Friday, October 22, 2010

Catatan Menjelang Senja

Banyak Pak Pandir Umno Di Kelantan

SAYA tertarik dengan anologi yang dibuat oleh jurucakap Umno Kelantan, Alwi Che Ahmad (foto) supaya orang Umno tidak jadi macam Pandir. Rasanya anologi itu tepat bagi menggambarkan apa yang wujud dalam Umno sekarang ini, terutamanya Umno Kelantan. Pandir yang hendak diketengahkan oleh Alwi ialah seseorang yang bekerja tidak mempunyai maklumat tepat dan segala perbuatannya sia-sia dan dicemuhi rakyat.

Saya ingin menambah sedikit bukan saja mereka yang tidak mempunyai maklumat boleh dianggap Pandir, tetapi yang bebal maklumat juga termasuk dalam kategori Pandir. Begitu juga yang penakut ataupun tidak berapa berani membuat keputusan, juga termasuk dalam species Pandir. Malahan yang mengampu tidak tentu fasal juga adalah golongan Pandir.

Memang apa yang dibimbangi Alwi itu sudah pun wujud. Ia bukan saja satu kebimbangan tetapi sudah benar-benar berlaku dan terjadi dalam Umno. Dalam konteks Umno Kelantan nampak begitu jelas sekali. Banyak Pandir bergelewat di sana - mereka mencari makan dan bukan berjuang untuk rakyat.

Tengok mengenai pilihan raya kecil di Galas. Perlantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya adalah menunjukkan ciri-ciri kepandiran itu. Ketua Umno Kelantan ialah Mustapa Mohamed di mana beliau sepatut mengepalai jentera pilihan raya. Tetapi atas dasar Tengku Razaleigh ketua Umno Gua Musang dan tokoh lama di situ maka ia diserahkan kepada Tengku Razaleigh. Ia tidak salah, tetapi nampak kepandirannya.

Cuma dalam kes di Galas ini saya tidak tahu siapa yang menjadi lebih pandir? Apakah Tengku Razaleigh atau pun Mustapa Mohamed atau kedua-dua sekali. Mustapa bukan main lagi bila nama Tengku Razaleigh disebut akan menjadi ketua telah melompat gembira dan cepat-cepat menyusun jari sepuluh merafak sembah menyokong. Khabarnya pada pagi menyambut kepulangan Tengku Razaleigh dari luar negeri Mustapa tidak tidur sampai ke Subuh, bimbang takut tidak sempat untuk menyambung Tengku Razaleigh. Apakah ini bukan pandir?

Seperkara lagi dan ini paling parah dalam Umno kalau seseorang itu sudah tahu dirinya pandir dia terus membiarkan dirinya dipandirkan. Misalnya Mustapa sudah tahu yang dia tidak layak, kirang baja ataupun tidak disegani sebagai ketua, kenapa harus menjadi ketua lagi? Sepatut beliau lepaskan jawatan dan berikan kepada orang lain. Tetapi disebabkan ada perangai pandir lagi, beliau cuba juga untuk berkhidmat walaupun kurang maklumat dan keberanian maka beliau sanggup mengheretenya dirinya menjadi pandir.

Demikian juga halnya protes Umno Kota Bharu kepada Zaid Ibrahim yang menjual bangunan Umno Kota Bharu di Jalan Sultanah Zainab kepada Dewan Pemuda Pas. Wah... bukan main lagi Umno Kota Bharu termasuk, ketuanya Fatmi Che Salleh menuduh Zaid menjual harta Umno. Nampak kritikan dan protes ini kerja pandir? Kerja orang yang tidak ada maklumat yang mudah diperbodohkan dan sesia.

Saya nampak dalam hal penjualan bangunan Umno ini baik Fatmi dan ahli jawatankuasa lain kena jual atau kena lelong kepada Zaid. Kalau benarlah aset itu hak Umno dan Zaid menjualnya ini bermakna baik Fatmi dan yang lain sudah menjadi pandir. Pandir yang ditipukan oleh Zaid. Kalau diri kita sudah jadi pandir apakah layak untuk jadi pemimpin lagi? Pandir biasanya bukan duduk di depan tetapi menjadi badut penglipur lara dengan keletah kebodohan dan kebebalannya saja.

Kalau mereka tidak pandir mereka tidak akan lepaskan begitu saja aset berkenaan. Mereka akan mempertahankan juga dengan apa cari sekalipun. Apakah tindakan memprotes itu sebahagian daripada kerja pandir. Mereka tidak tahu bahawa Zaid sudah pun menguasai bangunan itu secara diam-diam? Kalau Fatmi atau Umno Kota Bharu kena tipu ia bukan salah mereka tetapi salah perangai pandir mereka semua.

Tidak timbul Zaid menjual harta orang dan Pemuda Pas membeli harta yang tidak betul. Negara ini ada undang-undang. Orang Umno sangat mempercayai kepada undang-undang negara dan keadilan yang ditegakkan. Logiknya mahkamah sudah menentukan siapa milik bangunan berkenaan. Zaid tidak akan menjualnya kalau ia bukan haknya mutlak, dan begitu Pemuda Pas tidak akan membelinya kalau ia harta yang beluk?

Jadi kritikan Fatmi dan ahli Umno bahagian Kota Bharu itu sia-sia saja. Ia dibuat tanpa pengetahuan serta maklumat mendalam. Dan usaha mereka itu samalah kerja pandir yang dibimbangi dan diperingatkan Alwi di dalam perhimpunan itu. Jadi cerita pandir yang bodoh ini, bukan baru tetapi sudah lama wujud dalam Umno Kelantan. Tegasnya kalau Umno Kelantan tidak pandir masakan Kelantan terus berada dalam tangan Pas selama 20 tahun, di mana Pas hanya dianggap Mat Jenin saja oleh Umno. Antara Mat Jenin dan Pandir ternyata Mat Jenin lebih bijak dan berjaya. [wm.mk.6:30 pm 22/10/10]
Post a Comment