Kalau Razaleigh Calon BN, Pas Akan Turunkan Orang Asli
TENGKU Razaleigh Hamzah dijangka akan tiba di KLIA pagi lusa, (Sabtu). Katanya persiapan telah dibuat untuk menyambut kepulangan Razaleigh. Sekurang-kurang dua pihak akan bergabung menyambut kepulangan itu. Umno dan para penyokong setia Razaleigh. Dijangka sebuah NGO terlebih Melayu juga dijangka akan hadir sama untuk meramaikan sambutan kepulangan itu.
Katanya berbagai sepanduk sudah disediakan. Orang dalaman pejabat Razaleigh pula tidak dapat mengesahkan apakah ada sambutan atau tidak. Tetapi katanya mungkin memandangkan sudah ramai orang menggilai Razaleigh ke belakangan ini, sambutan itu tidak dapat dielakkan.
Razaleigh dijangka akan membuat pengumuman penting di KLIA sebaik setibanya di lapangan terbang itu. Berita ini menjadikan kepulangan beliau dinanti-nantikan. Orang menanti apakah yang akan dinyatakan oleh Razaleigh. Dua persoalan yang bermain di kepala umum ialah apakah beliau sedia menjadi Pengarah Pilihan Raya kecil Dun Galas atau menerima tawaran Umno menjadi calon.
Menurut sumber dalaman mengatakan Razaleigh tidak akan keberatan untuk menerima tawaran sebagai pengarah pilihan raya. Alasannya dia adalah ketua bahagian Umno Gua Musang. Seperti mana saya ulas sebelum ini Razaleigh seorang beradat dan berdisiplin tinggi. Kesetiaannya kepada Umno juga tinggi menggunung. Tidak ada sebab untuk beliau menolak tanggungjawab itu sedangkan beliau masih ketua bahagian.
Atas kedudukan itu Razaleigh akan menerimanya. Kalau Razaleigh menerima tawaran itu tentulah ia mengira 'jihar'nya dalam Umno akan pulih kembali. Razaleigh akan mengira Umno akan menyokong beliau balik. Pada saya kalau inilah yang dikejarnya Razaleigh akan kecewa sekali lagi. Beliau harus ingat kepada sejarah, sejauh mana ahli Umno mengenang budinya.
Persoalannya apakah kalau Razaleigh jadi pengarah ia merimaskan Pas? Ada kenyataan dari pihak tertentu Pas gentar untuk berdepan dengan Razaleigh. Rasanya bagi Pas apa saja peranan Razaleigh ia tidak mengelisahkan Pas. Pas akan hadapi Razaleigh atas kedudukan apa saja selagi Razaleigh bersama Umno.
Soal menuntut royalti minyak Pas boleh bersama Razaleigh kerana itu aspirasi bersama untuk membela rakyat Kelantan. Tetapi kalau soal Umno susah bagi Pas.
Ahli jawatankuasa Agung Pas, Husam Musa sudah membayangkan Pas akan menurunkan Orang Asli. Katanya kalau ada Orang Asli berkelayakan Pas mungkin mengambil menjadi calon, ujarnya dalam satu kenyataan. Kita faham kepada siapa Husam tujukan cadangannya itu. Saya mengira kalau Razaleigh jadi calon Pas, adalah sesuai kalau Pas menerima cadangan Husam itu. Carilah tok Batin mana-mana dan letak beradu kekuatan dengan Razaleigh.
Bayangkan macam mana kalau berlaku pertandingan antara Razaeigh dengan Orang Asli. Ia akan menjadi sejarah dan berita menggempar. Seorang anak raja berlawan dengan Orang Asli. Bagaimana hendaklah dielakkan kejadian ini dari berlaku kerana ia boleh mengaibkan banyak pihak. Tidak elok sangat kalau tiba-tiba Razaleigh tokoh veteran berlawan dengan Orang Asli.
Baiklah siapakah calon dari BN kalau Razaleigh menolak tawaran keemasan Umno itu. Ada beberapa nama atau tokoh Umno Gua Musang yang sedang menayang diri untuk jadi calon. Salah seorangnya ialah Ketua Pemuda, Bazlan Baharuddin. Beliau juga dikenali orang kuat menyokong Razaleigh. Bazlan ini juga yang membuat kenyataan agar menolak Ibrahim Ali kalau bekas ahli Umno itu mahu diterima semula ke dalam Umno.
Sudah tentu kalau Bazlan jadi calon NGO terlebih Melayu itu 'rohok' sedikit untuk menyokong BN kali ini.
Selain Bazlan, Ketua Wanita, Wan Huzani Wan Md Noor (foto atas) juga berminat untuk menjadi calon. Tetapi Wan Huzani tidak mungkin akan dipilih kalau pengarahnya Razaleigh. Tok Empat Umno Kelantan, Mustapa Mohamed sudah membayangkan soal calon akan ditentukan oleh pengarah. Awal-awal lagi Mustapa sudah dapat merasakan dia tidak berperanan dan tidak berkuasa dalam menentukan calon.
Sudah tentu kalau Razaleigh menjadi pengarah beliau akan memilih orang kanannya di bahagian iaitu Setiausaha Umno bahagian Gua Musang sekarang ini. Inilah beberapa nama yang disebut dan kemungkinan akan diturunkan Umno kecuali Razaleigh sendiri.
Di pihak Pas yang pastinya calon yang tidak merokok. Nik Aziz sudah memberi tahu awal-awal kriteria calonnya mereka yang tidak merokok. Ada dua nama setakat ini menjadi sebut sebutan, Hussein Embong iaini pegawai Halaqah Gua Musang dan Dr Zulkifli Mohamad. Zulkifli merupakan calon Pas dalam dua pilihanraya 2004 dan 2008. Beliau pernah bertanding di kerusi Parlimen Gua Musang, kedua-dua kalah.
Dalam pilihan raya 2004 beliau kalah dengan kekurangan undi sebanyak 6,598. Manakala dalam tahun 2008 sekali kalah dengan kekurangan undi 4,394. Kekalahan itu bagaimana pun tidak boleh dijadikan ukuran. Pilihan raya Dun dan Parlimen berbeza. Lagipun yang ditentang Dr Zulkifli itu ialah Tengku Razaleigh Hamzah.
Baik Hussein atau Dr Zulkifli mereka ini juga dikatakan disenang penduduk Galas. Bukan saja Melayu tetapi orang Cina dan Orang Asli juga senang mendekati mereka. Apa lagi Zulkifli yang mempunyai klinik di Gua Musang menyebabkan beliau dikenali ramai dan khidmatnya juga menjadi sebutan. [wm.kl.8:00 am 06/10/10]
No comments:
Post a Comment