Sunday, October 10, 2010

Catatan Luka Di Kota Bharu

Ada Penderhaka Di Kelantan?

[kemaskini] MASA ana balik ke Kelantan sehari suntuk Jumaat lalu, terdengar perbicaraan beberapa pencandu sebuah kedai kopi mengenai kedudukan Istana Kelantan. Perbualan itu berkisar kepada sah atau tidak sah Tengku Mohammad Faris Petra menjadi Sultan Kelantan yang menggunakan gelaran Sultan Mohamed ke V.

Sebenarnya perbicaraan itu tidak perlu lagi kerana ianya sudah muktamad apabila Tengku Mohammad Faris Petra dimasyhurkan sebagai sultan pada 4 Syawal lalu.

Ternyata perbualan itu melibatkan dua pihak. Dan mereka ini juga mengutip modal dari pada taukeh masing-masing. Kata yang satu pihak kedudukan Tengku Mohammad Faris ini sudah sah, sebab ianya sudah dimasyhurkan hanya tunggu saat pertabalan saja lagi bagi menyempurnakan perlantikan naik takha baginda.

Pemasyhuran itu kata mereka (benar pun) adalah atas kehendak Majlis Perajaan Kelantan (MPN), dan ia bukan suka-suka dibuat. Ia jauh sekali berbeza dengan pertabalan seorang anak raja yang pernah dibuat oleh seorang ahli politik di Ketereh kira-kira 20 tahun lalu. Nampaknya semacam ada bayangan peristiwa di Ketereh itu akan berulang sekali lagi. Kalau tidak kena cara dan tidak dibendung kemungkinan ia akan berlaku. Waspadalah.

Kata puak ini, MPNlah yang bertanggungjawab dan berkuasa menentukan siapa yang akan jadi raja. Kalau MPN memutuskan penjual kedai kopi ini raja maka dialah raja dan kita semua kena taati. Kuasanya mutlak mengikut adat istiadat dan perlembagaan tubuh kerajaan Kelantan mengikut fasal-fasal tertentu dan ceraian-ceraian tertentu.

Tidak ada kuasa yang boleh mencabarnya! Tanya puak itu apakah MPN hari ini tidak sah?

Puak sebelah lagi naik angin, mengatakan MPN hari ini tidak sah. Katanya pemecatan beberapa orang ahli Majilis MPN itu tidak sah sebab ianya tidak dilakukan oleh Sultan tetapi oleh Pemangku Sultan. Apabila ditanya apakah Pemangku Raja ada kuasa sama dengan Sultan, puak yang satu lagi terbingung-bingung tidak dapat menjawab, cuma menjawab dengan andaian saja, dengan mengatakan tentulah baginda juga ada kuasa tersendiri dan tertentu, kalau tidak macam mana baginda hendak melaksanakan tanggungjawab sebagai sultan termasuk mewakili persidangan Majlis Raja-Raja merasmi DUN Kelantan dan sebagainya.

Kata puak yang tidak setuju Tengku Mohammad Faris jadi sultan ini, kuasa melantik dan memecat ahli MPN terletak hanya ditangan sultan saja, bukan pemangku raja. Pemangku raja tidak ada apa-apa kuasa. Baginda tidak boleh mengubah apa-apa melainkan menurut saja apa yang sudah tersedia. Dalam erti kata lain tidak berhak membuat apa-apa perubahan termasuk memecat dan melantik ahli MPN.

Ana yang mendengar ini tidak fikir begitu. Kalaulah kebetulan seseorang raja itu tidak dapat berkata-kata, tidak berapa ingat, dan tidak dapat membuat keputusan untuk dirinya sendiri, bagaimana raja hendak menitah sesuatu termasuk kepada MPN? Apakah keadaannya kekal begitu selamanya sehingga menunggu baginda sultan itu mangkat? Kalau begitu tidak majulah sesebuah negeri ataupun praktikal undang-undang yang disurat demikian.

Op... raja ada satu lagi majlis, iaitu Majlis Penasihat Raja. Majlis Penasihat Raja (MPR) ini akan menjadi jurunasihat kepada raja. Begitu juga dengan Tuanku Ismail Petra semasa menjadi sultan dulu baginda ada majlis penasihat. Tentulah juga perlantikan Sultan Mohamed Ke V menjadi Pemangku Raja itu atas titah Sultan atas nasihat MPR agar menintah MPN bersidang dan memutuskan Tengku Mohammad Faris sebagai Pemangku Raja. Ertinya perlantikan Tengku Mohammad Faris itu sah dan betul dan menurut lunas adat dan undang-undang.

Ana terus mencuri dengar perbalahan kedua pihak itu. Disebabkan pihak yang menyokong Sultan Mohamad Ke V tidak ada akal untuk menjawab persoalan tadi, mereka hanya berkeras mengatakan Sultan hari ini berjiwa rakyat. Hidupnya sadarhana sekali. Very humble. Boleh ditemui di mana-mana saja. Di masjid Muhammadi Kota Bharu baginda meletakkan pegawainya untuk berurusan dengan rakyat. Rakyat boleh menemui pengawai itu pada setiap waktu Solat untuk menyampaikan apa-apa masalah dan pandangan.

Kata puak ini lagi, tengok pakaiannya juga biasa saja tidak menunjukkan kebesaran dan gahnya. Baginda ke masjid hanya memakai jubah ringkas saja. Pembelaan itu tidak disenangi oleh puak yang anti Sultan Mohammad Ke V. Katanya taraf Sultan hari ini sama dengan Nik Aziz saja. Nik Aziz pakai jubah sultan pakai jubah. Nik Aziz naik pentas orang takbir, Allahukabar, sultan juga orang takbir. Sama saja sultan dengan Nik Aziz.

Puak sebelah sini tidak menjawab mungkin ketiadaan akal yang panjang dan ilmu yang mantap. Ana tersenyum dan merasakan dangkalnya pemikiran puak yang anti sultan itu. Apakah dia tahu bahawa kalimah dulat tuanku dengan takbir Allhuakbar itu mana lebih besar dan mana lebih berkat? Daulat Tuanku adalah pemujaan manusia kepada manusia yang sama-sama dicipta Allah. Itu syirik namanya. Allahuakbar adalah kalimah memuji dan memuja Maha Agung, Allah Rabuljalil. Allah yang kuasanya tidak ada kuasa yang boleh dilawan kuasa lain.

Itulah perbezaan ilmu dan latar belakang. Kalau seseorang mengaji agama dia akan dapat merasai perbezaan (farak) di antara dua kalimah ini. Dapat memisahkan diri manusia sebagai hamba Allah dengan Allah yang mencipta dirinya. Biarkan mereka (anti sultan Mohammad Ke V) tenggelam dalam ilmu dan sungai keruhnya selamanya. Nauzubilahiminzalik - semoga Tuhan menjauhkan aku dari kesesatan seumpama itu.

Kesimpulan dari pada perbualan dua puak itu bahawa masih ada orang yang degil tidak mahu mengikhtirafkan Tengku Mohammad Faris Petra sebagai sultan ke 29 dan masih menganggap Tuanku Ismail yang masih gering sebagai sultan. Golongan ini sebenarnya hanya segelintir saja, tidak pun perlu dipedulikan. Tetapi kerana negara ini berpelembagaan dan raja pula dibawa kuasa perlembagaan, apa-apa yang ditindakkan oleh mereka kena diambil hirau juga walaupun ianya hanya dua orang saja dan disokong oleh seorang panglima tempang.

Mengenai kedudukan Istana Kelantan ini, kini ianya sedang dalam proses mahkamah. Hakikat yang kena terima apabila Tengku Faris dimahsyurkan semua rakyat Kelantan yang taat setia dan arif mengenai undang-undang dan adat resam Melayu kena mengakui bahawa baginda sultan, kalau pun malu dan takut untuk merafak sembah. Maka selagi tidak ada keputusan mahkamah semua rakyat kena mengakui bagida adalah Sultan yang berdaulat. Orang lain atau putera lain tidak berhak.

Ingat zaman ini bukan zaman batu atau zaman perang baling tombak dan panah. Kekuatan seseorang itu bukan terletak kepada fizikal tetapi kepada akal dan sifat tawaduk dan penyerahan diri kepada Allah. Zaman merampas atau mempertikai hak orang lain dengan menggunakan kuasa, ego dan sombong sudah pun lama berakhir.

Hakikat yang berlaku ke atas Tengku Mohammad Faris ini juga kena diterimanya seperti mana kemenangan sseorang wakil rakyat dalam sesuatu pilihan raya. Apabila ianya diistyharkan pemenang oleh SPR ia kena diterima walaupun kemenangan itu kemungkinan terbatal atau terkhilaf baik dari segi teknikal atau hakikatnya.

Sementara menunggu keputusan mahkamah ke atas petisyen pilihan raya itu dibuat maka semua orang kena menerima pemenang itu adalah wakil rakyat tersebut yang dibayar elaun dan berhak mewakili rakyat. Nah.. begitu juga dengan kedudukan Sultan Mohammad KeV kini, ianya wajib diterima sebagai sultan yang patut dihormati. Mana-mana rakyat yang sengaja degil untuk tidak menerima hakikat ini mereka bolehlah dianggap penderhaka.

Ana percaya sebelum MPN membuat keputusan dan kerajaan negeri sedia membuat pemasyhuran kaji selidik sudah pun dibuat. Pihak berkenaan sudah pun membuat penilaian baik dan buruknya dari semua aspek. Hubungan diplomasi di antara pihak-pihak terbabit juga sudah pun dibuat. Ada pun kesediaan mahkamah mendengar bantahan itu hanyalah formaliti saja untuk menghormati proses undang-undang. Itu saja. Allahuakbar 3 x. [wm.kl.10:00 am 11/10/10]
Post a Comment