Monday, October 25, 2010

Sebuka Mata

Seruan Yang Sia-Sia Dari Khairy

MENANTU utama bekas PM ke 5 Abdullah Badawi, Khairy Jamaluddin yang juga ketua pemuda Umno meminta supaya budaya cah keting di hapuskan dalam pilihan raya kecil Galas. Saya tersenyum sumbing tatkala membaca gesaan Khairy itu. Siapalah dia untuk membuat gesaan itu. Mungkin Khairy sendiri tidak faham apa yang beliau katakan itu, atau memahami bagaimana kegiatan cantas mencantas itu perlu berlaku dan boleh berlaku.

Bila beliau menyebut kegiatan cah keting sebagai budaya, maka ia bukan mudah untuk ditohok. Budaya mengikut definisi Kamus Dewan, ialah tamadun atau peradaban. Ia juga adalah akal budi, dalam konteks ini akal budi jahat.

Sesuatu yang telah menjadi peradaban atau tamadun itu tidak mudah untuk dikikiskan. Seperti mana anjing yang suka memakan tahi, kalau tidak makan pun ia akan menghidunya kerana itu sudah jadi budaya hidupnya. Tamadun dan peradaban itu menjadi bunga dan warna kepada kehidupan golongan yang mengamal dan menganutnya. Tamadun adalah perwatakan dan pembawaan diri zahir dan batin. Hal demikian itu bukan mudah untuk dibuang, ia sudah sebati.

Bukan sahaja di Galas bakal menyaksikan akan berlaku cah keting, dalam Umno tetapi di beberapa pilihan raya sebelum ini. Di Manik Urai, Hulu Selangor juga berlaku. Budaya ini bukan saja dalam Umno tetapi dalam parti lain juga kecuali Pas, di mana kegiatan ini dalam Pas amat kecil sekali, itupun tidak dapat dielakkan ia turut sama berlaku.

Politik berasaskan sekular, kebendaan tidak dapat lari dari budaya cah keting atau pun cantas mencantas ini. Cuba tanya kepada setiap mereka yang menyertai politik khasnya yang memegang jawatan. Apa yang mereka ingini kalau bukan kuasa. Adalah bohong murakab kalau mereka menidakkan akan hakikat itu. Yang tidak inginkan kuasa hanya para penampal poster dan penjaga pos pilihan raya saja. Itu pun mereka juga memerlukan upah cukup sekotak rokok ataupun setin biskut mayat.

Jadi kalau ingin kuasa mereka harus berjuang mendapatkannya. Kuasa dalam politik tidak seperti hujan yang diturunkan Allah tanpa diminta. Atau pun seperti cahaya mentari diberikan Allah tanpa diharap yang mana ianya memenuhi kehendak semua makhluk. Kuasa dalam politik kena cari dan usahakan. Pencarian ini kadang kala melibatkan tektik dan strategi yang dibawa oleh syaitan. Mereka tidak peduli halal dan haram. Sudah banyak kita melihat kemusanahan orang yang mengejar kuasa dalam politik. Ada kalanya kemusnahannya sangat tragis dan dahsyat.

Berbalik kepada 'seruan merdeka' Khairy tadi ianya sia-sia saja. Apa lagi orang tidak merasa malu dengan orang yang membuat seruan itu kerana belau sendiri kelihatan kotor dan dianggap mengamalkan politik wang. Kalau tidak percaya tanya Dr Mahathir Mohamad. Tidak mungkin oramng akan membeli ubat panawar dari penjual ubat yang tubuhnya penuh dengan panau dan kudis.

Kecualilah mereka yang membuat seruan itu orang yang tinggi akhlak. Bersih sykasiah. Jujur dan ikhlas seperti mana Tok Guru Nik Aziz. Orang mempercayai atau mudah cair dengan seruan Nik Aziz kecuali mereka yang ditutup pintu hati oleh Allah seperti mana disebut dalam al-Quran dalam surah al Baqarah ayat ke 10; di dalam hati mereka ada penyakit, maka ditambahkan Allah penyakit lain. Orang ini sampai bila pun akan menolak kebenaran kerana mereka sudah disiapkan azab oleh Allah.

Jadi jawabnya sia-sialah seruan dan harapan Khairy itu. Jaminan beliau kononnya Ketua Pemuda Gua Musang, Bazlan Baharuddin tidak akan melakukan cah kenting hanya jaminan mulut beliau saja untuk mengenakkan keadaan. Kecualilah kalau Bazlan dibayar atau diberi saguhati atas kemalangannya tidak dipilih menjadi calon kemungkinan cah keting itu tidak ada. Itupun belum tahu lagi mungkin puak lain yang tidak menyenanginya pula akan melakukan cah keting. [wm.kl. 8:30 am 25/10/10]

1 comment:

JBS said...

Tuan MSO. Kalau manusia biasa dikatakan, apabila mencecah usia 40-an, tapi masih tidak berubah dari perlakuan buruk sepanjang kehidupannya kepada yang lebih baik atau mulia, maka sampai matinya dia tidak akan berubah. Begitu jugalah lazimnya dasar atau bentuk pemerintahan sesuatu parti politik itu terutamanya UMNO. Jika dah 53 tahun memerintah masih mengamalkan dasar atau sikap buruk seperti korupsi, rasuah, pecah amanah, kurang integriti, kronisma dan megamalkan budaya pembohong, maka sampai matilah dasar dan sikap partinya akan begitu.