Sunday, October 11, 2009

Ulasan Pilihan Raya Bagan Pinang

Kemenangan Yang Tidak Rasional

[kemaskini] MEDIA masa pro kerajaan yang kempunan sejak pilihan raya kecil Permatang Pauh tahun lalu, esok akan dapat mengembangkan senyum hingga ke pipi. Akhbar-akhbar arus perdana dan media eletronik perdana juga boleh menambahkan muka surat atau memanjang siaran untuk melaporkan kemenangan bergaya UBN di Bagan Pinang sekejap tadi. Kemenangan itu perlu diuar-uarkan.

Seperti selalunya bila UBN menang akhbar dan tv akan menyiarkan secara besar-besaran. Akhbar penjilat buntut UBN dan segala macam kroninya esok akan meletakkan gambar Mohd Isa Samad yang sedang angkat telunjuk simbol 1 Malaysia dimuka depan. Najib dan Rosmah juga turut gembira.

Maka akan diulas dan dicincanglah Pas selumat-lumatnya dengan apa yang berlaku dan ternatijah dalam pilihan raya itu. Ditafsirkan kemenangan itu menunjukkan Pas dan Pakatan Rakyat ditolak oleh rakyat. Bahawa UBN sudah mula mendapat kepercayaan rakyat semula. Bahawa 1 Malaysia diterima oleh semua lapisan rakyat.

Maka bersedialah Pas dan rakan Pakatan serta penyokongnya untuk menghadapi hari esok, menerima ulasan penuh emosi dan egois, sombong dan tinggi hidung dipihak UBN dalam media arus perdananya.

Memang untuk bergembira itu adalah hak UBN. UBN yang sudah kesekian lama haus dan malu kerana satu demi satu kalah, dengan kemenangan wajar tadi wajar merasa gembira ataupun melompat-lompat di padang luas beramai-ramai untuk meraikan kemenangan Mohd Isa itu.

Majoriti 5,435 undi yang dicapai calon mereka Mohd Isa Abdul Samad itu memang besar, lebih besar daripada bukit Qaf dicerita dalam hikayat di tanah Arab. Lagipun dalam demokrasi tidak ada perhitungan apakah kemenangan itu cara baik atau sebaliknya. Yang penting ia menang hatta dengan satu undi dan tidak perlu kita memikirkan bagaimana kaedah mencapai kemenangan itu. Kitab politik sekular dari kulit berwarna apa saja menerima perkara itu.

Tetapi hanya UBN berhak merayakan kemenangan itu. Bagi mereka yang sihat akal dan waras merasa malu untuk menerima kemenangan itu. Majoriti diraih oleh Mohd Isa itu sesuatu yang tidak rasional! Biasanya mereka yang tidak rasional sahaja yang menerima hal-hal yang tidak rasional.

Bagi saya, majoriti sebanyak itu benar-benar tidak rasional dan masuk akal. Makanya sukar untuk diterima kemenangan itu seagai kemenangan hakiki seperti mana orang UBN merasainya sekarang. Untuk apa kita berseronok dengan kemenangan palsu! Perbuatan itu samalah dengan menipu diri sendiri. Persis kita mengakui kaya tetapi poket kosong. Bukankah keadaan itu menyusahkan kita bila mana kita berhadapan dengan hakikat?

Hakikat untuk menentukan apakah UBN atau Pakatan Rakyat akan mendapat sokongan bukan dalam pilihan raya kecil. Tetapi dalam pilihan raya umum. Kalaupun Pakatan menang, mereka juga tidak boleh mendabik dada dan tinggi hidung mengatakan mereka sudah lebih hebat dari UBN. Justeru kemenangan yang dicapai sebelum ini bukan merupakan kayu ukur tepat untuk menilai kekuatan pengaruh melainkan boleh dijadikan pemandu semangat saja dan pencetus perubahan mendatang.

Disebabkan kemenangan dengan majoriti tidak rasional maka ramai orang terkejut dengan pencapaian Mohd Isa itu. Mahathir juga mungkin termenung panjang berfikir bagaimana Mohd Isa boleh menang besar. Paling mengejutkan Mahathir ialah Isa seorang yang cemar moral politiknya boleh dipilih semula menjadi pemimpin.

Mereka yang tidak boleh berfikir secara rasional atau memaca makrifat di sebalik kemenangan UBN semalam, mungkin lemah gemalai dan tidak lalu makan menerima keputusan pilihan raya berkenaan. Muhyiddin Yassin sendiri ketika mengulas kemenangan itu mengatakan ianya sesuatu yang tidak terduga. Apakah maksudnya itu? Apakah ada tektik atau strategi penipuan untuk menang besar bagi pihaknya.

Kenapa tidak rasional? Jawabnya mudah, kerana pengundian yang berlaku bukan atas kerelaan kesemua pengundi di Bagan Pinang. Mohd Isa menang kerana berlaku undi yang sudah dipenjara oleh UBN. Maksud undi yang dipenjarakan atau ditawan itu ialah undi pos di kalangan tentera dan polis sebanyak 4,221.

Sekiranya tanpa undi penjara ini atau undi yang digari ini, majoriti yang rasional ialah sekitar 1,500 atau 2,000 sahaja. Semua orang beranggapan demikian. Apabila Isa memperolehi undi diluar dugaan maka peninglah dan terkejut beruklah segala orang. Apa lagi sebelum ini pun banyak yang tidak kena dalam proses pengundian dengan berlakunya peraturan-peraturan dan teknik yang tidak rasional dan lebih memihak kepada parti pemerintah.

Cuba bayangkan secara logik jika undi pos itu tidak digari, apakah ia mungkin kesemua undi pos sebanyak 4,122 akan mengalir kepada Mohd Isa. Apakah tentera semuanya tidak tahu menilai antara intan dengan permata. Ada juga askar atau polis yang membaca berita dan mengetahui kisah Isa. Tetapi kerana undi mereka telah digari apalah yang boleh mereka lakukan, kecuali akur saja. Undi mereka mengalir ke dalam peti undi Isa tanpa diizinkan. Tahniah kepada menteri pertahanan kerana berjaya menggarikan undi tentera.

Saya percaya berdasarkan pencapaian pilihan raya lalu, undi tentera akan turut mengalir ke dalam peti undi Pas. Kalaupun tidak mencecah sampai 50 peratus tetapi 30 peratus mungkin ada. Seperti mana diketahui dan didakwa Pas, tentera yang berhak mengundi dan berada dalam kem hanya sekitar 1,200 sahaja. Manakala selebihnya tidak diketahui ke mana mereka dan undi mereka misteri.

Ini bermakna undi tentera yang benar-benar bebas dan terbuka sebanyak 1,200 undi saja, manakala selebihnya yang sudah digari untuk UBN. Daripada undi pos Pas hanya mendapat 601. Kemungkinan undi itu ialah daripada 1,200 tentera yang mengundi sendiri itu. Manakala undi tentera yang selebihnya sebanyak 3,000 lagi semuanya melayang tanpa izin ke dalam peti undi UBN ataupun ditukar dengan sejumlah wang?

Seandainya undi sebanyak 3,000 lagi diberikan kebebasan, mungkin Pakatan dapat meraih sekurang-kurang 30% daripada jumlah itu. Kalau Pas dapat undi sebanyak itu ini bermakna Pas mendapat 1,000 undi lagi. Jika dicampurkan undi ini dengan undi yang Pas perolehi hari ini, 2,578 bermakna undi Pas ialah sebanyak 3,578.

Kalau ini berlaku bermakna Isa tidak akan dapat undi sebanyak 8,013. Paling-paling Isa hanya mampu meraih undi sebanyak 6,500 saja. Jadi undi yang boleh dianggap relevan dan rasional untuk kedua calon hari ini ialah, Isa sekitar 6,500 undi manakala Pas disekitar 3,500 undi. Dengan angka ini majoriti yang berhak diraih Isa sekitar 3,500 saja.

Pencapaian ini pun dikira tinggi, tetapi ia masih lagi dalam lingkungan logik dan rasional.

Justeru kepada penyokong UBN jangan terpengaruh dengan majoriti tidak rasional itu. Dalam perkiraan politik, kalau UBN dapat 3,000 undi, ini bermakna mereka (Pakatan) memerlukan kira-kira 1,500 undi sahaja lagi untuk mengatasi UBN. Kelebihan 1,500 di pihak UBN itu bolehlah disimpulkan undi peribadi Mohd Isa di Bagan Pinang dan bukan undi untuk UBN.

Kesimpulannya kalau undi pos bebas dan bukan Mohd Isa yang menjadi calon, UBN mungkin akan terus menangis, dan pilihan raya itu akan dimenangi oleh Pakatan.

Apapun ulasan dan tanggapan berhubung pilihan raya kecil itu, semua pihak hendaklah menerima hakikat bahawa keputusan adalah muktamad. Soal kemenangan itu dicapai secara adil, halal atau kotor itu soal lain. Apapun sifatnya ia harus diterima kerana ia dihalalkan oleh demokrasi yang kita dokongi bersama hari ini. Tidak boleh dinafikan dalam konteks melakukan provokasi, tindakan melampau kedua pihak turut sama terliat, kerana tepuk tangan sebelah tidak akan berbunyi.

Kepada Mohd Isa diucapkan tahniah, dan kepada Pas jangan tangisi kekalahan ini kerana majoriti besar itu bukan menandakan hakikat rakyat menolak Pakatan dan Pas. [wm.kl. 9:00 pm 11/10/09]

16 comments:

Unknown said...

Lagi-lagi salahkan undi Pos. Inikah Melayu Mudah Lupa! Yang 1600undi yang PAS dapat kat Bagan Pinang dulu sebab calonnya pesara tentera dulu tu kira rasional lah kut, sebab PAS yang dapat? Yang DS Najib nak dekat kalah sebab undi Pos di Pekan pada PRU-10 (1999) tu kira rasional lah, sebab PAS yang dapat lebih.

Undi hantu macam mana? Ada juga ka? Kenapa tak sebut pula kali ni? Sebab dah ghaib sejak PAS tak boleh jelaskan kenapa menang banyak PRU-12? Ke sebab memang PAS pun dah mula guna undi hantu? Ke PAS 'tawan' undi Pos juga di Bagan Pinang masa PRU-12?

Sudahlah MSO, janganlah nak menidakkan yang sudah berlaku. Jelas PAS dan Pakatan Rakyat DITOLAK oleh masyarakat Bagan Pinang. Tak guna loud haler kuat-kuat dekat luar kem askar mahupun dikerah orang luar ramai sangat nak meramaikan majlis Anwar semata takut malu macam Hj Hadi yg terkejut bila tak sampai 20 orang Bagan Pinangpun hadir ceramahnya!

Saya rasa PAS patut bermusahabah diri. Kenapa ya PAS agaknya kalah? Mungkin sebab orang BN dah menyampah dengan tabiat PAS yang sedia mengangkat nama seorang PELIWAT semata2 merebut kuasa. Astaghfirullah! Taubatla PAS, taubat! Takut tak taubat, kalah lagi nanti!

Unknown said...

Dan macam biasa juga... yg kalah kata kata begitu... kata begini... segala2nya dalam ketentuan Allah jua.... (dan Allah itu bukan hak sesetengah org je... yg mungkin sebagaimana difikirkan oleh sesetengah org)

azienmat said...

Apa yang tak rasional Tuan MSO? Rasional lah itu.

Yang tidak rasional ialah PRU '08, dimana Pakatan Pembangkang berjaya menang lima negeri. Ketika kerajaan Badawi mendapat sokongan 'luar basa' dari rakyat, ketika media dikongkong kerajaan, ketika Polis jahat dan Tentera dikawal sepenuhnya, BPR dan SPRM adalah alat kerajaan dan pendek kata segalanya konspirasi untuk menafikan kuasa Anwar-Pembangkang, dan PRU diadakan hanyalah syarat semata2. Rasionalkah dalam keadaan begitu pembangkang hampir menawan Putrajaya?

Saya hampir tak lena tidur memikirkan tsunami tersebut. Baru teringat tadi pagi saya pangkah DUN & Parlimen kedua-duanya untuk pembangkang, patutlah!

Makanya tak perlulah Tuan MSO nak ajar rasionaliti kerana tulisan anda juga adakalanya semacam tak rasinal -Rasional yang dibuat2. Terima kasih.

AlHadi Tok Ayah Su (atas) said...

salam hormat!

Alangkah dahsyatnya penerimaan penduduk diDUN diBagan Pinang terhadap Pas,difahamkan PR atau Pas sendiri hanya ada satu cawangan sahaja dalam sebesar sebesar DUN,kemudian hanya didokongi seorang sahaja tenaga pengeraknya.Ini bererti segala gala urusan parti dipikul seorang diri,jadi cuba bayangkan bebanan yang ditanggung,keadaan ini lebih teruk seumpama berada dinegeri Sabah dan serawak,yang mana pas masih belum bolih mengembangkan sayapnya dan terasa terasing terkontang konting seorang diri.

Jadi wajar atau tidak UBN mampu menerima habuan kemenangan yang agak gah disini sememangnya ramai telah menjangka pas agak sukar untuk meraih kemenangan apatah lagi undi Pos yang kabur kabur untuk memberi sokongan kepada pas tambahan pula pilihanraya kecil sebegini sudah tentu tumpuan akan lebih diberi perhatian terutama kepada "boss" undi pos yang tidak mahu dilihat 'louse control" (tidak dapat mengawal) anak buahnya.... jadi fikir fikirkan !

Sham said...

kenapa perlu salahkan rakyat??
adakah PAS selidik apakah yg telah calon PAS sumbangkan kepada rakyat?? apakah yg dilakukan oleh PR kepada rakyat??

selama ini PR menjerit SUARA/KUASA RAKYAT dan ternyata di BAGAN PINANG rakyat telah berSUARA...

Mike said...

Saya pengundi Dun Bagan Pinang. Parlimen Teluk Kemang di menangi oleh PKR pada GE yg lepas. Semenjak PKR menang Parlimen Tlk Kemang, projek jalan Tlk Kemang-Pasir Panjang-Sengkang-etc di hentikan. Kerajaan Negeri adalah UmnoBN, kerajaan Persekutuan adalah UmnoBN.

Jadi pengundi Cina dan India (yg mengundi ikut bijaksana dan bukan sentiment) telah memilih Isa Doraemon sebab Isa akan melaksanakan segala projek yg di berhentikan itu. Kalau kita undi Pas, kita akan di boikot oleh kedua2 kerajaan negeri dan federal dan apa pun kita tidak akan dapat.

Pilihanraya yg penting adalah PRU akan datang dimana kita akan singkir UmnoBN dari negeri dan federal. Ok tuan2 ada faham?

suratkhabarlama said...

kepada Anak Lelaki Sanusi Junid,

adakah anda nampak Anwar Ibrahim tu meliwat dengan mata kepala anda sendiri?..

saya pun tak suka kepada Anwar Ibrahim tetapi untuk menuduh beliau peliwat saya rasa tuduhan yang sangat besar kesannya kepada diri kita sendiri di akhirat nanti...

kalau benar Anwar melakukannya beliau akan menerima akibatnya sooner or later..Anwar tak akan dapat lari ke mana..kalau selamat di dunia tapi di akhirat masih ada..

atau anda mungkin dendam sebab bapa anda pernah di aniaya Anwar semasa Anwar berkuasa dulu?

Apa komen saudara tentang Tun Mahathir yg mempersenda dan memperlekehkan undang2 hudud satu ketika dahulu..kenyataan Tun tu keluar dalam TV dan suratkhabar yang dikawal kerajaan sepenuhnya..sedihnya saya pun turut berkempen kepada orang tua saya bahawa kenyataan Tun itu betul (kerana terlalu kagum dgn kebijaksanaan beliau ketika itu)...rupanya kenyataan Tun tu adalah kenyataan org yg jahil bab agama....dan lebih bahaya lagi ia melibatkan akidah...

Marilah kita semua bertaubat sebelum terlambat..

mohd sayuti omar said...

Kepada adik Akhmarsyah anak Sanusi. Nampaknya sdr tidak memahami apa yang saya cuba sampaikan dalam tulisan. Yang saya maksudkan tidak rasional ialah majoriti yang diperoelhi Mohd Isa. Alasan tidak rasioal itu ialah kerana undi askar. Saya tidak salahkan undi askar kerana itu taktik, strategi dan keupyaan UBN. Kalau Pakatan mempunyai kesempatan dan peluang itu mereka juga akan menggunakannya.
Sebab itu saya kata, halal haram tidak menjadi masalah dalam sistem politik demokrasi. Siapa memiliki dan mengamalkan 4C dia akan berjaya. Saya ingatkan dengan kemenangan tidak rasional ia boleh menyebabkan UBN akan kecewa. Apa-apa pun dalam hidup ini kena rasional barulah selamat. Diharap sdr Akhmarsyah dapat menyelami mesej politik dan bukannya gambaran luar yang dilihat dengan sentimen yg penuh kebencian. Soal peliwat seharusnya tidak menjadi sebutan umum sebab kalau orang ceiritakan perihal bapa sdr juga ia menjengkilkan. Berbalas tembaklah dengan penuh hikmah dan sdr juga perlu bertaubat dan beristghfar panjang seelum menghentam orang. Wassalam.

Unknown said...

Ubaidah Bin Sanusi.
Nama yang baik belum tentu daripada baka yang baik.Tidak niat berperang dalam ruang MSO tetapi kerana TIDAK PUNYA KEBERANIAN nya memaparkan alamat email dalam blog sendiri yang tidak dikunjungi olih pengunjung laman web,menyebabkan sedikit peringatan di beri untuk anak aceh ini.
Anda sendiri belum tentu akan keluar negara kalau bapa anda bukan orang politik ubn.Anda akan menjadi seperti anakku yang lulus cemerlang tetapi kerana anak orang biasa ,university yang layak hanya dalam negeri sahaja.
Anda menyentuh peibadi Anwar.MSO tidak mahu memaparkan kerana ini bukan peperangan antara beliau dengan ayah anda.Tetapi kami diluar tahu siapa ayah anda,seorang yang disahkan samseng kerana beliau seorang yang dikatakan VVIP.Lupakah kes di Lapangan Terbang.
UMNO satu parti yang terbaik.Itu pegangan anda.Tetapi sayangnya sejarah membuktikan sebagai pengikut tegar Dr M,bapa anda bukan lagi ahli UMNO kecuali dengan senyap senyap bapa anda menyulur menyembah untuk kembali kepadanya.Kami ingat sejarah tetapi malangnya seorang calun pemuda umno menjadi pelupa.Percayalah juga bahawa kalau bapa anda bukan dikalangan VVIP umno,pesalah rasuah dipenjara adalah tempatnya.

ANAFAKIR said...

Salam untuk semua..
Saya turut terpanggil untuk memberi komen dalam isu yang sedang dibincangkan ini. Pertama, kekalahan PAS di Bagan Pinang kita [ penyokong PR ] perlu menerima dengan redha dan berlapang dada. Segala usaha dan ikhtiar telah dilaksanakan sekadar termampu..namun takdir Tuhan tidak mengizinkan PAS menang, justeru itu terima kekalahan sebagai seorang pejuang.Qadha dan Qadhar Tuhan sudah begitu. Kemudian...PR telah menang banyak kali dalam PRK yang sebelum2 ini jadi apalah sangat kalau kalah di Bagan Pinang..sudahlah itu kubu kuat UBN.Nak sedih apanya?.Samada kemenangan UBN itu halal atau haram..terpulang kepada pihak yang terlibat.Walau sebezar zarah sekalipun..balasan akan tetap diberi.Orang yang bersalah ini,walaupun tiada siapa yang tahu lambat laun diri sendiri ada terasa kesal dan kecewa atas apa yang telah dia lakukan..percayalah.Rasa kebersalahan itu akan wujud dalam diri individu tersebut...

Kepada anak Sanusi Junid, tuan perlu lebih banyak belajar kalau benar ingin terlibat dalam politik.Sikap ketaksuban anda itu amat bahaya..tuan pernah keluar dalam TV untuk menjadi ahli panel.Ternyata ulasan dan kupasan tuan agak dangkal. Mungkin tuan terpelajar tetapi logik akal tidak boleh digunakan dalam hal-hal agama kerana Islam itu milik Allah.Akal sampai bila2 pun tak mampu untuk memikirkan pasal Islam..tuan pernah secara terbuka dalam TV menyatakan cukup anti dengan Khairy Jamaluddin dengan macam-macam sebab tuan nyatakan...Bukan maksud saya KJ itu bersih dan terbaik cuma sikap tuan yang menyebut nama seseorang itu tidak betul.Ayah tuan orang beragama samada menggunakan agama tersebut untuk mengurus diri dan hidup itu saya tidak tau cuma menyebut nama secara terbuka dalam TV siap menyatakan sebab tidak suka dan anti kepada seseorang adalah bukan sikap terbaik...nampak sangat anda tidak matang, perlu belajar lagi kalau ingin 'hidup' dalam politik.Jika sekadar menumpang 'pengaruh dan nama bapa' baik tak payah..

Unknown said...

Tn Hj MSO dan suratkhabarlama. Terima kasih atas teguran. Nada komen awal saya sebelum ini memang 'tinggi', tetapi ini mungkin kerana PAS dseolah-olah tak faham teguran yang berhemah seperti pernah saya berikan sebelum ini.

Selesai kemenangan 90+% BN dahulu, saya menghadiri perbincangan tentang PRU 11 di markas ABIM Gombak. Selesai mendengar pelbagai helah kenapa pembangkang kalah - jentera BN lah, undi tak betul lah, media lah, saya bangun dan menegur: Sebab PAS & gandingannya kalah selalu adalah kerana tiadanya perisian mantap dari segi dasar mahupun perlaksanaan.

Apakah PAS berharap menang semata-mata berdasarkan kemarahan orang terhadap UMNO dan BN? Itukah sahaja modal PAS? Adakah cukup melaungkan takbir perjuangan Islam apabila anak-anak muda Islam yang berpelajaran, semakin berkecuali dan juga gigih mencari-cari bukti KEUPAYAAN DUNIAWI PAS, bersama-sama keutuhan iman yang sering diwar-warkan.

Dari meneruskan helah PAS yang kian lapuk tentang betapa ada pelbagai halangan teknikal untuknya menang, kini undi Pos pula kononnya 'digari' - buktinya tiada, maka fitnahkah ini? - ada baiknya PAS betul-betul mengkaji apakah jalancara yang lebih baik untuk mencapai harapan merampas kuasa dari BN.

Akhir kata, saya rasa tak perlu meminta maaf apabila menyatakan dsai peliwat. Hakim-hakim rayuan yang melepaskan beliau dulu pun semua memutuskan memang beliau meliwat, cuma dilepaskan atas hal teknikal sahaja. Ini bermaksud, catatan rekod mahkamah tertinggi di Malaysia sendiri mengesahkan dengan rasminya yang Anwar peliwat. Maka peliwatlah beliau...

Fakry said...

masing2 ade alasan utk sedapkn hati tu, yg menang, yg kalah
yg penting PRU akan datang

bila la agaknya malaysia akan dpt politik yg sehat

Rosle Azmi said...

Saya sangat bersetuju dengan saudara Akramshah Muammar Ubaidah bin Sanusi terutama dipara akhirnya yang menyentuh pasal DSAI yang berbunyi seperti berikut: "Akhir kata, saya rasa tak perlu meminta maaf apabila menyatakan dsai peliwat. Hakim-hakim rayuan yang melepaskan beliau dulu pun semua memutuskan memang beliau meliwat, cuma dilepaskan atas hal teknikal sahaja. Ini bermaksud, catatan rekod mahkamah tertinggi di Malaysia sendiri mengesahkan dengan rasminya yang Anwar peliwat. Maka peliwatlah beliau..."

Dan satu artikel dalam Mingguan Malaysia dua hari lepas yang ditulis oleh bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin
dapat mengesahkan siapakah Datuk Seri Anuar Ibrahim yang sebenar.

Petikan artikel tersebut: "Bagaimanapun yang tetap tidak berubah ialah bekas pemimpin pelajar yang memimpin tunjuk perasaan pelajar lebih 30 tahun dahulu. Walaupun realiti negara telah berubah, kerajaan telah menukarkan anak petani nelayan dan orang kampung menjadi orang terpelajar, profesional, ahli perniagaan dan sebagainya tetapi dia masih berada di jalan-jalan raya untuk kerja yang sama dengan menggunakan pelbagai isu rakyat yang real, rekaan dan juga imiginasi.

Beliau memang mempunyai kepakaran dan kecekapan mengeksploitasi isu yang kecil menjadi besar, yang hitam menjadi putih , kekarutan menjadi kebenaran malah berjaya menutup kehinaan dan dosa dari satu pementasan ke satu pementasan."


Pada saya kebanyakan artikel MSO apabila menyentuh soal DSAI beliau akan hilang pertimbangan segala-gala baik.

Kekadang MSO ini Tuan Guru Nik Aziz dia berani tegur boleh dikatakan agak keras tetapi kalau menyentuh Datuk Seri Anuar Ibrahim jangan harap beliau akan lakukan perkara yang sama.

Sama-samalah kita nilai siapa MSO ini !

mohd sayuti omar said...

Kepada Rsole Azmi.... saya terpaksa lepaskan komen sdr untuk tidak mengelirukan orang lain. Mungkin sdr lahir selepas tahun 1991. Umur anda waktu ini sekitar 18 tahun. Jadi banyak sejarah dan kejadian politik yang sdr tertinggal. Untuk menilai saya jangan dinilai dalam satu muka surat penulisan saya, tetapi tengoklah keseluruhan buku-buku saya dan belek akid blog saya. Jika sdr rajin beruat demikian sdr akan kenal dan tahu kegiatan saya.
Tahu siapa yang saya kritik dan siapa yang menjadi sasaran saya. Pena saya tidak merasa malu dan segan nntuk mengkritik sesiapa saja.
Belajarlah dan selidiklah untuk mengenali seseorang daripada penulisan, sejarah, karektor dan perjuangan seseorang itu bukannya terikut dengan mana-mana idola kecil kita.
Wassalam.

firdaus said...

tidak ada rasional dan tidak rasionalnya pasal kemenangan Isa Samad dalam PRK Bagan Pinang

keberanian umno teluk kemang dengan tekad mereka untuk tetap melantik isa samad dengan menolak calon lain pilihan umno pusat telah membuktikan segala-galanya

PAS sememangnya telah kalah awal setelah perlantikan isa samad itu dan ia adalah pasti...

PAS mungkin menganggap dengan undi cina dan india mereka mungkin selamat tapi sayang rasionaliti mereka lebih dari apa yang dapat dibayang oleh PAS, saya setuju dengan pendapat MIKE, sekiranya PAS yang menang sudah pasti projek-projek untuk rakyat akan ditarik balik kerajaan negeri yang ada sekarang di Negeri Sembilan mahupun Pusat, mereka menarik balik sebab marah dan malu kubu kuat mereka jatuh ke tangan pihak lain...

mungkin satu peringatan untuk PAS bahawa politik ini juga berkaitan dengan periuk nasi berkaitan dengan ekonomi..

bukan semata-mata pasal isu moral dan etika, berhubung pasal moral dan etika pula amat sayang pemimpin hebat seperti Isa Samad tidak mampu mengucapkannya lagi selepas ini almaklumlah kata dulang paku serpih...

sekiranya undi tentera adalah undi terpenjara, kemenangan Isa adalah kemenangan yang terpenjara juga...

Naman said...

Salaam Pak MSO,

Saya berharap PAS dapat bertanding dan compete atas dasar prestasi. Kena buktikan dulu memerintah negeri2 dibawah PAS atau PR dgn jayanya. Barulah rakyat lihat ada rasionalnya nak tukar kerajaan.

Tapi kalau nak menang atas isu buruk memburuk, fitnah memfitnah, tuduh menuduh, benci membenci tapi presatasi tak terbukti baik tak payah pilih pembangkang