Thursday, November 19, 2009

Laporan Lewat

Terima Kasih Nazri, Kicdefella Kerana Tenteramkan Tok Guru

KALAU semalam saya seronok melihat gambar Anwar Ibrahim dan Najib Razak minum teh tarik di parlimen, hari ini saya seronok sungguh tengok gambar Nazri Aziz pergi berjumpa dengan Tok Guru Nik Aziz di pejabatnya di Kota Darulnaim.

Nampaknya Nazri Aziz muncul menjadi watak pendamping yang menyejukkan keadaan. Saya percaya inisiatif Nazrilah menyebabkan Anwar dan Najib dapat duduk sekali dan memberi post istimewa kepada rakyat Malaysia. Nazri seperti dimaklumi seorang yang terbuka, tidak melihat perkara remeh sebagai penting. Nazri boleh membezakan mana politik peribadi, politik negara dan politik bangsa.

Kerana itu Nazri diminta tolong bukan saja oleh orang Umno, tetapi orang Pas juga memohon bantuan kepadanya. Semasa dia jaga Mara banyak anak-anak orang Pas yang dibantunya mendapat biasiswa ataupun ke sekolah Asrama penuh. Bahkan ada ahli Parlimen Pas yang keputusan wang meminjam dengan Nazri sebanyak RM2,000 dan ada juga yang mendapat permit teksi.

Nazri tidak peduli siapa orang itu, bulan ke, mata ke, yang penting dia adalah anak Melayu. Semangat nasionalis Nazri begitu tinggi sekali. Nazri juga tidak malu dan ego untuk memohon maaf kalau dia bersalah. Kalaulah semua ahli politik mengambil sikap terbuka dan pro seperti Nazri rasanya banyak masalah Melayu dapat diatasi.

Apabila beliau mendatangi Tok Guru Nik Aziz yang kira dalam situasi berduka atas musibah yang berlaku, sekali lagi menunjukkan Nazri seorang pandimping yang baik. Dia mungkin faham apa yang bergelombang dalam diri Tok Guruku itu. Sebagai menteri yang menjaga hal ehwal SPRM, kedatangan Nazri itu tepat untuk menjelaskan duduk perkara sebenar kepada Tok Guru ataupun menjelaskan mengenai bidang kuasa SPRM dan juga akta-akta berkaitan dengannya.
Setidak-tidaknya dengan kedatangan beliau itu dapat mengubati hati Tok Guru.
Mungkin ada yang bertanya siapakah yang menghantar Nazri menemui Tok Guru? Yang mengajar Nazri mengunjungi Tok Guru? Saya kira tidak ada siapa yang mengajar Nazri dalam hal ini dan apa yang berlalu itu inisiatif beliau sendiri. Dan saya rasa tiada siapa yang ingin bermain politik dengan menghantar Nazri.

Biarlah kita tidak fikir huduh, dan jangan peduli siapa yang menghantarnya. Tetapi marilah kita menerima pemergian Nazri berjumpa Nik Aziz itu atas inisiatifnya sendiri setelah beliau memahami keadaan Tok Guru masa ini. Kedatangan itu untuk menenangkan keadaan dan diharap membuka sinar baru bagi mengambuskan kemelut politik di Kelantan.

Tentunya setelah mendapat penjelasan serba sedikit dari Nazri lega hati Tok Guru. Tenanglah tidurnya dan berseleralah makannya. Di sini bagi pihak rakyat Kelantan dan antara ribuan yang menyanyangi Tok Guru saya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Nazri. Terima kasih.

Barang kali wajar kalau orang yang ingin berdebat dengan Nazri atas isu royalti minyak meralat semula hasrat mereka. Walaupun soal royalti itu penting tetapi seharusnya orang yang hendak berdebat itu merasa malu dan bangga dengan sikap Nazri. Dalam keadaan Tok Guru dirudung duka, apakah debat itu perlu? Keadaan kini sudah jadi terbalik, orang yang datang mengubati hati Tok Guru bukan orang Pas tetapi orang Umno.
Nampaknya walaupun bah di Kelantan akan datang sekali lagi, tetapi gelora politiknya sudah mulai tenang kini. Lega rasanya. Kalau penjelasan Nazri itu boleh dianggap penyelesaian segala masalah, maka biarlah ia selesai. Janganlah ditimbul apa-apa lagi.

Begitu juga sdr Syed Azidi Syed Abdul Aziz (Kickdefella) sudah pun mengakhiri episod pendedahan zalimnya sehingga melukai hati Tok Guru! Perang di PMBK sudahpun hampir tamat. Sudah diketahui siapa yang tertembak dan terkena peluru sesat dan siapa yang tercoreng arang di muka. Berhentilah.

Adapun tindakan bloger itu saya kira semua itu dibuat kerana saking sayangnya beliau kepada Tok Guru. Mungkin apa yang berlaku sebelum ini kerana beliau tidak dapat menahan sabar dan kesal dengan apa yang terjadi. Biasalah manusia, tidak beliau dan tidak siapa, saya juga kadang-kadang ada terlajak dan tersasar. Semua masalah dan perasaan manusia ini harus difahami sesuai dengan asal kejaiannya yang berasal dari di, wadi, mani dan manikam.

Selalunya bila geruk berdentum di langit dan kilat sambung menyambung, semua makhluk jadi hingar bingar. Semuanya berlari ketakutan untuk menyembunyikan diri. Dalam keadaan begini manusia jadi tidak normal lagi. Tetapi setelah kilat tiada, geruk berhenti dan hujan teduh, manusia akan jadi tenang dan damai kembali.

Makanya dalam keadaan sudah damai kini, harapnya Tok Guru dapat menjalankan tugas seperti biasa. Kusut masai yang timbul beberapa hari lalu hendaklah ditenangkan semula. Dan hendaknya juga sempena dengan kedatangan hari raya korban beberapa hari nanti jangan ada pula orang politik yang terkorban!

Kepada mereka yang merasa bersalah dan merasa bertanggungjawab atas apa yang berlaku eloklah memohon maaf kepada orang yang mereka lakukan kesalahan. Kalau malu hari ini tunggulah esok atau lusa untuk membuat permohonan maaf. Kalau malu dan tidak berani berdepan secara terbuka, buatlah secara tertutup dan berahsia. Tuhan tahu niat baik kita.

Hidup kita jangan terlalu ego. Sifat egoistik tidak akan membawa kita ke mana-mana pun. Ikutlah resmi padi makin berisi makin tunduk, jangan sesekali ikut resmi lalang yang berarak dan berayun mengikut ke mana arah angin bertiup. Ingatlah tidak akan habis bisa kalau menyusur akar... pantang mati sebelum ajal. Horass Kelantan bumi bertuah rakyat beruntung! [wm.kl.7:40 pm 19/11/09]

5 comments:

NH Shah Alam said...

Saya pun setuju dengan pandangan MSO agar debat royalti difikirkan semula.. Tak ada gunanya kita melawan UMNO yang memang kita tahu kebebalannya. Rakyat pun memang sudah tahu siapa UMNO, jadi ak perlu tambahkan kalut tentang isu royalti minyak ini.

Pada pandangan saya elok bincang dengan cara baik dari ke hati ke hati. MB buat surat rasmi untuk berjumpa PM dan bincanglah secara 4mata dengan PM. Saya penuh yakin Najib juga adalah manusia biasa, mana tahu Allah lembutkan hatinya dan bagi terus wang royalti minyak kpd kerajaan kelantan.

Manusia ada juga egonya. Ego lawan dengan ego akan hancur. Ego lawan lembut akhirnya akan cair.

Lihat monyet (minta maaf bukan nak banding PM dengan monyet tetapi ini perumpamaan)yang memegang erat pada batang pokok tidak akan jatuh walaupun angin ribut kuat mcm mana sekalipun. Tetapi kalau kena dengan angin yang lembut menghembus ke telinganya, monyet tersebut akan jatuh dari pokok tersebut.

Jadi dalam isu ini jalan terbaik ialah perbincangan dengan cara berhemah. Tak payah lah nak tunjuk sape kuat, rakyat semua memang dah tahu cara YB Salahudin Integriti berdebat macam mana dan Nazri macam mana..

Fikir-fikirkan lah...

* NH Shah Alam *

sembang haroki said...

kalau husam turut sama letak jawatan, lagi tenteram tgna!

john said...

Salam pak mso, apa kata kita tukar tajuk le. kalu debat bunyi macam kasar je..ape kata kita guna istilah forum ke..seminar ke..

takkan le sebab nazri jumpa tok guru nak batalkan debat?..kalau macam tu Umno buat apapun lepas tu jumpa tok guru, bodek2 skit..tunjuk baik skit..dah kira ok la tu umno..dasar unity goverment le ni pak mso!

2kali5 said...

sayang sekali kita sekarang tidak lagi berpolitik ubtuk kepentingan agama,bangsa dan negara. kita sudah berpolitik untuk harta, takhta dan wanita.

seperti kata tuan MSO andai kata orang kita berpolitik seperti Nazri, insyaAllah politik melayu Islam akan maju. bertekak demi kemajuan semua.

Jangan pula nanti ada pihak yang menyentuh itu dan ini tentang peribadi Nazri. Tiada manusia yang sempurna tapi sekurang-kurangnya beliau lakukan apa yg sepatutnya.

Saya neutral dan agak kurang menyokong PAS tetapi jauh di hati saya, saya tetap menyanyangi beliau.

SEMOGA ALLAH MELINDUNGI KITA DARI SEBARANG MUSIBAH DAN MEMBERI RAHMAT KEPADA KITA...

Anak Kuala said...

orang padang rengas memang tahu hati budi dato nazri. buat kebaikan tidak pernah dihebohkan