Wednesday, October 6, 2010

Menggarut Gatal

Undang-Undang Kecil Tidak Boleh Laksanakan Gagasan Besar

TELAH lama kita bercakap untuk memartabatkan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa penghantar dan bahasa ilmu dalam segala bidang di negara ini. Sejak sebelum merdeka usaha itu sudah dilakukan hinggalah kini. Percakapan ini menjadi cakap-cakap saja. Ia juga persis air laut yang ada pasang surutnya.

Saya sendiri tidak tahu apakah cakap-cakap mengenai bahasa ini berpandukan kepada kedudukan laut. Bila mana waktu pasang maka berbuehlah mulut kita bercakap-cakap mengenainya. Manakala bila laut suruh maka kita diam senyap tupas, malah tidak mengingatinya lagi. Bahasa Inggeris pun mula terjeluak semula dalam mulut kita.

Bercakap-cakap mengenai bahasa kebangsaan ini juga tidak konsisten dan berpanjangan. Ia bermusim macam musim buah-buahan. Tak mengapa kalau pun bermusim macam musim buah asalkan bunga menjadi buah, tetapi soal bahasa ini cakap-cakapnya bermusim macam rambai jantan sahaja. Berbunga tetapi tidak berputik. Nampak indah dijulai tetapi tidak mengeluarkan hasil. Begitu juga dengan cakap-cakap soal bahasa kebangsaan ini indah dari mulut tetapi hasilnya nol.

Hari ini sempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan kita bercakap lagi soal bahasa Kebangsaan. Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semalam menyarankan supaya pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Kebangsaan dengan menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Iklan. Dengan cara itu katanya ia bukan saja memartabatkan bahasa Kebangsaan tetapi memperbetulkan penggunaan bahasa itu.

Selain itu katanya, syarikat dan badan korporat juga hendaklah menggunakan bahasa Kebangsaan dalam surat menyurat, borang dan sebagainya. Sekali lagi saya ulang, saranan ini merupakan cakap-cakap saja. Sebelum ini sudah acap kali saranan berkenaan dibuat, walhasilnya balik asal saja.

Syarikat dan badan korporat terus tergilakan menggunakan bahasa Inggeris dan mengabaikan bahasa Kebangsaan. Kalau tidak percaya cuba tulis surat dalam bahasa Melayu dan tulis dalam bahasa Inggeris guna dua nama surat mana yang akan dibalas dulu?

Pada saya selamanya bahasa Kebangsaan tidak akan tegak sebagai bahasa utama yang disanjung oleh bangsa sendiri apa lagi oleh orang lain. Kalau kita sendiri tidak menyanjunginya apa diharap kepada orang lain. Jadi apa yang disuarakan Muhyiddin itu sia-sia saja. Ia jadi cakap-cakap dan kicau-kicau murai cuma.

Sebenarnya kita tidak bersungguh untuk memartabatkan bahasa ibunda kita. Usah pergi jauh, tenguk saja kepada tajuk undang-undang dibawah PBT itu; Undang-Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Iklan. Kalau kita serius kita tidak menamakan Undang-Undang Kecil tetapi kita namakan dengan Undang-Undang BESAR. Tukar perkataan kecil itu kepada besar. Maksudnya perlaksanaan bahasa kebangsaan itu bukan berstatus sunat atau makruh tetapi kena di WAJIBKAN. Dari penggunaan tajuk undang-undang itu secara psikologi kita sudah dapat menilai sejauh mana kesungguhan dan iltizam kita.

Setiap PBT dari Majlis Daerah di negeri-negeri hingga ke DBKL hendaklah mewajibkan penggunaan bahasa Kebangsaan pada setiap iklannya. Bila tajuk undang-undang itu ditukar barulah ia menjadi kenyataan. Selagi arahan itu bersifat sunat maka selamanya ia tidak akan terlaksanakan. Hanya syarikat atau mereka yang mempunyai semangat bahasa Kebangsaan yang tinggi saja menggunakannya.

Peringkat awal JPM sendiri kena mulakan. Mulai hari ini semua surat-surat rasmi di JPM hendaklah ditulis dalam bahasa kebangsaan. Kalau boleh surat kepada negara luar (kedutaan) juga ditulis dalam bahasa kebangsaan yang disertakan terjemaah dalam bahasa Inggeris. Cara ini sajalah baru bahasa Kebangsaan boleh dimartabatkan.

Seperkara lagi penguasaan terhadap bahasa kebangsaan seperti Undang-Undang Kecil tadi hendaklah diletakkan di bawah Persekutuan bukan negeri-negeri. Dengan meletakkan undang-undang berkenaan di bawah Persekutuan sajalah baru ia berkesan. Kawalan terhadap bahasa ini boleh dibuat seperti mana kawalan terhadap sempadan negara yang terletak di tangan polis.

Selagi undang-undang ini dipecahkan ia tidak akan terlaksana kerana selera atau kesungguhan hendak melaksanakan itu terpulang kepada PBT masing-masing. Makanya kalau kita bersungguhan mungkin pindaan ke atas akta ini boleh dibawa ke Parlimen. Tetapi soalnya bersungguhkah kita ataupun usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan itu hanya sebagai melepas batuk ditangga kerana mahu mengambil hati golongan pencinta bahasa saja? [wm.kl. 8:10 am 06/10/10]

1 comment:

Nor Azman bin Sukerman said...

Assalamu alaikum tuan. Kata orang tua-tua "bapak burik anak rintik", "guru kencing berdiri murid kencing berlari" dan kata Bekas perdana menteri "kepimpinan melalui tauladan". Cuba dengar bila menteri ditemuduga, cuba perhatikan ceo-ceo melayu bila berbicara, cuba perhatikan kursus-kursus di IPTA dan IPTS, cuba telefon syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan ikuti mesin penjawab telefon menjawab pangilan kita, itu belum lagi artis, ahli sukan, ahli provesional dan entah siapa lagi. Sikap mereka terhadap Bahasa Melayu memang menggambarkan sejauh mana kecintaan mereka terhadap Bahasa Melayu. Sedihnya ada guru-guru melayu yang langsung tidak meransang murid mereka untuk menyayangi Bahasa Melayu. Sebahagian besar rakyat Malaysia berkata kalau nak maju mesti pandai bahasa inggeris. Bahasa Melayu tak boleh nak bawa ke mana.

Bagi saya selagi UMNO masih bernama UMNO dan tidak kembali kepada nama asalnya PEKEMBAR (yang dalam khad jawinya boleh membentuk keris kebanggan UMNO) selagi itulah Bahasa Melayu akan melukut di tepi gantang.