. Untuk pengetahuan encik, Skim Kifalah bukan berada di bawah seliaan Tabung Tok Kenali lagi. Kini Skim Kifalah sudah berada di bawah PMBK dan berdiri dengan nama dan pejabatnya sekali di Jalan Telipot. Saya perbetulkan supaya tidak salah fakta dalam penulisan encik. Terima kasih. Staff Skim Kifalah.

Anonymous said...

Saya setuju dengan pendapat anonymous... saya telah berbincang dengan saudara saifuddin, perkara ini berlaku selepas diletak dibawah PMBK dan dikenali dengan tabung kifalah tengku anis.. Permaisuri kelantan terlibat dalam tabung ini.. ini lah puncanya.

NH Shah Alam

Anonymous said...

abdul... mana ada sama...... yang ni pencarum tak bayar sesen pun... ke ada insurans yang bagi free? nak gak lah apply...