Tengku Razaleigh Akan Diperangkap Kali Ketiga?
TUAN tubuh masih belum mengesahkan apakah beliau menerima atau tidak tawaran BN untuk menjadi Pengarah pilihan raya kecil Galas. Beliau masih diluar negara dan diberitakan akan pulang ke tanah air pada 9 September ini. Cuma media sudah mengwar-warkan kononnya beliau, (Tengku Razaleigh Hamzah) sedia untuk menggalas tanggungjawab itu.
Kenyataan Muhyiddin Yassin itu yang mengatakan beliau telah bercakap sendiri dengan Tengku Razaleigh, dikuatkan dengan kenyataan orang kanannya, Adun Nenggeri, Mat Yusuf Abdul Ghani yang memberi tahu sebuah portal berita kononnya bosnya itu sudah menerima jawatan itu.
Sejauh manakah Yusuf mempunyai autoriti untuk mengesahkan kenyataan Muhyiddin itu bagi pihak Tengku Razaleigh.
Selagi pengakuan terima tanggungjawab itu tidak keluar dari mulut Tengku Razaleigh sendiri ia tidak boleh dipercayai. Kerja dilakukan kini bolehlah dianggap kerja memancing dan mengumpan Tengku Razaleigh semata-mata. Kalau Tengku Razaleigh kelabu mata mungkin kailnya akan mengena.
Tengku Razaleigh memang layak dan sesuai menjadi pengarah pilihan raya kecil Galas. Dialah paling berwibawa kerana sudah lama menjadi ahli parlimen Gua Musang. Sebab itu BN beriya mahukan dia. Sebab itulah Muhyiddin tiba-tiba memuja dan memuji Tengku Razaleigh Hamzah tidak semena-mena.
Muhyiddin bukan saja menawarkan Razaleigh sebagai pengarah, bahkan calonnya sekali. Benar kata Naib Presiden Pas, Sallahuddin Ayub, Muhyiddin lari dari tanggungjawabnya apabila menghulurkan jawatan itu kepada Tengku Razaleigh. Apakah itu bukan pengecut? Selalunya kalau ada pilihan raya maka timbalan presidenlah menjadi pengarahnya.Mungkin Muhyiddin masih menghidu jebat kemaluan semasa di Manik Urai dulu.
Muhyiddin mungkin sudah serit dengan beberapa pilihan raya sebelum ini. Kemenangan BN di Hulu Selangor tidak memberi kepuasan kepadanya kerana beliau sendiri tahu rahsia kemenangan itu tidak berapa halal. Manakala kekalahan di pilihan raya kecil Manik Urai pula menjadi Muhyiddin tahu sejauh mana ledakan rakyat Kelantan kepada Umno. Jadi beliau tidak mahu lemas dalam lubuk sama dalam satu masa.
'Tok Empat Umno Kelantan', Mustapa Mohamed nampaknya tidak berkata apa-apa dengan cadangan Muhyiddin itu. Mungkin Muhyiddin langsung tidak menanyai dirinya. Apakah Mustapa sudah mulai sedar yang Umno Kuala Lumpur sudah tawar hati benar kepadanya?
Begitu pun Muhyiddin kena ingat, Tengku Razaleigh bukan pelahap nak jadi MB Kelantan. Dia nak jadi PM. Dia tidak perlu bertanding kerusi Dun. Dia mahu bertanding kerusi presiden Umno. Sebenarnya kalau Muhyiddin ikhlas menghormati Tengku Razaleigh, menyanjungi Tengku Razaleigh dia tidak berikan kerusi Galas, tetapi kerusi Perdana Menteri. Muhyiddin seharusnya berusaha memberi laluan kepada Razaleigh kalau beliau sudah tidak yakin dan tahu sejauh mana kredibiliti Najib Razak sebagai Perdana Menteri.
Semacam ada juga iras-iras yang Muhyiddin mahu menggunakan Tengku Razaleigh agar menjatuh Najib demi menyelamatkan kedudukannya. Apakah cadangan itu satu konspirasai yang diilhamkan Dr Mahathir Mohamad?
Justeru dalam tilikan saya bukan mudah Tengku Razaleigh hendak buat keputusan. Dia mungkin menghormati tawaran Muhydidin itu. Tetapi dia kena fikir. Dalam hal ini Tengku Razaleigh tidak boleh memikirkan maruah Umno Kelantan, tetapi beliau kena fikir kedudukan dan maruah sendiri dulu. Itu lebih penting.
Kalau Umno menang dalam pilihan raya itu ia tidak memberi banyak kelebihan kepadanya. Kedudukannya dalam politik Umno tidak berubah. Cita-citanya juga tidak akan tergamit. Beberapa hari saja selepas kemenangan Umno akan lupa peranan dan jasa Tengku Razaleigh memenangkan kerusi Galas itu. Umno akan mendabit dada kemenangan itu adalah hasil gembleng tenaga yang mantap sesama mereka. Lepas itu Tengku Razaleigh hanya akan terkulat-kulat macam cicak mabuk kapur.
Tetapi kalau kalah Umno akan persalahkan kepada Tengku Razaleigh. Umum akan melihat Tengku Razaleigh juga sudah hilang pengaruh dan taring. Dalam hal ini Umno sengaja nak menguji pengaruh Tengku Razalegih dalam pada itu kalau menang mendapat untung. Kalau BN kalah, Tengku Razaleigh akan dipersalahkan. Kehinaan yang besar akan diperolehi anak raja itu.
Penerimaan Tengku Razaleigh itu juga boleh merosakan reputasinya dengan Pakatan Rakyat khasnya Pas dan PKR. Ura-ura kononnya beliau akan mengganti atau diharap mengganti tempat Anwar Ibrahim juga akan termusnah. Sudah tentu Pas dan PKR akan melihat Tengku Razaleih bukan kawan tetapi lawan mereka. Demikian juga hasrat nak wujudkan kuasa ketiga bagi penentukan kerajaan selepas pilihan raya umum ke-13 nanti akan rosak.
Saya tidak fikir kalau Tengku Razaleigh akan jadi sejinak itu. Pun begitu sukar juga nak tolak sebab dia orang politik apa lagi anak raja, mudah dipuja dia pujuk. Asalkan ada orang memikul tandunya ke hulu ke hilir ia akan ikut saja. Anak raja memang suka ketawa dari atas tandu.
Tengku Razakeigh perlu menoleh ke belakang dan mengenang sejarah jatuh bangunnya dalam politik serta apa yang Umno sudah perlakukan kepadanya. Tengku Razaleigh kena ingat kegemilangannya dan pengaruhnya di Gua Musang sudah mengecut sesuai dengan usianya. Hakikat ini boleh dilihat kepada sejarah pencapaiannya dalam pilihan raya di kerusi Parlimen Gua Musa sejak tahun 1974 hingga 2008.
Sebanyak sembilan kali Tengku Razaleig menyertai pilihan raya itu. Kesemua pilihan raya itu beliau menang. Tetapi kemenangannya naik turun. Ini dapat dilihat kepada majoriti yang diraihnya. Yang jelas selepas beliau kembali semula ke dalam Umno takala membubarkan Semangat 46, (1995) pengaruhnya terus menurun. Sokongan juga merosot. Dalam pilihan 1999 beliau menang dengan majoriti 2,923. Itupun kerana lawannya orang baru dalam Pas, iaitu Razak Abbas. Sudah pasti kalau Pas meletakkan calon lebih berwibawa Tengku Razaleigh mungkin kalah dalam pilihan raya 1999.
Pilihan raya 2004 majoriti Tengku Razaleigh naik kembali, tetapi ia tidak melebih 10,000. Majoriti tertinggi dicatatnya ialah dalam pilihan raya 1990 ketika bergabung dengan Pas di mana majoritinya 13,246 undi.
Majoriti Tengku Razaleigh dalam pilihan raya 2008 terus merosot di mana dalam pilihan raya itu beliau meraih majoriti 4,394 undi saja.
Putaran atau pasang surut pengaruh dan kekuatan ini perlu direnung oleh Tengku Razaleigh. Beliau tidak boleh syok dengan masa lalu. Beliau juga kena faham keadaan politik hari ini yang jauh berbeza. Jumlah pengundi muda juga sudah mengatasi pengundi tua yang mana sebelum ini menjadi penyokong kuatnya. Begitu juga sikap pengundi Cina sudah banyak berubah. Demikian juga Orang Asli yang selama ini menjadi rakyat marhaennya, tetapi kini sudah ada yang tahu membezakan warna bendera parti.
Dan apa yang saya bimbangkan sekiranya Tengku Razaleigh terpesona dengan pujian dan tepokkan Umno terhadapnya kini ianya sebuah perangkap terakhir untuk menghancurkan kerjaya politiknya. Pada saya kalau takdir calon BN kalah manakala Tengku Razaleigh menjadi pengarahnya kekalahan itu akan disandarkan kepadanya, walaupun apa yang dipikulnya hanya tanggungjawab demi cintanya kepada Umno namun beliau tetap menerima risikonya.
Catatan pencapaian Tengku Razaleigh dalam pilihan raya Gua Musang dari tahun 1974 hingga 2008.
1. 1974 – Menang tanpa bertanding
2. 1978 – 4,562 lwn Khaidir Khatib (Pas)
3. 1982 – 5,763 lwn Pak Chu Hji Hassan Tok Wali (Pas).
4. 1986 – 7,319 lwn Wan Rahim Abdullah (Pas).
5. 1990 – 13,246 Wan Ismail Wan Ibrahim (BN).
6. 1995 – 8,980 lwn Nik Ismail Wan Idris (Akim).
7. 1999 – 2,923 lwn Razak Abbas (Pas).
8. 2004 – 6,548 lwn Zulkefli Mohamad (Pas).
9. 2008 – 4,394 lwn Zulkefli Mohamad.
[wm.kl. 8:00 pm 01/10/10]
No comments:
Post a Comment